Tragedi 3 Mac : Siri 3
Dengan runtuhnya Khilafah, kita menyaksikan bagaimana campur tangan Barat ke atas negeri-negeri kaum Muslimin sama ada secara langsung mahupun tidak. Di Afghanistan, Bosnia, Chechnya, Timur Timor, Gujarat, Kashmir, Pakistan, Palestin, Somalia dan Iraq, mereka terjun secara langsung melawan umat Islam di sana. Di kawasan Asia Tengah dan lain-lain kawasan Timur Tengah, mereka melantik ejen-ejen mereka dari kalangan penguasa kaum Muslimin yang senantiasa menjaga kepentingan mereka dan memerintah mengikut apa yang mereka kehendaki. Mereka menjajah tanah kita dan meratah segala sumber alam yang ada. Tidak cukup dengan itu, mereka menyembelih saudara-saudara kita secara beramai-ramai, mencabul kehormatan kaum Muslimah, menghina Rasulullah SAW dan menghina Al-Quran. Manakala para penguasa yang merupakan ejen-ejen mereka pula, turut tidak ada perasaan belas kasihan sedikit pun untuk membunuh dan menyeksa rakyat mereka sendiri demi kepentingan Barat. Inilah apa yang terjadi ke atas umat Islam sejak runtuhnya Khilafah 92 tahun yang lalu, sudah tidak ada lagi pemimpin yang melindungi umat, sebaliknya digantikan dengan para pemimpin yang menjadi pembunuh dan penyembelih umat.
Walhal tatkala wujudnya Negara Khilafah dahulu, Khalifah menjadi perisai kepada umat selama lebih 13 abad, menjaga kesatuan umat dan menerapkan hukum Allah yang menjadi rahmat bagi sekalian alam. Ekonomi pada zaman Khilafah memberi kesejahteraan kepada seluruh warganya dan menjadi model kepada dunia. Manakan tidak, terpahat indah dalam lembaran sejarah bahawa pernah wujud satu masa pada zaman Khilafah di mana tidak ada seorang pun kaum Muslimin yang layak menerima zakat dek keberkatan hukum Allah yang diterapkan oleh Sang Khalifah. Manakala di bidang pendidikan, universiti-universiti di Negara Khilafah menjadi tempat belajar dan rujukan para pelajar dari seluruh dunia, baik Muslim mahu pun bukan. Sementara keadilan sistem perundangannya pula sudah tidak perlu diperkatakan lagi kerana Negara Khilafah adalah negara yang berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah.
Tinta emas sejarah Islam turut mencatat bahawa keamanan dan keselamatan umat Islam di bawah naungan Khilafah juga sungguh terjamin. Muslim dan non-Muslim hidup dalam harmoni tanpa mengira keturunan mahupun bahasa mereka. Malah Khilafah menjaga hak-hak non-Muslim tanpa ada perbezaan sedikit pun dengan penjagaan Khilafah ke atas hak-hak kaum Muslimin. Negara Khilafah amat disegani kawan dan ditakuti lawan selama lebih seribu tahun. Para tenteranya menjaga kaum Muslimin dari sebarang ancaman dan membuka tanah-tanah baru dengan jalan dakwah dan jihad. Selama lebih 13 abad sebelum kuffar Barat berjaya menjajah negara umat Islam, umat Islam hidup dalam keadaan terpelihara maruah, harta, darah dan nyawa mereka.
Namun segala kebaikan ini lenyap secara rasminya pada 3 Mac 1924 (28 Rajab 1342H) seiring dengan lenyapnya Khilafah dari peta dunia. Justeru, sempena dengan bulan Mac tahun ini, Hizbut Tahrir sekali lagi mengajak kaum Muslimin agar berfikir dan merenung sejenak, kenapakah segala penderitaan menimpa umat Islam dari pelbagai sudut? Renungi dan fikirkanlah sebab-sebabnya dengan benar dan ikhlas, agar setiap diri yang selama ini terpaku akan mula bergerak dan segala kekecewaan akan bertukar menjadi harapan. Sesungguhnya satu-satunya penyebab kepada segala penderitaan dan penghinaan ini adalah kerana hukum Allah sudah tidak lagi diterapkan ke atas kita semua, khususnya dalam bentuk bernegara. Sejak Barat, melalui ejennya Mustafa Kamal Attartuk laknatullah berjaya menghancurkan Khilafah, Turki yang menjadi negara terakhir jatuh ke tangan dominasi kuffar, sudah tidak ada satu negara pun lagi yang menerapkan Kitabullah dan Sunnah RasulNya dalam pemerintahan. Sistem pemerintahan dan undang-undang di semua negara kaum Muslimin, yang dahulunya berasal dari wahyu, kemudian telah ditukar kepada sistem pemerintahan sekular yang menjadikan manusia sebagai pembuat hukum. Sejak itu, kita menyaksikan penderitaan dan kehinaan menimpa kaum Muslimin dalam bentuk yang tidak pernah disaksikan dalam sejarah.
