Tiada nas yang membolehkan demokrasi – Jurucakap HTM

BULETIN HTM – Benarkah terdapat nas daripada al-Quran dan as-Sunnah yang boleh dijadikan sandaran untuk membolehkan umat Islam mengambil demokrasi? Persoalan ini dikupas oleh Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia (HTM), Ustaz Abdul Hakim Othman dalam program Kupas Tuntas Bersama Jurucakap HTM bertajuk “Benarkah Ada Nas Yang Membolehkan Demokrasi?” pada Jumaat (28/08/2026).

Di awal kupasannya, Ustaz Abdul Hakim menjelaskan bahawa terdapat pelbagai pandangan dalam kalangan umat Islam mengenai demokrasi. Ada yang menolaknya kerana berasal daripada Barat, ada yang berpandangan unsur yang baik boleh diambil, manakala sebahagian yang lain melihat demokrasi hanya sebagai alat untuk meraih kekuasaan sebelum Islam diterapkan. Malah ada juga yang mendakwa demokrasi sebenarnya selari dengan Islam.

Menurut beliau, persoalan utama bukan semata-mata dari mana demokrasi berasal, tetapi apakah asas sistem tersebut dan apakah terdapat nas syarak yang membolehkannya. Ya, dari mana asal demokrasi itu penting untuk diketahui, jelas beliau, namun untuk menentukan boleh atau tidak mengambilnya, mestilah dilihat kepada nas.

Antara hujah paling popular yang digunakan oleh pihak yang membolehkan demokrasi ialah menyamakan demokrasi dengan syura. Ustaz Abdul Hakim menjelaskan bahawa perbandingan tersebut adalah out of context kerana demokrasi merupakan sebuah sistem pemerintahan, sedangkan syura ialah proses bermesyuarat atau mendapatkan pandangan yang boleh wujud dalam pelbagai sistem dan organisasi.

Beliau seterusnya membezakan antara Parlimen dalam demokrasi dengan Majlis Umat atau Majlis Syura dalam sistem Islam. Menurutnya, Parlimen mempunyai fungsi legislatif untuk menggubal undang-undang, menentukan halal dan haram, sedangkan Majlis Umat (atau Majlis Syura) bukan badan pembuat hukum. Malis Umat berperanan antara lain memberikan pandangan, menasihati serta memuhasabah Khalifah, sedangkan halal dan haram tetap ditentukan oleh syarak.

Kupasan kemudian menyentuh beberapa nas dan peristiwa yang sering digunakan untuk membolehkan penerapan sistem selain Islam. Antaranya ialah kisah Raja Najasyi yang telah memeluk Islam tetapi dikatakan terus memerintah dengan sistem yang sedia ada.

Ustaz Abdul Hakim menegaskan bahawa peristiwa tersebut telah digunakan secara salah apabila dijadikan dalil bahawa seorang Muslim boleh memilih untuk tidak berhukum dengan Islam. Menurutnya, sesuatu peristiwa sirah perlu diteliti secara menyeluruh sebelum dibuat kesimpulan hukum dengan cara yang mudah.

Jurucakap HTM itu kemudian menjelaskan dengan menyeluruh dan mendalam bagaimana pihak yang menggunakan hujah Raja Najasyi telah tersalah dalam memahami peristiwa tersebut serta salah dalam mengistinbat hukum daripadanya.

Begitu juga dengan kisah Nabi Yusuf (as) yang sering dikemukakan sebagai hujah bahawa baginda memerintah menggunakan undang-undang Raja Mesir. Abdul Hakim mempersoalkan mengapa kisah tersebut digunakan untuk membolehkan hukum selain Islam sedangkan Nabi Yusuf tidak pernah berbuat demikian, bahkan Nabi Yusuf sendiri menyatakan bahawa hak membuat hukum itu hanyalah milik Allah sebagaimana yang terdapat di dalam Surah Yusuf. Tambahan lagi, terdapat banyak ayat di dalam Al-Quran yang memerintahkan umat Nabi Muhammad (saw) supaya berhukum dengan apa yang Allah (swt) turunkan.

Menjawab persoalan sama ada politik merupakan masalah akidah atau ijtihad, beliau menjelaskan bahawa politik bukan masalah akidah dalam pengertian seseorang menjadi kafir hanya kerana tidak berpolitik. Namun, pengurusan urusan manusia dan negara tetap wajib terikat dengan hukum Islam. Adapun perkara yang melibatkan strategi, analisis serta kaedah pelaksanaan, ia berada dalam ruang pandangan dan pertimbangan manusia.

Ustaz Abdul Hakim turut menolak anggapan bahawa menolak demokrasi bermakna umat Islam terpaksa memilih pemerintahan diktator. “Demokrasi pun kita tak nak, diktator pun kita tak nak. Yang kita nak adalah Islam,” jelasnya.

Mengenai hujah maslahat untuk membolehkan demokrasi, beliau menegaskan bahawa nas datang tanpa disertai maslahat. Kita wajib mengambil nas tanpa melihat ada atau tidak maslahat. Menurutnya, apabila sesuatu perkara telah mempunyai ketetapan hukum berdasarkan nas, maslahat tidak boleh digunakan untuk mengetepikan ketetapan tersebut. Begitu juga dengan hukum mengambil demokrasi, mesti dilihat daripada aspek nas, bukan aspek maslahat, ujar beliau.

Beliau turut menjawab dakwaan bahawa demokrasi mesti diterima kerana ramai ulama membolehkannya. Menurut Abdul Hakim, pandangan ulama bukanlah nas. Ulama boleh berbeza pandangan, tetapi betul atau salah itu mesti dilihat berdasarkan nas yang mereka gunakan. Beliau memberi contoh bahawa riba itu haram berdasarkan nas yang jelas, maka walaupun ada ulama yang membolehkannya, kita tidak akan terima pandangan ulama berkenaan.

Di akhir program, Jurucakap HTM itu menegaskan bahawa setelah nas dan hujah yang sering dikemukakan untuk membolehkan demokrasi diteliti, tidak terdapat satu nas pun yang dapat dijadikan sandaran untuk menerima demokrasi. Sebaliknya, menurut beliau, Islam telah pun sempurna sebagai agama dan sistem kehidupan yang datang daripada Allah (swt), dan tidak memerlukan demokrasi untuk melengkapkannya.