Tentera bersatu dibawah Panglima Khilafah Islamiyah
Program dijangka pada April tahun depan mantapkan lagi persediaan tentera dua negara hadapi ancaman pengganas
SELEPAS kematian pengganas paling berbahaya Asia, Noordin Mat Top, tiada siapa berani memberi jaminan rantau Asia Tenggara bebas daripada ancaman militan.
Justeru, bagi pasukan keselamatan, kesiapsiagaan menjadi kunci utama bagi menghadapi sebarang kemungkinan tindakan pengganas.
Bagi meningkatkan persediaan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) merancang mengadakan latihan bersama di perairan Selat Melaka bagi memperkemas kesiagaan dua negara berjiran itu dalam menangani ancaman itu.
Malah, latihan bersama itu bakal mencipta sejarah kerana ia pertama seumpamanya menggabungkan ketiga-tiga perkhidmatan iaitu darat, udara dan samudera khusus sebagai persediaan menangkis pengganas.
Perkara itu adalah antara perkara yang dibincang pada mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi Malaysia-Indonesia (HLC Malindo) Ketujuh, dipengerusikan bersama Panglima ATM, Tan Sri Azizan Ariffin dan Panglima TNI, Jeneral Joko Santoso di sini, baru-baru ini.
Latihan itu dan beberapa lagi perkara berkaitan kerjasama perbatasan kawasan sempadan akan dipanjangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan Malaysia Indonesia (GBC Malindo) membabitkan pertemuan Menteri Pertahanan kedua-dua negara akhir tahun ini atau awal tahun depan.
“Latihan bersama itu dijangka akan diadakan April depan dan ia akan memantapkan lagi persediaan tentera dua negara dalam menghadapi ancaman itu,” katanya pada sidang media bersama Joko selepas mesyuarat HLC Malindo di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur.
HLC Malindo adalah badan kerjasama antara kerajaan Malaysia dengan Indonesia di bawah GBC Malindo bagi menangani masalah keselamatan di daerah perbatasan bersama kedua-dua negara.
Azizan mengakui, seperti diarahkan GBC Malindo Ke-37 yang bersidang di Jakarta, Disember lalu, HLC Malindo berjaya berbincang dan menyelesaikan segala arahan serta isu yang timbul di kawasan perbatasan dengan semangat yang tinggi antara kedua-dua pihak.
“Melalui forum kerjasama HLC Malindo ini, banyak kemajuan dicapai, antaranya kekerapan operasi, eksesais dan latihan bersama antara ATM dengan TNI serta pasukan polis kedua-dua negara dapat memantapkan penggunaan prosedur tetap (SOP) sedia ada, mencegah aktiviti menyalahi undang-undang serta mengeratkan hubungan dua hala.
“Pembangunan di perbatasan bersama Sabah/Kalimantan Timur serta Sarawak/Kalimantan Barat juga meningkatkan aktiviti sosioekonomi daerah berkenaan.
“Sidang HLC ini turut membahas mengenai keselamatan di perairan Selat Melaka yang menjadi tumpuan masyarakat antarabangsa.
“Tindakan yang proaktif sudah diambil dan dilaksanakan antara agensi maritim kedua-dua negara dalam menentukan masyarakat maritim antarabangsa dan domestik selamat menggunakan perairan Selat Melaka ,” katanya.
Azizan bagaimanapun menegaskan isu pertikaian Ambalat tidak disentuh pada mesyuarat itu.
Joko pula berkata, kerjasama aspek operasi, latihan, pendidikan antara TNI dengan ATM serta pembangunan sosioekonomi daerah sempadan sudah lama terjalin.
“Kerjasama antara dua angkatan tentera ini adalah yang paling optimum. Tiada lagi kerjasama serapat ini yang kita buat dengan negara lain kecuali Malaysia.
“Sebagai negara tetangga, memang ada saja masalah berlaku tetapi kerjasama dan hubungan ATM dengan TNI adalah penguat hubungan pemerintah antara Malaysia dengan Indonesia,” katanya.
Sumber: Berita Harian 31/12/09
Tentera bersatu dibawah Panglima Khilafah Islamiyah
Pihak tentera Malaysia dan Indonesia harus sedar akan kewajiban mereka menjaga darah umat Islam. Adalah merupakan suatu yang haram atas mereka untuk hanya menjaga sempadan assobiyah serta memandang negara masing-masing sebagai dua entity yang berbeza, apatah lagi bermusuhan antara saudara se Islam.
Tentera merupakan ahli nusroh yang mampu memberikan perubahan terhadap situasi buruk kaum Muslimin hari ini. Pihak tentera seharusnya bergabung serta membantu penerapan agama Allah sekaligus melindunginya dari musuh-musuh Allah, bukan hanya bekerjasama dalam bentuk latihan ketenteraan semata-mata.
Wahai Tentera Malaysia! Wahai Tentera Indonesia! Kalian adalah merupakan pasukan Tentera Islam. Kamu seharusnya bergabung dan bersepakat dalam menegakkan Deen Allah di muka bumi ini kerana kalian mempunyai kapasiti untuk membuat perubahan agar perjuangan menegakkan Khilafah Islamiyah terlaksana.
Rebutlah peluang ke syurga ini, dan jadikanlah latihan ini sebagai permulaan kepada gabungan yang hakiki, sebagai mangkin dalam menegakan Khilafah ala minhaj Nubuwwah, bukan hanya untuk meningkatkan kecekapan. Kalian adalah golongan yang paling hadapan dalam medan jihad untuk membuka serta membebaskan manusia dari belenggu penjajahan kepada perluasan rahmah Allah SWT.