Tragedi pencemaran bahan kimia Sungai Kim Kim, natijah ideologi Kapitalisme

Sehingga kini, sekitar 5,000 orang telah menjadi mangsa kepada pencemaran bahan kimia sekitar di Pasir Gudang sejak beberapa minggu yang lalu. Pencemaran tersebut akibat pembuangan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim oleh kilang-kilang berhampiran tanpa mengikut prosedur standard. Pembuangan sisa kimia ini telah mengakibatkan bahan-bahan toksik yang mudah meruap tersebar ke seluruh kawasan sekeliling. Mangsa-mangsa yang terhidu bahan-bahan toksik tersebut telah mengalami pening kepala, muntah-muntah, sesak nafas dan pengsan. Sebahagian daripada mangsa telah dimasukkan ke hospital dan ada antaranya yang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU). Pencemaran itu telah memaksa 111 buah sekolah dan beberapa institut pengajian tinggi ditutup. Para penduduk di Pasir Gudang mula panik dan sebahagiannya sudah pun keluar daripada daerah itu kerana khuatir akan keadaan yang tidak selamat itu. Walaupun beribu orang telah menjadi mangsa bahan toksik, namun tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang tidak mahu mengisytiharkan darurat, kerana berpendapat ia baru berada di tahap dua telah mengundang kemarahan sesetengah pihak.

Komentar:

Ramai pihak cuba mencari jawapan mengapa tindakan yang individualistik dan tidak memikirkan keselamatan orang ramai ketika membuang sisa toksik boleh berlaku. Ada yang berpendapat ia disebabkan oleh hukuman yang begitu ringan manakala sebahagian lain pula berpandangan kerana kelemahan penguatkuasaan terhadap undang-undang sedia ada. Ketika mereka saling menuding jari mencari siapa yang bersalah, mereka terlupa bahawa ideologi yang menjadi tunjang kepada sistem ekonomi hari inilah iaitu ideologi Kapitalisme yang menjadi akar kepada bencana alam sekitar.

Kapitalisme – didefinisikan sebagai produksi demi keuntungan dalam pasaran yang kompetitif – merupakan sebuah sistem ekonomi yang menjadikan aspek keuntungan maksimum pihak swasta sebagai terasnya. Motif memaksimumkan keuntungan juga memberikan insentif kepada usahawan meningkatkan produktiviti secara besar-besaran untuk mengoptimumkan keuntungan. Motif memaksimumkan keuntungan yang sama juga membolehkan ejen-ejen ekonomi memperuntukkan sumber-sumber dalam cara-cara termurah untuk pertumbuhan dan dinamisme. Oleh sebab persaingan dalam pasaran sangat besar dan menekan, para usahawan secara logiknya akan menggunakan teknologi yang dapat menjimatkan kos (termurah), yang membolehkan mereka mengatasi tekanan yang datang daripada para pesaingnya di pasaran. Jika mereka tidak melakukannya, sudah pasti pesaing mereka akan melakukannya.

Seperti mana seorang pakar sosiologi ekonomi dari Universiti Wisconsin-Madison, Erik Wright mengatakan salah satu cara untuk menjimatkan kos adalah dengan mencampakkan sebahagian kos tersebut kepada alam sekitar. Misalnya, mencampak keluar sebuah tin minuman daripada tingkap kereta kerana ia cara termurah untuk membuang sebuah tin minuman tanpa mempedulikan kesan negatif kepada orang lain. Sikap yang sama juga selalu didapati pada diri para kapitalis.

Oleh yang demikian, kita tidak perlu terkejut dan kecewa apabila para kapitalis ini mencemarkan alam sekitar dan dengan sengaja mencampakkan sisa toksik ke dalam sungai tanpa mempedulikan langsung bahaya kepada manusia yang lain. Hal ini demikian kerana, ideologi Kapitalisme memotivasikan mereka untuk mendapatkan keuntungan semaksimum yang mungkin dengan cara-cara termurah. Walaupun disediakan SOP untuk melupuskan bahan-bahan toksik mengikut undang-undang, namun cara-cara tersebut memerlukan kos yang akan merugikan mereka.

Lebih malang lagi, apabila syarikat-syarikat dari negara-negara maju yang mahu menjimatkan kos mereka telah memindahkan kilang-kilang mereka ke negara-negara membangun dan dunia ketiga. Di negara-negara ini mereka bebas membuang sisa toksik industri mereka ke alam sekitar. Sebabnya di kebanyakan negara ini, undang-undang alam sekitar terlalu longgar dan tidak mampu menghalang para kapitalis tersebut daripada mencemarkan alam sekitar. Hal yang sama tidak boleh mereka lakukan di negara-negara mereka sendiri, kerana undang-undang yang ketat dan hukuman yang berat. Maka, bolehlah dikatakan syarikat-syarikat kapitalis dari negara-negara maju menjadikan negara-negara membangun dan dunia ketiga sebagai tong sampah untuk sisa toksik daripada industri mereka.

Mereka yang menyanjungi ekonomi Kapitalisme juga tidak boleh marah kepada pihak yang mencemarkan alam sekitar, kerana tindakan pihak tersebut selari dengan ajaran Kapitalisme. Menurut Bapa Kapitalisme, Adam Smith dalam bukunya The Wealth of Nations, sikap individualistik dan tamak merupakan sifat yang baik kerana ia akan memberi manfaat kepada masyarakat keseluruhannya. Manfaat kepada masyarakat diperolehi apabila sikap tamak ini akan mencetuskan daya inovasi dalam kalangan usahawan.

Hakikatnya, falsafah Kapitalisme tersebut merupakan sebuah pembohongan apabila ternyata sikap tamak dan individualistik hanya akan merosakkan alam sekitar dan membahayakan masyarakat. Sikap tamak dan individualistik ini juga menyebabkan perhambaan terhadap buruh, mengekploitasi harga diri wanita, memonopoli pasaran, kemelesetan ekonomi dan kesenjangan antara kaya dan miskin semakin jauh. Pendek kata, ideologi Kapitalisme telah membawa umat manusia dan dunia ke lembah kehancuran.

Justeru itu, ketika berlakunya pencemaran sisa toksik seperti ini, maka hendaklah kita merenung kembali dan memuhasabah diri, masyarakat dan negara agar kita kembali kepada syariat Islam yang Allah telah wahyukan kepada kita. Firman Allah SWT:

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

Telah nyata kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan-perbuatan mereka agar mereka kembali (ke jalan yang benar)” [TMQ ar-Rum (30):41].

Bencana alam sekitar ini sebenarnya kesan daripada perbuatan manusia sendiri yang dimotivasikan oleh ideologi Kapitalisme – untuk mendapatkan keuntungan paling maksimum melalui jalan termurah tanpa mempedulikan bahaya kepada orang lain. Ideologi ini hanya mengajar manusia menjadi individualistik dan bersikap tamak. Inilah ideologi yang rosak daripada akarnya, dan tidak layak dijadikan pegangan bagi umat manusia. Jadi persoalannya, apakah kita masih mengharapkan Kapitalisme dalam menguruskan ekonomi negara ini? Sesungguhnya Allah SWT telah mewahyukan Islam sebagai sebuah sistem yang sempurna untuk manusia termasuklah dalamnya terkandung sistem ekonomi yang lengkap, namun mengapakah kita masih tidak mahu menerapkan sistem yang diwahyukan oleh Allah SWT ini? Tepuk dada, tanya iman.

Dr Ammar

Lajnah Tsaqafiyyah HTM