Tindakan Aneh Wanita UMNO
BATU GAJAH 12 Mac – Seramai 1,000 ahli Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Gopeng mengadakan perhimpunan secara aman hari ini bagi mendesak Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan sampel bagi tujuan ujian profil asid deoksiribonukleik (DNA) kepada Mahkamah Tinggi. Perhimpunan tersebut berlangsung selama sejam di Arena Square Batu Gajah di sini. Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Hamidah Osman berkata, perhimpunan berkenaan diadakan bagi mendesak Penasihat PKR itu menyelesaikan segera kekeliruan di kalangan rakyat berhubung status DNA lelaki Y yang masih belum dikenal pasti. Sumber : Utusan Malaysia: 12/03/11
Alangkah Eloknya Jika Wanita UMNO Berdemo Agar Diterapkan Dan Ditegakkan Hukum ‘Uqubat Islam.
Jadi, apa yang dilakukan oleh para wanita UMNO itu menggambarkan betapa jahilnya mereka tentang sistem penghukuman (Nidhamul ‘Uqubat) di dalam Islam. Keadaan ini tidak mengejutkan kerana sememangnya UMNO adalah sebuah parti yang berasaskan kepada fahaman dan pemikiran sekular. Bagi mereka, Islam itu hanya berperanan di dalam persoalan individu semata-mata dan tidak lebih daripada itu. Mereka nampaknya terus tenggelam atau ‘ditenggelamkan’ di dalam lumpur sekularisme. Sehinggakan desakan dan demontrasi yang mereka lakukan itu bukannya mendesak agar kes tersebut diadili dengan peradilan Islam, tetapi sekadar menuntut pihak yang dituduh untuk menyerahkan sampel DNA. Apakah para pendemo yang kebanyakkannya adalah ibu-ibu atau mungkin juga sudah bergelar nenek itu menyedari bahawa mahkamah yang mengadili kes liwat Anwar itu melaksanakan undang-undang taghut? Apakah mereka tidak memahami firman Allah SWT:
“tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad) orang-orang (munafik) yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada Al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu? Mereka suka hendak berhakim kepada taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada taghut itu. Dan syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang amat jauh”. [TMQ An Nisaa’ (4) : 60].
“maka demi Tuhanmu (Wahai Muhammad)! mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya”. [TMQ An Nisaa’ (4) : 65].