Umat Islam tidak perlu Ratu Tudung

Remaja Iraq dinobat Ratu Tudung

COPENHAGEN 11 Jun – Seorang pelajar Iraq, Huda Falah yang menimbulkan kontroversi kerana memakai tudung baru-baru ini dinobatkan sebagai Miss Headscarf Denmark 2008.
Badan Penyiar rasmi Denmark, DR yang menganjurkan pertandingan itu mengumumkan bahawa remaja Islam tersebut dipilih daripada 46 calon yang menyertai pertandingan yang mencetuskan kontroversi itu.

Remaja berkenaan pernah menimbulkan kontroversi politik kerana dianggap pemakaiannya mengagungkan pakaian yang menindas kebanyakan wanita.

“Tudung biru yang dipakainya, dan kecantikannya serta gayanya yang menarik” menjadi faktor kemenangan Huda Falah, kata dua orang juri yang mengadili pertandingan tersebut.

Huda yang bertudung sejak berumur sembilan tahun menafikan tindakannya memakai tudung bersifat menindas wanita lain, sambil berkata bahawa setiap wanita bebas mengenakan tudung di Denmark.

“Denmark merupakan sebuah negara yang memberi pilihan kepada wanita sama ada mahu bertudung atau tidak,” katanya.
– AFP

Sumber: Utusan Malaysia 12/06/08

Ulasan:

Beginilah bijaknya negara kufur Barat di dalam ‘memerangi’ pemikiran umat Islam. Walaupun mereka membenci melihat pakaian perempuan Islam, namun mereka terperangkap dengan konsep kebebasan yang diamalkan di negara mereka sendiri. Akhirnya tudung dibenarkan. Tetapi, kafir Barat ini berjaya ‘mengalihkan’ pemikiran umat Islam kepada pemikiran mereka. Jika di dalam sistem Barat terdapat pertandingan ratu cantik dan sebagainya yang memperagakan keindahan tubuh wanita, kini mereka melaksanakan perkara yang sama ke atas wanita Islam. Walaupun pertandingan Miss Headscarf Denmark 2008, ini tidaklah seperti pertandingan ratu cantik Barat, namun hakikatnya, mereka berjaya menarik wanita Islam kepada sebuah pertandingan untuk memperagakan pakaian dan wajah mereka (wanita Islam).

Wanita Islam ini ternyata telah terkontaminasi dengan pemikiran Barat di mana mereka berpakaian bukan lagi semata-mata untuk menutup aurat, tetapi untuk “ditunjukkan” dan untuk “mendapat kemenangan” dalam sebuah pertandingan. Walhal menurut Islam, kita wajib berpakaian menutup aurat kerana hukum syarak, kerana taat kepada perintah Allah dan bukannya untuk menunjuk-nunjuk, apatah lagi untuk “meraih kemenangan” dalam pertandingan kecantikan.

Inilah hakikat kerosakan pemikiran umat Islam yang diracun oleh Barat. Sama ada sedar atau tidak, mereka sebenarnya mengamalkan Islam sesuai dengan kehendak Barat, bukannya sesuai dengan kehendak Allah. Semoga umat Islam, khususnya golongan wanita sedar akan keadaan ini.