Umat Islam Myanmar Masih Tiada Pembelaan
Bila lagi kita akan dapat melihat kemunculan panglima perang Islam yang hebat seperti Khalid al-Walid, Salahuddin Al-Ayyubi, Thariq bin Ziyad dan yang lain-lainnya? Bukahkan tinta emas sejarah Islam pernah mencatatkan keberanian pemimpin Islam seperti Khalifah Mu’tasim yang bersifat tegas dalam membela maruah seorang muslimah yang telah dicalar kehormatannya oleh orang-orang Rom?
Apa yang menjadi persoalan paling besar kepada kita lagi adalah, dimanakah peranan dan rasa tanggungjawab para pemimpin dunia Islam saat ini dalam menggunakan kuasa dan kekuatan yang mereka miliki untuk membela nasib umat Islam yang tertindas di seluruh dunia saat ini?. Justeru itu dengan berlakunya pelbagai musibah yang melanda dunia Islam saat ini, seharusnya ia membuka mata dan menghidupkan hati-hati seluruh dunia Islam betapa umat Islam kini amat memerlukan suatu penyelamat yang dapat menghentikan segala kekejaman yang sedang dilakukan oleh kaum kuffar ke atas saudara-saudara mereka.
Siapakah penyelamat tersebut? Ianya pasti terjawab sekiranya semua umat Islam meyakini hadith daripada Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Seorang imam tidak lain laksana perisai, dimana orang-orang akan berperang di belakangnya dan menjadikannya pelindung “ [HR. Muslim].
Imam yang dimaksudkan di dalam hadis tersebut adalah pemimpin tunggal seluruh umat Islam, iaitu Khalifah yang akan muncul bersama-sama dengan suatu kekuatan mabda yang tertegak sebagai satu sistem. Iaitu sistem yang benar-benar bersedia untuk menjaga dan membela Islam dan umat Islam. Tidak ada sistem yang lebih bagi umat Islam saat ini melainkan kita kembali menerapkan dan menegakkan semula sistem Islam iaitu Sistem Khilafah. Sejarah kegemilangan Khilafah dalam catatan tinta emas umat Islam telah cukup untuk membuktikan kemampuan sistem ini dalam menjaga dan membela Islam dan umat Islam. Cukuplah firman Allah SWT ini sebagai peringatan bagi kita semua:
“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan ugama mereka (ugama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka”. [TMQ An-Nuur (24) :55].
Rujukan : kosmo.com.my