Bumi ini Milik Siapa? – Islam Tidak Mengenal Pembahagian Tanah Berasaskan Assabiyah Yang Dilakar Oleh Penjajah Kuffar

bumi-milikKebelakangan ini, isu yang berbau perkauman semakin hangat diperkatakan di negara ini. Meskipun isu perkauman sudah sekian lama menjadi duri dalam daging bagi masyarakat majmuk yang terdapat dalam negara ini, namun sentimen kufur tersebut kembali dihangatkan apabila terdapat segelintir pihak yang cuba memberikan interpretasi baru yang dikaitkan dengan unsur keIslaman demi mengekalkan relevansi perjuangan yang berasaskan bangsa.

Dalam perkembangan mutakhir, polemik berasaskan isu perkauman ini kembali tercetus apabila terdapat sebilangan anggota pertubuhan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) yang mempamerkan cetakan tulisan kata-kata yang berbunyi “Bumi ini Milik Melayu Islam” sewaktu menghadiri perhimpunan aman bagi menyatakan sokongan kepada presiden mereka yang berdepan dengan dakwaan di bawah Akta Hasutan [1]. Tindakan tersebut sekaligus mencetuskan bantahan daripada segelintir pihak yang tidak bersetuju dengan slogan tersebut. Di samping itu, terdapat sebilangan ahli ISMA yang memberikan reaksi membela tindakan tersebut setelah menerima kritikan yang hebat daripada golongan yang tidak bersetuju. Hal ini boleh mencetuskan perselisihan pendapat yang disulami dengan makian, cacian dan sindiran-sindiran yang keterlaluan daripada kedua-dua belah pihak di laman sosial media sekiranya tidak dibendung. Perkara sebegini tidak sewajarnya berlaku, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan sesama Muslim.

Daripada Abu Musa Al-Asy’ari ra, dia berkata: Aku berkata,

“Wahai Rasulullah, orang Islam yang bagaimanakah yang paling utama? Baginda menjawab, “Orang yang mana kaum Muslimin selamat daripada (gangguan) lisannya dan tangannya” [HR Bukhari dan Muslim].

Pandangan Islam berkenaan keberadaan berbilang kaum

Islam sejak awal lagi memperakui keberadaan berbilang bangsa dalam kalangan umat manusia sebagaimana yang termaktub dalam al-Quran:

“Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku-suku, supaya kamu saling berkenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuanNya”
[TMQ al-Hujurat (49): 13].

Islam tidak pernah mengutamakan kepentingan sesuatu kaum dan memuliakannya berbanding kaum-kaum lain. Sebaliknya, yang menjadikan seseorang mukmin itu mulia adalah semata-mata berdasarkan ketakwaannya. Sabda Rasulullah saw:

“Wahai manusia, sesungguhnya Tuhan kamu adalah sama, bapa kamu adalah sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang Arab ke atas orang‘Ajam (bukan Arab), atau orang‘Ajam ke atas orang Arab, atau orang yang berkulit merah (putih) ke atas orang yang berkulit hitam, atau orang yang berkulit hitam ke atas orang yang berkulit merah (putih), melainkan ketakwaan” [HR Ahmad dan al-Baihaqi].

Islam turut melarang perjuangan berasaskan assabiyah (kebangsaan/nasionalisme) yang mengutamakan kaum sendiri sehingga menzalimi kaum lain. Hal ini jelas dinyatakan dalam hadis berikut;

“Sesiapa yang berperang di bawah rayah (panji)‘immiyyah (bendera kebutaan) dan menyeru kepada assabiyah atau marah kerana assabiyah, maka kematiannya adalah (mati) jahiliyyah” [HR Muslim].

Jelaslah bahawa perjuangan mendaulatkan Islam tidak sewajarnya dicampur-adukkan dengan perjuangan yang bersifat mengagungkan sentimen kebangsaan. Malangnya, terdapat segelintir pihak yang melihat bahawa perjuangan memartabatkan Islam dalam konteks Malaysia tidak dapat dipisahkan daripada perjuangan kebangsaan Melayu. Pandangan sempit sebegini sebenarnya boleh dikatakan lahir daripada pemahaman yang tunduk kepada waqi’ (realiti persekitaran).

