HTM serah jawapan fatwa ke Jabatan Mufti Johor, tetapi ditolak

Johor Bahru 9 Disember – Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) hari ini telah menyerahkan jawapan terhadap fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor ke atas Hizbut Tahrir yang bertarikh 15 Julai 2019.

Atas keyakinan bahawa Jabatan Mufti Johor tidak akan menerima kedatangan delegasi HTM, maka penyerahan jawapan tersebut telah dibuat melalui khidmat penghantaran, yang dibuat secara serahan tangan. Serahan telah cuba dilakukan secara terus ke pejabat Mufti di Tingkat 3, Bangunan Pusat Islam Iskandar Johor sekitar tengah hari tadi. Namun malangnya ia telah ditolak secara mentah-mentah oleh pegawai yang bertugas, atas alasan mereka tidak mahu menerima sebarang dokumen daripada Hizbut Tahrir.

Setelah pegawai tersebut berkeras tidak mahu menerimanya atas alasan yang sangat tidak munasabah, petugas penghantaran berkenaan, yang kehairanan, terpaksa keluar dari bangunan dengan membawa semula jawapan tersebut.

Bagaimana pun, oleh kerana beliau berusaha melaksanakan amanah pekerjaannya, beliau telah meletakkan jawapan tersebut di pondok pengawal, dan berjaya mendapatkan tandatangan pengawal keselamatan yang bertugas, sebagai tanda terima jawapan tersebut.

Kami sungguh kesal dengan sikap yang ditunjukkan oleh pihak berkuasa agama Johor, yang menolak jawapan fatwa tersebut. Sudahlah mereka memfitnah Hizbut Tahrir dengan pelbagai fitnah dan pendustaan melalui fatwa yang dikeluarkan, dan mereka juga menolak bantahan yang telah kami hantar pada 27/09/2020, kini mereka menolak pula jawapan yang kami berikan. La haula wa la quwwata illa billah.

Untuk makluman, jawapan fatwa yang telah kami serahkan itu adalah sebanyak 10 salinan, iaitu kami tujukan kepada setiap anggota Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor, sebuah jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Mufti Johor.

Insya Allah kami akan menyiarkan jawapan penuh kepada fatwa fitnah tersebut dalam semua saluran media sosial kami dalam masa terdekat, kerana jawapan tersebut secara umumnya adalah ditujukan juga kepada seluruh umat Islam. Semoga Allah (swt) membuka pintu hati mereka yang ikhlas dalam mencari dan menerima kebenaran.