Terapkan Islam, langkah terbaik
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta Menteri Kabinet, semalam menghadiri bengkel retreat kali keempat bagi memperhalusi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) di Jabatan Perdana Menteri. Bengkel berkenaan adalah lanjutan daripada tiga siri bengkel sama yang kali pertama diadakan di Sunway Resort pada 4 Julai lalu.
Sumber: Berita Harian 27/0/809
Pelbagai langkah telah dan sedang dilakukan oleh pentadbiran Najib dalam usahanya untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat. Di antaranya termasuklah memperkenalkan KPI dan NKRA untuk mengukur prestasi setiap menteri dan kementerian yang terlibat. Nampaknya suatu usaha yang bersungguh-sungguh. Ini termasuk menjemput pakar KPI dari England, Sir Michael Barber bagi mengendalikan bengkel berkenaan KPI dan NKRA.
Sebagai seorang muslim kita perlulah melihat persoalan prestasi itu bukannya hanya sekadar mengikut penilaian kaca mata manusia semata-mata. Tetapi lebih jauh dari itu, perlu ada suatu kesedaran dikalangan para pemimpin umat Islam hari ini bahawa jawatan yang mereka sandang itu adalah suatu amanah yang akan dipersoalkan oleh Allah SWT kelak. Haruslah disedari bahawa “kekuasaan” yang mereka perolehi itu hakikatnya datang dengan pakej “amanah” yang akan diperhitungkan oleh Allah SWT kelak di hari akhirat. Para pemimpin umat Islam seharusnya memahami bahawa setiap dari mereka adalah pemelihara yang menjadi penjaga kepada segenap urusan umat Islam. Sabda Rasulullah SAW:
“Ketahuilah bahawa setiap orang di antara kamu adalah pemimpin dan setiap orang di antara kamu bertanggungjawab terhadap orang yang dipimpinnya. Maka pemimpin/imam yang memelihara manusia bertanggungjawab terhadap manusia. Orang lelaki menjadi pemimpin kepada anggota keluarganya dan bertanggung jawab terhadap mereka. Wanita bertanggungjawab memelihara anggota keluarga suaminya dan anak-anaknya serta bertanggungjawab terhadap orang yang dijaga. Hamba sahaya memelihara harta kekayaan tuannya dan bertanggungjawab terhadap tuannya. Ketahuilah bahawa setiap orang di antara kamu adalah pemelihara dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan atas sesuatu yang dipeliharanya”. [HR al-Bukhari].
Kita yakin jika “amanah” dan “kekuasaan” yang mereka pegang itu dijadikan sebagai ukuran “KPI” yang akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT kelak maka akan lahirlah para pemimpin yang bertakwa di kalangan umat Islam sebagaimana Umar Al-Khattab, Umar bin Abdul Aziz dan yang seangkatan dengannya. Renungilah firman Allah SWT ini:
“Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan”. [TMQ al-Ahzaab (33) : 72].
Apakah Najib dan barisan menterinya sedar bahawa amanah paling besar yang ada di bahu-bahu mereka saat ini adalah kewajiban untuk menerapkan hukum Allah SWT dalam pemerintahan yang mereka jalankan. Ini tidak kira samada yang berkaitan dengan sistem pemerintahan, sistem ekonomi, sistem sosial, sistem pendididkan, sistem penghakiman dan lain-lainnya. Wahai Najib dan barisan menteri! Ingatlah firman Allah SWT ini!
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)”. [TMQ al-Anfaal (8) : 27].