Tidak ada salahnya isytihar harta, tetapi..

Kita menyaksikan dalam kempen PRU15 kali ini beberapa orang calon yang juga pemimpin parti-parti politik telah membuat pengisytiharan harta, bertujuan menunjukkan kepada rakyat bahawa mereka telus, berani dan tidak terlibat dalam apa-apa salah guna kuasa sepanjang mengumpul harta yang begitu banyak.

Apa yang jelas, harta mereka kesemuanya berjumlah berjuta-juta ringgit, yang sekali gus “membuktikan” bahawa posisi pimpinan politik dalam sistem demokrasi pada hari ini bukanlah untuk golongan miskin.

Ada pandangan yang tidak setuju, malah ada beberapa pimpinan politik lain yang tidak melakukan perkara tersebut menyindir mereka yang melakukannya dengan mengatakan bahawa mereka tidak ada harta yang berjuta-juta untuk diisytiharkan.

Menurut Islam, tidak ada salahnya untuk mereka mengisytiharkan harta, kerana apa yang penting ialah harta tersebut diperolehi dengan cara yang halal. Jika ia diperolehi dengan cara yang haram walaupun hanya satu sen, maka isytihar atau tidak isytihar sama sahaja kerana ia tetap haram.

Umar al-Khattab merupakan seorang Khalifah yang sangat mahsyur dengan ketegasannya dalam bab harta. Demi menjaga wali-walinya daripada memiliki harta haram, beliau menghitung kekayaan wali-walinya di awal pelantikan mereka, kemudian sentiasa mengaudit, dan menghitung sekali lagi harta mereka di akhir jawatan.

Bila terdapat pertambahan yang tidak wajar, Umar memerintahkan wali-walinya agar menyerahkan pertambahan tersebut kepada Baitul mal, atau kadang-kadang beliau membahagi dua pertambahan tersebut, separuh untuk Baitul Mal dan sisanya diserahkan kepada yang berkenaan.

Dengan cara auditing seperti ini, Umar telah berhasil mengatasi secara mendasar punca yang boleh menimbulkan penyelewengan, rasuah, pengkhianatan atau kerosakan dalam negara yang disebabkan oleh para pegawainya.

Umar telah menunjukkan kepada kita akan tugas seorang ketua negara yang seharusnya mengaudit para pegawai yang dilantiknya, dan beliau tidak ragu sedikit pun untuk mengambil tindakan ke atas para pegawai yang disyaki terlibat dalam kesalahan.

Justeru, jika ada mana-mana pemimpin pada hari ini yang ingin mengisytiharkan harta, maka tidak ada salahnya selama ia diperolehi dengan jalan yang halal, tetapi yang salahnya ialah apabila mereka memimpin tidak berdasarkan Islam, dan yang lebih salah lagi ialah apabila mereka memegang jawatan pemerintahan, mereka mencampakkan Al-Quran dan As-Sunnah daripada pemerintahan mereka.

Wallahu a’lam.