Tragedi Pangkalan Feri Triso – Segerakan Pembinaan Jambatan Batang Lupar

Kejadian menyayat hati yang menimpa keluarga dari Kapit yang dalam perjalanan ke Kuching sememangnya telah ditakdirkan, namun terdapat perkara yang mampu dilakukan bagi mengelakkannya daripada terjadi sekiranya dilihat dari sudut sababiyyah (proses sebab-akibat).

Sekiranya ditelusuri, sebenarnya tragedi sebegini dapat dielakkan sejak sekian lama dengan pembinaan jambatan Batang Lupar bagi memudahkan perjalanan penduduk yang tinggal di persisiran pantai. Malahan pembinaan jambatan ini juga mampu untuk memendekkan jarak perjalanan dari Kuching ke Sibu.

Pangkalan feri ini bukanlah asing bagi penulis kerana perkhidmatan feri inilah yang digunakan setiap kali ingin pulang ke kampung melalui jalan pesisir. Amat malang bagi penduduk di kawasan ini, kerana setelah puluhan tahun berlalu dan tatkala di negeri lain membincangkan jambatan tambahan, namun Sarawak masih berbicara mengenai pembinaan jambatan utama!

Kejadian ini wajib membuka mata semua pihak yang bertanggungjawab agar mempercepat pembinaan jambatan ini bagi mengelakkan kejadian serupa daripada berulang. Dalam hal ini, kedua-dua kerajaan negeri dan kerajaan pusat bertanggungjawab penuh atas apa yang berlaku serta perlu bertindak segera bagi menanganinya kerana ia bukan sahaja melibatkan keselesaan pengguna semata-mata, bahkan boleh mengancam nyawa seperti yang terjadi dalam insiden baru-baru ini.

Meskipun langkah segera membina besi penghadang telah dilakukan bagi mengelakkan kenderaan daripada terjerumus masuk ke dalam sungai, namun tidak sewajarnya berhenti setakat itu sahaja. Prosedur serta kawalan semasa memasuki, menaiki dan meninggalkan feri juga harus diperbaik agar keadaan terkawal dan tiada kelompangan dalam pengurusan pengguna perkhidmatan feri yang ada.

Misalnya, dengan memastikan terdapat kakitangan perkhidmatan feri untuk mengawal jumlah kenderaan yang hendak memasuki feri dan hanya membenarkan kenderaan menuruni ramp sekiranya keadaan muatan feri membenarkan. Feri juga hanya boleh meninggalkan pangkalan sekiranya keadaan di dalam feri dan kenderaan di luar berada dalam keadaan selamat. Semua ini wajar dilaksanakan sehinggalah jambatan siap dibina.

Yang telah pergi sudah tidak boleh kembali, namun bagi kita yang masih bernafas ini, terutamanya pihak pemerintah wajib melakukan sesuatu agar perkara yang sama tidak akan berulang di masa hadapan. Allah sahaja yang tahu betapa besarnya dosa pemerintah yang telah mengabaikan keselamatan rakyatnya hingga ada yang terbunuh.

Takziah diucapkan kepada ahli keluarga yang terlibat. Dari Allah kita datang, kepada Dia jualah kita akan kembali.

Ir. Yusuf M