Tun M ingin kembalikan keharaman
Bekas orang nombor satu negara itu berkata demikian ketika diminta mengulas tentang ketegangan antara kaum berikutan isu rampasan Bible versi Bahasa Melayu dan Iban oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais). Turut menyokong cadangan itu ialah Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang menyifatkan ia perlu bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam negara dapat dikekalkan.
Cadangan tersebut kemudian direspons oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi yang menegaskan bahawa kerajaan tidak mungkin mewujudkan semula ISA. Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menolak cadangan tersebut yang dianggap ‘tidak konsisten dengan hak asasi dan sivil yang diamalkan ketika ini’.
Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail pula menyatakan bahawa keputusan sama ada untuk melaksanakan semula ISA terletak di tangan kerajaan. Manakala Datuk Saifuddin Abdullah, bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO menegaskan bahawa tiada keperluan untuk mengembalikan ISA. Bahkan beliau menyatakan bahawa dengan mengembalikannya bererti kerajaan telah memungkiri janji.
Begitulah perbezaan pendapat yang berlaku di kalangan manusia di dalam sistem demokrasi yang serba rosak ini. Oleh sebab mereka sudah terbiasa membuat dan menghapuskan undang-undang sesuka hati mereka tanpa menghiraukan halal dan haram, maka sekali lagi kita melihat bagaimana mereka menggunakan akal masing-masing untuk menjustifikasi persoalan baik dan buruk mengikut tafsiran akal masing-masing. Manakala dalam masa yang sama mereka tidak pernah berbincang untuk menerapkan Islam bagi menggantikan undang-undang kufur yang ada.
Sepatutnya segala perbalahan dan perbezaan pendapat yang berlaku dikembalikan kepada al-Quran dan as-Sunah, bukannya kepada akal dan hak asasi manusia. Firman Allah SWT,
“…sekiranya kamu berbantah-bantah di antara satu sama lain, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul..” [TMQ an-Nisa’ (4):59].
Umum mengetahui tentang kezaliman ISA dan di masa Mahathir ia digunakan sepenuhnya oleh bekas Perdana Menteri itu untuk menahan mana-mana orang yang difikirkannya boleh mengancam keselamatan negara, tanpa melalui perbicaraan mahkamah. Akta lapuk dan haram yang asalnya digubal untuk menangani perkembangan komunis itu akhirnya diguna untuk menyekat apa jua aktiviti politik dan termasuk aktiviti keagamaan seperti usaha-usaha menerapkan hukum Allah, yang boleh dianggap mengancam pemerintahan yang ada.
Setelah menerima kritikan dan tekanan yang kuat dan mungkin dalam usaha meraih populariti, ISA akhirnya dibatalkan oleh kerajaan pimpinan Najib. Pertimbangan membatalkan mahupun mewujudkan semula ISA, kesemuanya menggunakan akal, bukannya menggunakan nas! Inilah kerosakan berfikir manusia penganut demokrasi. Walau apa pun hujah dan alasan yang diguna untuk mengembalikan ISA, ia tetap haram. Menahan seseorang tanpa dibicarakan adalah menyalahi hukum syarak [Lihat SN186: Demokrasi: Sistem Kufur Yang Melahirkan ISA dan SN174: ISA Haram Disisi Islam].
Justeru, bukan hanya cadangan mengembalikan ISA sahaja yang mesti ditolak, bahkan kita perlu meruntuhkan sistem demokrasi yang telah melahirkan segala keharaman yang ada dan menggantikannya dengan sistem Khilafah yang memerintah dengan al-Quran dan as-Sunah.