Sejak lenyapnya Khilafah kira-kira 92 tahun yang lalu, pengaruh, dominasi dan tsaqafah kuffar Barat menancap tajam dalam negara dan tubuh umat Islam. Perpecahan menjalar ke dalam tubuh umat dengan cepat dan menyeluruh seperti menjalarnya racun yang sangat berbisa. Segala pertahanan dan kekuatan umat Islam hancur luluh. Dari luar, negara umat Islam dikerat-kerat kepada lebih 50 buah negara manakala dari dalam, akidah dan pemikiran umat telah diresapi racun mematikan berupa tsaqafah Barat, sikap assabiyyah dan wathaniyyah, penerapan sistem demokrasi dan banyak lagi, yang kesemuanya telah melumpuhkan tubuh umat, yang satu waktu dulu gagah perkasa.
Kerana runtuhnya Khilafahlah, puak penjajah berjaya memberikan Yahudi Zionis sebuah negara yang mereka mahukan. Malah, negara haram tersebut didirikan di atas tanah Palestin yang diberkati, bumi israk dan mikrajnya Rasulullah SAW. Barat seterusnya memberi perlindungan kepada Yahudi untuk terus bertempat tinggal di situ, malah membantu kaum terlaknat itu untuk mengusir dan membunuh umat Islam dari tanah airnya sendiri. Kesemua ini dilakukan dengan jayanya hasil dari bantuan (pengkhianatan) penguasa-penguasa kaum Muslimin yang berjiran dengan Palestin. Sepatutnya para penguasa ini membantu saudara-saudara seakidah mereka dengan melawan Barat dan memberi perlindungan kepada kaum Muslimin yang menjadi mangsa, sebaliknya mereka menolong Barat dan melindungi Yahudi serta membiarkan kaum Muslimin dibunuh oleh puak kuffar tersebut. Pendek kata, sejak jatuhnya Khilafah pada 3 Mac 1924, sudah tidak terkata, tidak terperi dan tidak terhitung lagi kesengsaraan yang menimpa umat Islam di seluruh dunia.
Umat Semakin Sedar
Di tengah-tengah kesakitan yang sedang dideritai oleh umat, Hizbut Tahrir bangkit dan cuba menyembuhkan umat ini dari luar dan dalam. Hizbut Tahrir berusaha membuang segala racun pemikiran kufur yang ditanam oleh Barat ke dalam tubuh umat. Hizbut Tahrir berusaha membuang segala fanatisme assabiyyah dan wathaniyyah yang ada pada umat. Hizbut Tahrir secara berterusan menyeru umat kepada penyatuan yang hakiki sebagaimana dahulunya yakni bersatu di bawah naungan Khilafah dan menerapkan hukum Allah di dalam kehidupan. Segala puji bagi Allah kerana umat ini ternyata sudah semakin sembuh. Seruan Hizbut Tahrir yang bermula di Al-Quds (Palestin) kini telah disahut oleh umat Islam di seluruh belahan dunia. Umat Islam sudah mula sedar dan sudah bangkit, malah sudah bergerak ke arah penyatuan di bawah Negara Khilafah. Kuffar Barat sudah semakin khuatir melihat kepada perkembangan ini. Mereka sedikit pun tidak memandang remeh akan hal ini sehingga walaupun dalam keadaan takut, segala kekuatan, termasuk ketenteraan sudah mereka siapkan bagi menghadapi kebangkitan dan penyatuan umat di bawah Khilafah.
