UMNO DIHANTUI PENGKHIANAT?

altKODIANG 4 Dis. – Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir mencadangkan semua wakil rakyat UMNO dan pemimpin parti itu menandatangani surat ikrar bagi menyatakan sokongan dan kesetiaan untuk terus bersama UMNO dalam sebarang keadaan.

Katanya, cadangan itu susulan ikrar taat setia yang dilafazkan mereka pada Perhimpunan Agung UMNO Ke-62 di Kuala Lumpur semalam.

“Dengan cara ini mereka yang didapati melanggar ikrar bertulis akan dikenakan tindakan disiplin. “Saya harap setiap orang (pemimpin dan wakil rakyat UMNO) menandatangani akujanji bagi membuktikan mereka mengutamakan kepentingan parti, menyokong, bekerjasama dan bekerja keras bagi memastikan kemenangan calon yang dipilih,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di Padang Sera, di sini, hari ini. – Bernama

Sumber : Utusan Online, 04/12/2011
 

UMNO Yang Menanti Karam
Kalau tiada angin, masakan pokok bergoyang? Itulah perumpamaan yang boleh diberikan kepada kenyataan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir. Mengapakah isu kesetiaan ini ditimbulkan? Sebagai salah seorang pemimpin utama di dalam UMNO, tidak mungkin Mukhriz akan mengeluarkan cadangan tersebut tanpa asas yang kukuh. Jadi, tiada apa lagi yang hendak disembunyikan oleh UMNO berhubung wujudnya puak-puak yang enggan taat dan patuh serta mungkin akan bertindak ‘menikam’ UMNO dari belakang semasa pilihan raya umum nanti. Itulah akibatnya berjuang dengan asas yang bertentangan dengan Islam, iaitu assobiyyah. Ketaatan hanya bergantung kepada manfaat yang diperolehi dan bukan kerana yang lain. Sekiranya manfaat sudah tiada, pastinya ketaatan kepada perjuangan itu akan dicampak ke bakul sampah. Gesaan Mukhriz agar diadakan akujanji  membuktikan kejelekan politik sekular ini. Ketaatan dan kesetiaan ahli parti dilihat sudah berbelah-bagi dan masing-masing mula menggunakan jalan sebegini demi keberlangsungan hidupnya. Rasulullah dengan tegas telah mencela sesiapa yang menyeru kepada assobiyyah seperti sabdanya:

“Bukan dari golongan kami orang-orang yang menyeru kepada asobiyyah (sukuisme), orang yang berperang kerana asobiyyah serta orang-orang yang mati kerana assobiyyah.”
[HR Abu Dawud]

Inilah buktinya perpecahan di kalangan ahli UMNO semakin ketara. UMNO kini umpama sebuah kapal usang yang menunggu masa untuk karam. Semakin hari semakin sesak di hantui oleh bayang- bayangnya sendiri. Wahai ahli- ahli UMNO yang masih memiliki ketakwaan  kepada Allah! Tinggalkan parti sekular UMNO dan bergabunglah dengan parti Islam yang memperjuangkan kehidupan Islam di muka bumi Allah ini. Biarlah kapal UMNO ini karam dan beralihlah ke kapal yang jauh lebih mulia. Bersegeralah kalian bergabung dengan para pejuang agama Allah untuk merealisasikan kehidupan Islam di dalam masyarakat. Wallahu a’lam.