JIL: Ejen Kuffar Yang Menjaja Demokrasi

Di saat masyarakat dunia sedang meraba-raba dalam mencari alternatif untuk menggantikan sistem demokrasi yang telah banyak membawa kebinasaan kepada peradaban dunia, Luthfie Assyaukanie yang merupakan salah seorang pengasas Jaringan Islam Liberal (JIL) telah mengatakan bahawa sistem demokrasi adalah sistem politik yang terbaik dan tepat di abad moden ini berbanding Khilafah.

Bahkan Luthfie Assyaukanie menyatakan bahawa pada ketika ini, tidak ada satu pun negara dalam dunia ini yang mana majoriti penduduknya adalah Muslim yang mengimpikan Sistem Khilafah kerana menganggap bahawa ia adalah sistem teokrasi.

“Gagasan Khilafah menjadi sesuatu yang ‘obsolete’ (lapuk), kuno dan ditinggalkan kaum Muslimin. Tak ada lagi perasaan berdosa bagi kaum Muslimin kerana meninggalkan Khilafah,” kata tokoh Jaringan Islam Liberal (JIL) ini yang juga merupakan seorang pensyarah di Universiti Paramadina Jakarta dalam sebuah forum yang bertajuk “Islam dalam Transisi Demokrasi di Indonesia” pada hari Khamis lalu di Jakarta.

Sama ada JIL ini telah buta ataupun tidak berpijak pada realiti semasa, fakta di depan mata sedang membuktikan bahawa masyarakat dunia pada saat ini telah melihat pelbagai keburukan dan kerosakan yang terhasil akibat daripada penerapan sistem demokrasi. Krisis mata wang global dunia adalah gara-gara penerapan sistem ekonomi kapitalis yang bertunjangkan ribawi di dalam sistem demokrasi. Kebuluran di sana sini termasuklah di Indonesia akibat daripada pengkhianatan yang dilakukan oleh para penguasa Muslim yang menjadi tali barut kuffar barat dalam menerapkan sistem demokrasi. Mengapakah perkara-perkara buruk sebegini perlu berlaku sedangkan Indonesia merupakan sebuah negara yang kaya dengan hasil galian buminya seperti petroleum, gas dan emas. Adakah JIL masih buta atau adakah mereka sengaja berkata demikian demi kepentingan kuffar barat? Kerosakan dan kebobrokan sistem ini bukan hanya berlaku di bumi umat Islam, bahkan terjadi di seluruh dunia termasuklah di Amerika sendiri.

Luthfi mendakwa bahawa umat Islam di Indonesia sudah sepenuhnya menerima demokrasi. Namun,  laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri Indonesia adalah di sebaliknya di mana penglibatan rakyat di dalam pilihanraya di Indonesia sedang terus menurun secara mendadak.

“Sejak 10 tahun yang terakhir, jumlah yang tidak mengundi meningkat daripada 20 peratus sehingga mencecah 60-70 peratus”, kata Pengarah Politik Dalam Negeri, Kementerian Dalam Negeri Indonesia, Luthfi MTA.

Di sini dapat dilihat dengan jelas bahawa rakyat Indonesia juga sudah tidak lagi percaya dengan mitos-mitos yang didendangkan oleh para pencinta demokrasi. Bahkan lambat laun, apabila telah terbongkar seluruh kejijikan dan kebusukannya, demokrasi ini akan hanya menjadi sebuah wacana yang sudah tidak lagi relevan bagi masyarakat dunia. Justeru, umat Islam perlu sedar bahawa orang-orang kafir sentiasa terus menerus menjaja demokrasi ke seluruh penjuru dunia dengan pelbagai cara dan tipu daya termasuklah melalui Jaringan Islam Liberal. Masihkah kita menaruh kepercayaan kepada sistem demokrasi ciptaan manusia berbanding Khilafah Islamiyyah yang merupakan sebuah janji dan tuntutan daripada Allah SWT?

Sumber: arrahmah.com