Namun, apa sekali pun kekuatan yang Barat sediakan untuk menghadapi kembalinya Khilafah, ia sebenarnya sudah terlambat dan tidak ada gunanya. Arus deras perubahan sedang melanda dan sudah tidak terbendung lagi. Tanda-tanda kembalinya Khilafah itu dapat kita saksikan di seluruh dunia. Kaum Muslimin tidak lagi diam dalam isu yang menyentuh saudara-saudaranya. Perasaan seperti tubuh yang satu sudah menjalar ke dalam umat. Justeru, kita melihat umat Islam bereaksi serentak di seluruh dunia tatkala saudara-saudara mereka ditindas. Kaum Muslimin sudah merasakan yang isu Gaza adalah isu mereka, isu Rohingya adalah isu mereka, isu selatan Thailand adalah isu mereka, isu Mesir adalah isu mereka dan isu Syria adalah isu mereka. Umat Islam bereaksi secara serentak apabila Rasulullah SAW dihina, apabila Al-Quran dihina, apabila agama Islam dihina. Pendek kata, segala isu yang menimpa umat Islam, ia sudah ‘dirasakan’ sebagai isu bersama dan umat Islam tidak lagi berdiam diri dengannya.
Umat Islam juga sudah semakin sedar dengan kegagalan sistem kapitalisme. Krisis kewangan akibat kapitalisme ini telah menimbulkan bencana kemanusiaan yang sangat mengerikan. Adalah ironis, menyedihkan dan tidak masuk akal apabila dunia Islam yang memiliki lebih dari 60% bekalan minyak dunia, 55% gas dunia, hampir 37% emas dan memiliki hampir 25% kekuatan tentera dunia, namun kenyataannya, dunia Islam begitu lemah dan terjajah, hampir tidak memiliki pengaruh politik dan tidak memiliki kepemimpinan yang teguh untuk mengelola sumber daya alamnya sendiri yang melimpah ruah.Ini semua terjadi kerana pengkhianatan yang dilakukan oleh para penguasa yang mencampakkan hukum Allah dari pemerintahan negara.
Sesungguhnya Allah SWT memberkati umat Islam dengan kekuatan yang luar biasa berbanding pihak musuh. Keluasan negara dan populasi kaum Muslimin sebenarnya berlipat kali ganda dari yang dipunyai oleh pihak musuh, terutama Amerika Syarikat. Pakistan sahaja mempunyai keluasan negara yang melebihi Perancis dan Britain serta mempunyai populasi ke-enam terbesar di dunia, lebih besar dari Russia, Britain mahu pun Perancis. Wilayah kaum Muslimin memiliki sumber minyak utama dunia, lebih dari negara-negara Barat. Kombinasi kekuatan dan kerahan tentera Pakistan, Turki, Mesir, Indonesia, Arab Saudi dan Maghribi adalah melebihi 2 juta, lebih 20 kali ganda daripada kekuatan tentera Amerika di Iraq yang terkenal penakut walaupun dengan orang awam yang tak bersenjata. Justeru, kelemahan umat Islam bukanlah kerana kekurangan sumber daya dan kekuatan, tetapi hanya kerana satu sebab sahaja iaitu kerana tidak ada Negara Khilafah yang menerapkan hukum Allah yang sepatutnya menyatukan negeri-negeri kaum Muslimin dan melindungi kaum Muslimin dari musuh-musuh Allah. Rasulullah SAW bersabda,
“Sesungguhnya Imam (Khalifah) itu adalah perisai di mana umat berperang dan berlindung di belakangnya” [HR Muslim].
Umat Islam kini sudah semakin sedar tentang pengkhianatan penguasa mereka serta kerosakan dan kekufuran sistem pemerintahan yang diamalkan, baik namanya demokrasi, republik, monarki, apatah lagi diktator. Semuanya bukan sistem Islam. Kerana demokrasilah umat Islam berpecah belah, kerana demokrasilah umat Islam dikuasai oleh Barat dan kerana demokrasilah umat Islam terus berada dalam kehinaan. Sistem kufur yang berasal dari Barat inilah yang menjadi punca kepada segala penderitaan umat selama ini. Sistem ini hanya menguntungkan penguasa dan para pemilik modal yang rapat dengan penguasa. Lebih buruk, sistem demokrasi yang diterapkan di negeri-negeri kaum Muslimin ini sebenarnya hanya menguntungkan Barat dan menjadikan Barat berkuasa ke atas umat Islam. Di atas semua keburukan ini, kemuncak kepada segala keburukan ialah, sistem demokrasi ini hanya mengundang murka Allah SWT kerana demokrasi meletakkan kedaulatan di tangan rakyat (rakyat yang membuat hukum), bukannya di tangan Allah SWT selaku Pencipta manusia dan Pembuat hukum bagi manusia.