Semenjak kemerosotan dan keruntuhan Daulah Khilafah Uthmaniyyah, umat Islam telah dipecah-belahkan menjadi negeri-negeri kecil yang lemah oleh para penjajah yang rakus. Akibat proses kolonialisasi, umat Islam telah ditindas dan dalam masa yang sama kekayaan hasil bumi kaum Muslimin telah dirompak dan dikaut pulang oleh negara-negara penjajah. Rentetan daripada itu, muncul gerakan-gerakan Islam untuk membebaskan umat Islam daripada penjajahan tersebut. Terdapat segelintir gerakan Islam yang benar-benar ikhlas untuk membebaskan umat Islam daripada sebarang cengkaman penjajahan dari segala sudut sekaligus menyatukan ummah. Di samping itu, terdapat pula sebilangan kaum Muslimin lain yang telah terpengaruh dengan sentimen nasionalisme akibat reaksi mereka terhadap dasar pecah dan perintah yang diperkenalkan oleh penjajah kuffar. Maka muncullah konsep “Daulah Islam” yang berasaskan model negara bangsa sebagai reaksi terhadap kolonialisasi tersebut.

Pasca Perang Dunia Kedua menyaksikan banyak negeri-negeri kaum Muslimin diberikan kemerdekaan oleh negara-negara bekas penjajah mereka. Kesemua negeri-negeri ini masih lagi mengekalkan dan mempertahankan sempadan palsu nasionalisme yang dilakar oleh penjajah kuffar sehingga ke hari ini. Tidak cukup sekadar itu, sehingga kini, terdapat sebilangan umat Islam yang melihat bahawa perpecahan yang melanda umat ini dan keberadaan berbilang negara umat Islam seperti yang dilihat sekarang sebagai suatu lumrah yang boleh diterima pakai di sisi Islam. Malah lebih parah lagi, ada yang menganggapnya sebagai suatu rahmat bagi umat. Bertitik tolak daripada pandangan yang rosak sebegini, sebilangan gerakan Islam telah mengambil pendekatan untuk melakukan pengislahan (reformasi) status quo, dengan matlamat untuk memastikan agar kepentingan Islam terpelihara mengikut konteks perlembagaan dan undang-undang negara masing-masing. Dalam konteks Malaysia, perjuangan berasaskan Melayu-Islam dilihat oleh sesetengah gerakan sebagai tunjang dalam memartabatkan Islam. Namun pada hakikatnya mereka telah gagal untuk melihat di luar kepompong ‘negara bangsa’ yang mana ia selama ini membelenggu pemikiran mereka. Justeru, adalah tidak menghairankan apabila terdapat segelintir pihak yang mengaku memperjuangkan Islam, namun pada masa yang sama memandang rendah dan hina terhadap bangsa-bangsa yang lain yang datang mencari rezeki di sini seperti kaum Muslimin Rohingya, Indonesia dan Bangladesh.  Walhal mereka beraqidah sama dengan kita dan mereka mempuyai hak yang sama dengan kita di sisi Islam biar di mana pun mereka berada.

Hakikatnya, Islam merupakan aturan hidup yang bersifat universal tanpa dihadkan oleh batasan perkauman. Sempadan wilayah-wilayah Islam itu sendiri bersifat berkembang tanpa sempadan kekal yang memisahkan umatnya berasaskan warna kulit mahupun bangsa. Bahkan menurut Islam, pembahagian status tanah hanya terbahagi kepada dua iaitu tanah kharajiyah dan tanah usyuriyah. Tidak wujud istilah bumi Melayu, bumi Arab, bumi Turki dan sebagainya melainkan hasil daripada reaksi umat terhadap dasar pecah dan perintah yang diterapkan oleh penjajah kuffar sebelum ini. Oleh yang demikian, sudah tiba masanya untuk kita semua membebaskan diri daripada belenggu pemikiran sempit sebegini dan bergerak secara global dalam rangka mengembalikan semula Khilafah atas manhaj kenabian, yakni sebuah entiti pemerintahan Islam yang terdiri daripada berbilang bangsa tetapi disatukan oleh ikatan aqidah Islamiyah yang teguh, yang mana  sekaligus memartabatkan syariat Islam dan umatnya. Semoga artikel ini diperhalusi dan dinilai sebagai suatu muhasabah ikhlas antara sesama Muslim dalam usaha kita mengorak langkah menuju penyatuan yang hakiki. Wallahua’lam.