Tauliah: Senjata Makan Tuan

Geger satu Malaysia dengan isu terbaru tanahair mengenai beberapa orang penceramah terkenal tidak dibenarkan berceramah di negeri-negeri tertentu akibat tidak ada tauliah. Terbaru, timbul kekecohan di satu ceramah apabila pihak berkuasa agama datang untuk mengambil keterangan penceramah yang berkenaan tetapi dihalang oleh hadirin.

Tanpa perlu menyebut pihak-pihak yang berkenaan kerana semuanya sudah maklum, apa yang penting untuk kita semua dalam isu ini ialah mengambil iktibar daripada apa yang berlaku.

Tauliah secara umumnya bermaksud satu pemberian izin oleh pihak yang berkuasa agama ke atas orang-orang yang ingin menyampaikan agama kepada orang ramai.

Bagi para pendakwah, rata-ratanya mengetahui bahawa menyampaikan agama (berdakwah) itu merupakan sebuah kewajipan yang datangnya daripada Allah dan Rasul-Nya dan tidak memerlukan keizinan daripada manusia.

Namun bagi pihak berkuasa, seribu alasan dan dalil diberikan untuk menjustifikasi perlunya tauliah bagi setiap orang yang ingin menyampaikan agama, apatah lagi jika penyampaian itu dilakukan kepada orang ramai dan di tempat terbuka.

Begitulah “hukum alam” mengenai tauliah yang tidak pernah habis terjadi dan dibahaskan di negara ini. Penceramah yang ikhlas berdakwah semata-mata kerana Allah, akan sentiasa berbenturan dengan pihak berkuasa dalam isu tauliah.

Kembali kepada kes yang sedang kecoh diperkatakan ini, mufti yang berkenaan dengan begitu tegas menyatakan bahawa setiap penceramah perlu tauliah, dan tindakan undang-undang akan diambil ke atas penceramah yang berkenaan yang telah memberi ceramah tanpa tauliah.

Umum mengetahui bahawa itulah mufti yang sama, yang ketika beliau belum menjadi mufti dahulu dan pernah ditangkap kerana mengajar agama tanpa tauliah, beliau dengan lantang dan tegas membantah penangkapan tersebut dan menyatakan bahawa tidak ada keperluan tauliah untuk menyampaikan agama, dan isu tauliah hanya digunakan oleh pihak berkuasa bagi memastikan setiap penceramah berceramah mengikut “selera” mereka.

Bukan sekadar itu, malah bermacam lagi dalil yang keluar, yang boleh diakses sendiri oleh para pembaca di internet dengan cukup mudah.

Sudah menjadi trend di Malaysia sekarang ini bahawa siapa pun yang berkuasa, mereka akan “bercakap tak serupa bikin”. Semasa sebelum berkuasa, mereka lebih rasional dan bernas dalam berhujah, namun setelah berada di kerusi empuk kekuasaan, mereka akan melakukan perkara yang mereka dahulunya tentang habis-habisan!

Kita bukan bercakap mengenai aspek agama atau tauliah semata-mata, tetapi dalam kesemua aspek pemerintahan. Parti pembangkang sebagai contoh, sebelum berkuasa mereka menentang pelbagai undang-undang dan dasar kerajaan, namun setelah berkuasa mereka mengekalkan atau melakukan hal yang sama, malah ada aspek yang lebih buruk yang mereka lakukan berbanding pemerintah sebelumnya.

Inilah iktibar penting bagi umat Islam. Umat Islam seharusnya prihatin akan isu ini agar mengenali siapakah ulama dan umara’ mereka, agar mereka tidak dipatuk dari lubang yang sama berkali-kali.

Umat Islam perlu sedar bahawa pihak berkuasa pada hari ini membenarkan siapa sahaja untuk “mendakwahkan” idea sekularisme tanpa perlu tauliah, tetapi apabila seseorang ingin menyampaikan Islam kepada orang lain, hatta jika ingin mengajar orang untuk mengucap dua kalimah syahadah sekali pun, maka hal ini memerlukan tauliah. Sampai bila kita ingin berada dalam keadaan seperti ini?

Pihak berkuasa agama perlu sedar bahawa tauliah hakikatnya adalah satu bentuk halangan kepada dakwah, walau apa justifikasi dan dalil yang diberikan sekali pun. Secara fakta, sudah banyak bukti bahawa tauliah tidak dapat dipisahkan daripada “kepentingan” pihak berkuasa. Atas dasar itu, berapa ramai penceramah yang disekat gara-gara tidak sejalan dengan kehendak dan kepentingan pemerintah, biar pun penceramah tersebut sudah terbukti keilmuannya. Hal ini sudah “ma’lum minaddin bi dharurah” di negara ini.

Pihak berkuasa agama juga perlu sedar bahawa isu tauliah ini sebenarnya hanya menambahkan kebencian umat Islam kepada mereka, apatah lagi apabila penceramah-penceramah tersohor yang sudah ramai pengikut dan peminat, disekat daripada menyampaikan kuliah.

Umat Islam rata-ratanya sudah “meluat” dengan penceramah-penceramah bertauliah pada hari ini, lebih-lebih lagi penceramah yang merupakan kaki ampu kerajaan. Lihat sahajalah perbezaan kehadiran jemaah di masjid, surau atau di mana sahaja apabila melibatkan penceramah yang sealiran dengan kerajaan, dengan ceramah-ceramah daripada penceramah yang tidak sealiran dengan kerajaan. Ini belum lagi melihat komen-komen daripada netizen dalam isu ini. Buktinya sangat nyata.

Umat akan bertambah meluat apabila seseorang yang sentiasa memberi ceramah tanpa taulah, dan menentang isu pentauliahan yang bercanggah dengan Islam ini, kemudian setelah berkuasa, dia pula yang menyekat ceramah orang lain atas sebab tauliah.

Semoga kita tidak termasuk daripada golongan yang menghalang dakwah Islam dan bercakap tak serupa bikin. Na’uzubillah min zalik.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لِمَ تَقُولُونَ مَا لَا تَفْعَلُونَ كَبُرَ مَقْتًا عِنْدَ اللَّهِ أَنْ تَقُولُوا مَا لَا تَفْعَلُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan” [As-Saff (61): 2-3].

Wallahu a’lam.