Tol – Sampai bila rakyat akan terus diperbodohkan?
Beliau berkata jika sistem baru itu berkesan dan digunakan, pemandu tidak lagi perlu berhenti atau memperlahankan kenderaan untuk membayar tol seperti amalan sekarang dan sekali gus mengatasi masalah kesesakan.
Di pandang dari sudut teknologi, maka memanglah hebat cadangan Menteri Kerja Raya baru ini. Begitu juga jika dipandang dari sudut usaha kerajaan untuk mengurangkan kesesakan di plaza tol, maka tidak dapat dinafikan bahawa ini adalah satu cadangan yang cemerlang gemilang dan terbilang.
Namun, satu perkara yang juga tidak dapat dinafikan ialah, inilah pemikiran Kapitalis yang ada pada pemimpin di dunia umat Islam saat ini. Mereka berusaha untuk terus memperbodohkan umat yang berada dibawah tanggungjawab mereka dengan memberikan pelbagai penyelesaian yang kononnya seolah-olah baik untuk rakyat. Tetapi pada hakikat dan faktanya mereka terus menipu dan mengkhianati rakyat yang memberikan amanah kepada mereka.
Di dalam kes ini, punca kepada segala masalah adalah “tol” itu sendiri! Bukannya “cara” atau “masa” nak bayar tol. Kerana adanya tol-lah, rakyat menderita, kerana adanya tol-lah, berlakunya kesesakan dan kerana adanya tol-lah, pemimpin Kapitalis dan kroni mereka kaya-raya kerana dapat membolot duit rakyat. “Tol”lah yang menjadi punca kepada segala-galanya, bukannya “cara” nak bayar tol.
Selepas rakyat diperbodohkan dengan kereta elektrik dan teknologi hydrofuel untuk mengatasi masalah kenaikan harga minyak, kini satu lagi cadangan yang cukup jelas memperbodohkan rakyat telah cuba untuk diperkenalkan. Menteri kerja raya yang baru ini nampaknya cuba untuk menjadi jaguh bagi menandingi bekas menteri yang lama. Inilah hakikat apabila “sistem” pemerintahan tidak bertukar, tapi yang berukar hanyalah “orang”nya sahaja. Ibarat kata seperti kereta buruk yang dipandu oleh pemandu yang baru. Kalau dahulu pemandunya bernama Samy Vellu, kini pemandunya telah diambil alih oleh orang lain pula.
Isu bagi rakyat ialah tol yang dikenakan, bukanya cara atau masa pembayaran tol. Memperkenalkan teknologi canggih ini tidak lain adalah cara mengubati simptom, bukannya menyelesaikan masalah itu sendiri. Ibarat kata, jika berlaku banyak kes rogol di negara ini, maka pemimpin mencadangkan agar diperbanyakkan rumah pelacuran. Masalah tidak selesai, malah dosa pemimpin terus bertambah! Tol adalah satu bentuk cukai yang dikutip oleh kerajaan terhadap pengguna jalanraya. Cukai ini adalah jelas lagi nyata merupakan suatu yang haram di dalam Islam. Justeru, apa yang sewajibnya dilakukan oleh kerajaan adalah untuk menghapuskan tol, bukannya memodenkan “cara” pembayaran tol. Hanya dengan menghapuskan tol sahajalah (menerapkan sistem Islam), barulah penderitaan rakyat akan selesai, barulah masalah kesesakan akan selesai, dan yang paling penting, barulah menghapuskan dosa para pemimpin itu sendiri.
Wahai pemimipin umat Islam! Sedarilah bahawa jalanraya adalah milik umum (milkiyyah ‘ammah) dan haram hukumnya pemerintah berniaga dengan rakyat sama seperti minyak, gas, air, api dan lain-lainnya, semuanya adalah harta milik umum. Perlu kita sedari bahawa kewujudan tol itu adalah kesan dari penerapan sistem ekonomi kapitalisme yang diterapkan saat ini dimana akhirnya kerajaan yang ada akan terus berniaga dengan rakyat untuk membolot keuntungan. Oleh itu, selagi sistem Kapitalis yang diamalkan, maka siapa sahaja pemimpin yang naik, penderitaan rakyat akan tetap berterusan. Dengan itu, marilah kita sama-sama mencampakkan sistem ekonomi yang bobrok ini dengan kita mengembalikan semula sistem Khilafah yang sudah pasti akan menerapkan Islam secara kaffah dan akan mengembalikan segala hak rakyat. Firman Allah SWT:
“Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal – kepada orang-orang yang penuh keyakinan – tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik daripada Allah” [TMQ al-Ma’idah (5):50]