UIY: Iman, takwa dan penerapan Islam secara kaffah kunci untuk keluar daripada kemelut
Kegagalan pemerintah bukan hanya dapat dilihat di negara ini, bahkan turut berlaku di Indonesia di saat berdepan dengan pandemik COVID-19 serta dampaknya terhadap ekonomi serta kemasyarakatan. Perkara yang sama juga dapat dilihat berlaku hampir di segenap penjuru dunia khususnya dalam negara umat Islam.
Gagalnya penguasa dan sistem yang mereka terapkan diperakui oleh Ustaz Ismail Yusanto (UIY) sebagai penyebab musibah yang menimpa umat Islam. Beliau berkata demikian dalam forum yang disiarkan secara langsung melalui FB Live Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) yang bertajuk “Kegagalan Penguasa Dan Sistem: Realiti Dan Solusi” semalam (08/08/2021). Cendekiawan Muslim dari Indonesia itu diundang khas sebagai salah seorang ahli panel dalam rancangan tersebut yang merupakan acara penutup kempen #kerajaangagalterapislam anjuran HTM.
Dalam membuktikan kegagalan yang berlaku di Indonesia, beliau memaparkan beberapa statistik kes Covid dan kematian serta kerugian dalam sektor ekonomi serta dampak sosial akibat kegagalan langkah-langkah yang diambil oleh pemerintah.
Dengan keburukan penguasa dan sistem yang mereka terapkan, umat Islam dirundung segala macam masalah, dan sudah tidak ada lagi rahmat ke atas umat ini. Menurut beliau, Islam sebagai rahmatan lil alamin (rahmat seluruh alam) hanya boleh dicapai apabila kita mentaati perintah Allah dan Rasul-Nya, khususnya dengan penerapan hukum Allah di dalam negara. Beliau memetik sepotong ayat,
وَلَو أَنَّ أَهلَ القُرىٰ آمَنوا وَاتَّقَوا لَفَتَحنا عَلَيهِم بَرَكاتٍ مِنَ السَّماءِ وَالأَرضِ
“Sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi” [Al-A’raf (7): 96].
Ustaz Ismail kemudian menjelaskan bahawa menurut pandangan ulama, keberkahan ialah dengan bertambahnya kebaikan dalam segenap aspek, termasuklah kemajuan sesebuah negara.
Ketika ditanya mengenai parti Islam yang memegang kekuasaan dalam kerajaan tetapi gagal menerapkan Islam, beliau mengingatkan bahawa apabila kita memegang tampuk kekuasaan, maka wajib bagi kita untuk menerapkan syariat Islam secara kaffah dan mengajak semua supaya beriman dan bertakwa.
Parti Islam perlu ingat akan tujuan asal mereka berjuang meraih kekuasaan yakni untuk menerapkan Islam. Beliau turut memberi perumpamaan kekuasaan seperti kenderaan yang memerlukan pemandu untuk sampai ke destinasi yang dituju. Kekuasaan yang dipegang tanpa penerapan Islam umpama kenderaan tanpa pemandu, yang sampai bila-bila pun tidak akan sampai ke tempat yang dituju.
Ketika menjawab persoalan mengapa masyarakat hari ini, khususnya di Indonesia, yang kelihatan begitu fobia dengan syariah dan Khilafah, beliau menjelaskan bahawa umat Islam sudah terlalu lama hidup di bawah sistem sekular, dan jauh daripada Khilafah dan syariat Islam. Umat ini juga hidup dalam negara yang mengamalkan pendidikan sekular, yang menjauhkan lagi kefahaman mereka daripada Islam. Atas dasar ini, umat Islam perlu difahamkan semula akidah Islam yang benar agar dengannya mereka dapat memahami syariah. Lalu dengan pemahaman berkaitan syariah, masyarakat akan mula memahami Khilafah.
Di penghujung forum, beliau mengingatkan para penonton akan realiti kehidupan pada hari ini yang terasa begitu sempit apabila hukum Allah tidak diterapkan. Beliau seterusnya membacakan firman Allah (swt);
وَمَنْ اَعْرَضَ عَنْ ذِكْرِيْ فَاِنَّ لَهٗ مَعِيْشَةً ضَنْكًا وَّنَحْشُرُهٗ يَوْمَ الْقِيٰمَةِ اَعْمٰى
“Dan barangsiapa yang berpaling daripada peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta” [Taha (20): 124].
Forum ini merupakan penutup kempen “Kerajaan Gagal Terap Islam” yang dianjurkan oleh HTM dengan tujuan untuk menyedarkan umat ini mengenai realiti masalah yang menyelubungi mereka serta jalan keluar daripadanya.
Selain daripada UIY, forum tersebut turut membariskan pimpinan pusat HTM, Ustaz Muhammad Amin dan Jurucakap HTM, Ustaz Abdul Hakim Othman selaku ahli panel, manakala seorang lagi pimpinan pusat HTM, Ustaz Umar Hussein pula berperanan sebagai moderator.