Jabatan Mufti Tolak Serahan Memorandum HTM

Johor Bahru 27 Sep – Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) hari ini menyerahkan Memorandum Bantahan ke Jabatan Mufti Negeri Johor berhubung fatwa yang telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor ke atas Hizbut Tahrir.

Fatwa yang penuh dengan fitnah, pembohongan, pemesongan fakta dan kekeliruan ke atas Hizbut Tahrir itu telah diwartakan pada 12 Zulkaedah 1440 H  / 15 Julai 2019 M, dan setakat maklumat yang diketahui, ia mula disiar dan disebarkan kepada orang ramai pada 12/09/2020.

Delegasi HTM yang terdiri daripada dua orang pimpinan Pusat, dan Jurucakapnya tidak dibenarkan masuk ke Pejabat Mufti dan mendapat layanan yang tidak sepatutnya di luar pintu pejabat oleh Ustaz Azhar Samadun yang mewakili Jabatan Mufti.

Wakil Jabatan Mufti itu dengan tegas menolak untuk menerima Memorandum Bantahan tersebut atas alasan kononnya HTM tidak berdaftar, dan beberapa perkara lain, termasuk kes mahkamah yang melibatkan anggota HTM dibangkitkan oleh beliau.

Walaupun delegasi HTM telah menjelaskan dengan baik akan beberapa perkara yang dibangkitkan, namun wakil Mufti tersebut tetap berkeras menolak untuk menerima Memorandum tersebut atas alasan yang tidak munasabah sehingga terjadi pertikaman lidah. Akhirnya pihak keselamatan datang untuk “menghalau” delegasi HTM dan wakil Mufti tersebut kemudian mengugut untuk memanggil penguatkuasa untuk menangkap delegasi HTM jika tidak beredar serta-merta.

Dalam fb live yang diadakan sejurus selepas itu, delegasi HTM melahirkan rasa kecewa yang amat sangat dengan layanan yang tidak sepatutnya yang telah diterima, sedangkan apa yang ingin disampaikan hanyalah sebuah Memorandum Bantahan ke atas fitnah berat yang telah dilontarkan dalam fatwa ke atas HTM.

Jurucakap HTM, dalam fb live tersebut turut menjelaskan bahawa HTM sedang mempertimbangkan untuk menjawab secara bertulis dan sepenuhnya tentang kandungan fatwa fitnah tersebut dan juga kemungkinan untuk membawa kes ke mahkamah.