Kesedaran umat akan keburukan sistem demokrasi, diktator dan lain-lain menyebabkan umat mula mencari alternatif untuk keluar dari semua kerosakan tersebut. Akhirnya, umat sedar bahawa sesungguhnya sudah tidak ada alternatif lain lagi bagi mereka kecuali kembali kepada apa diperintahkan oleh Allah dan RasulNya. Tidak diragukan lagi bahawa apa yang diperintahkan oleh Allah dan RasulNya adalah menegakkan negara Khilafah demi menerapkan hukum Allah secara kaffah di dalam kehidupan. Inilah satu-satunya jawapan yang diperlukan oleh umat Islam. Sebagaimana Daulah Islam yang ditegakkan oleh Rasulullah di Madinah, maka kini umat Islam wajib menegakkan Khilafah, sekali gus menggantikan rejim diktator mahupun sistem kufur demokrasi yang sedia ada. Khilafah, selain merupakan sebuah kewajipan, telah terbukti membawa kesejahteraan kepada umat Islam khususnya dan umat manusia umumnya selama lebih dari 13 abad di lebih dari satu pertiga dunia.
Dalam usaha untuk kembali kepada Islam, umat telah pun bangkit dan bergerak melakukan revolusi di beberapa negara Arab, namun sayangnya revolusi umat berjaya dirampas oleh Barat sehingga tidak ada apa-apa perubahan yang terjadi, sebaliknya Barat berjaya menaikkan penguasa yang rapat dengannya, bagi menggantikan ejen yang sebelumnya. Namun demikian, umat Islam di seluruh dunia terus bergerak tanpa dapat dibendung lagi, khususnya di Syria sekarang, dalam usaha menggantikan rejim diktator dan sistem kufur yang ada dengan sistem Khilafah. Walaupun telah ramai gugur di dalam perjuangan menegakkan agamaNya, namun dengan izin Allah, cahaya kemenangan kini telah semakin kelihatan.
Khatimah
Sesungguhnya para pejuang tidak akan melupakan ayat-ayat Allah tatkala Allah SWT berfirman,
“Jika kamu (pada perang Uhud) mendapat luka, maka sesungguhnya kaum (kafir) itu pun (pada perang Badar) mendapat luka yang serupa. Dan masa (kejayaan dan kehancuran) itu, Kami pergilirkan di antara manusia (agar mereka mendapat pelajaran) dan supaya Allah membezakan orang-orang yang beriman (dengan orang-orang kafir) dan supaya sebahagian kamu dijadikanNya (gugur sebagai) syuhada. Dan Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim” [TMQ Ali Imran (3):140].
Inilah sunnatullah, bahawa hari-hari itu dipergilirkan di antara manusia. Umat ini dahulu telah menyaksikan Daulah al-Khilafah ‘ala minhaj nubuwah selama masa Khulafa’ al-Rasyidin. Kemudian umat ini menyaksikan pemerintahan yang menggigit (mulkan ‘adhan) pada zaman sesudah itu, namun mereka tetap memerintah dengan Kitabullah dan Sunnah NabiNya. Sejak runtuhnya al-Khilafah hingga sekarang, umat menyaksikan pula pemerintahan diktator (mulkan jabariyyan) yang memerintah dengan hukum kufur. Selepas ini Insya Allah umat Muhammad ini akan menyaksikan kembalinya pemerintahan Khilafah al-Rasyidah ala minhaj nubuwwah. Inilah janji daripada Allah dan RasulNya bahawa sesungguhnya Islam akan menang kembali,
“Dan di hari (kemenangan) itu bergembiralah orang-orang yang beriman kerana pertolongan Allah. Dia menolong siapa yang dikehendakiNya dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang” [TMQ al-Rum (30):4-5].
Dan pada hari kemenangan itu, terubatlah segala luka pada tubuh umat ini dan kenangan pilu 3 Mac 1924 akan segera berakhir.