Telunjuk PBB Diikuti Perintah Allah Diketepi

pluralismePastikan keharmonian rakyat
PM adakan perjumpaan dengan pemimpin semua agama ikut saranan PBB
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini akan mengadakan perjumpaan dengan pemimpin semua agama sempena ‘Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia’ bulan ini seperti disarankan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Pada majlis yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, Perdana Menteri akan turut menghadiri majlis makan tengah hari dan ramah mesra dengan mereka. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata majlis itu diadakan bagi memperkenalkan Ahli Jawatankuasa Mempromosi Persefahaman dan Keharmonian antara Penganut Agama kepada Perdana Menteri. Difahamkan, pada majlis itu, Perdana Menteri juga dijadual menyerahkan watikah pelantikan kepada anggota Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian antara Penganut Agama.

“Dalam pertemuan ini, Perdana Menteri akan menyampaikan amanat penting kepada ketua-ketua agama bagi memastikan keharmonian hidup rakyat pelbagai kaum dan agama di Malaysia sentiasa dipelihara,” katanya kepada Berita Harian, semalam. ‘Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia’ diilhamkan Raja Jordan, Raja Abdullah II dan Puteranya, Ghazi Muhammad yang menjadi utusan peribadi serta penasihat kepada Raja Abdullah II pada Perhimpunan Agung PBB ke-65 di New York tahun lalu. Idea yang diketengahkan itu kemudian menjadi resolusi yang diterima pakai PBB untuk disambut pada minggu pertama Februari setiap tahun di semua negara anggota. Program berkenaan diadakan bagi meningkatkan lagi kerjasama dan keharmonian pelbagai agama di dunia akibat daripada timbulnya salah faham mengenai Islam yang sering dikaitkan dengan keganasan, terutama selepas peristiwa 11 September di Pusat Dagangan Dunia (WTC), New York, pada 2001. Antara aktiviti yang dianjurkan di Malaysia, termasuk Muzakarah Pakar Bersama Mufti setiap negeri dan tokoh Islam anjuran Institut Kemajuan Islam Malaysia, serta penyampaian mesej keharmonian agama dan muhibah yang disebarkan di rumah ibadat di seluruh negara dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia serta beberapa pertubuhan agama yang lain.

Sementara itu, BERNAMA memetik Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Datuk Azman Amin Hassan menyifatkan kesudian Najib menghadiri program itu membuktikan beliau komited untuk merungkai isu keagamaan dalam negara secara berhemah demi kesejahteraan rakyat pelbagai kaum. “Sambutan ini yang turut dipersetujui Jawatankuasa Mempromosi Persefahaman dan Keharmonian di antara Penganut Agama, satu platform untuk memberi petanda kepada pihak agama bahawa kerajaan mengambil berat soal ini. “Ia juga selari dengan kenyataan Perdana Menteri di PBB sebelum ini yang beliau tidak mahu wujudnya kumpulan militan yang agresif dan ekstrem yang boleh mengancam perpaduan dan keselamatan negara,” katanya

Sumber : Berita harian 14/2/2011
 

Telunjuk PBB Diikuti Perintah Allah Diketepi


Beginilah sikap para penguasa negeri kaum Muslimin, selagi hayat mereka dikandung badan mereka akan bertungkus lumus memastikan tolok ukur mereka adalah mengikut ukuran dan telunjuk kuffar.

Katakanlah lagi (kepadanya): Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna
[TMQ Az-Zumar (39):9]

Agenda pluralisme kini digerakkan oleh pemerintah, bukan lagi oleh kumpulan kecil yang suaranya tidak didengar. Ia kini digerakkan oleh sebuah Negara dengan penuh kelicikan, dirancang dan dipersetujui oleh kuffar Barat, bagi melengahkan sekaligus menghentikan kebangkitan Islam. Barat sudah pun mengkaji kedudukan dunia Islam lebih awal dan telah membelanjakan dana yang cukup besar dalam kajian mereka.  Mereka sudah merancang dengan begitu sempurna sehingga seluruh umat manusia melihat ‘kebaikan’ agenda mereka.  Agenda dilancarkan, media digerakkan, memastikan acara berlangsung sehingga dapat menutup makar di sebalik tabir. Hakikatnya, perintah Allah dan seruan Rasul saw mengenai kewajiban menyebarkan Islam dan mengembangkannya akan sirna jika agenda kesamaan agama diangkat sekaligus meletakkan agama lain setaraf dengan Islam. Sungguh besar makar ini, sehingga ramai yang terpecaya terutama dari kalangan yang cetek keimanannya, sehingga  mereka turut menjadi pejuangnya. Sedarlah wahai umat Islam, kalian adalah umat terbaik, kalian adalah umat terhebat, kalian adalah umat terkuat  kerana kalian adalah umat Islam, umat nabi Muhammad SAW       
 
Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. [TMQ Ali Imran (3):110].