UMNO Juara Rakyat Dalam Mengabaikan Syariat
KUALA LUMPUR: Semua Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno termasuk Presiden, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi bapa angkat Program Juara Rakyat bermula bulan ini. Tiga Naib Presiden termasuk Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Shafie Apdal turut menjadi bapa angkat bagi program itu.
Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan, berkata melalui keputusan yang dicapai dalam mesyuarat MT Umno 4 Disember tahun lalu, Najib dan Muhyiddin masing-masing menjadi bapa angkat kepada Selangor dan Wilayah Persekutuan serta pada masa sama memantau semua bahagian seluruh negara.
Sementara itu katanya, Ahmad Zahid menjadi bapa angkat kepada 53 bahagian di Pulau Pinang, Johor dan Kelantan, Hishammuddin kepada 51 bahagian di Terengganu, Sabah, Negeri Sembilan, Melaka, Perlis dan Labuan dan Shafie kepada 53 bahagian di Kedah, Perak dan Pahang.
“Selain itu, ahli MT lain diberikan lima kawasan dan semua bapa angkat ini akan turun padang ke bahagian setiap bulan.
“Program ini dilaksana dengan pembabitan bersepadu pemimpin Umno bahagian termasuk Ketua Pemuda, Wanita dan Puteri serta pemimpin parti komponen Barisan Nasional di bahagian terbabit,” katanya di sini, semalam.
Sumber : Berita Harian, 15/01/2010
UMNO Juara Rakyat Dalam Mengabaikan Syariat
Mungkin inilah kata-kata yang boleh digunakan untuk menggambarkan aktiviti yang mula diatur dan dilancarkan oleh UMNO untuk menarik sokongan rakyat kepada mereka. Sudah pasti ianya merupakan persediaan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum yang ke-13 nanti. Kali ini dengan slogan “Juara Rakyat”, muncullah para hulubalang UMNO bersama senjata dan kelengkapannya sekali untuk cuba terus memperdayakan rakyat dan musuh-musuh mereka. Pelbagai janji dan taburan kata-kata manis dilontarkan kepada sasaran-sasaran ini. Yang pastinya segala kekuatan akan mereka kerah dan gembelingkan untuk memulakan “sihir” ini. Skrip yang sama akan pasti kita dengari – UMNO adalah parti yang berjuang untuk agama, bangsa dan negara. Dan sudah pasti ada di kalangan rakyat yang akan terpancing dengan umpam-umpan yang ditaburkan oleh UMNO di sepanjang kempen tersebut.
Bagi seorang Muslim sewajarnya kita tidak termakan dengan slogan-slogan yang sebegini. Bagi seorang Muslim, sudah selayaknya kita melihat Islam sebagai asas yang menjadi pertimbangan dan ukuran bagi segala-galanya. Apakah UMNO yang rata-ratanya parti yang dianggotai oleh umat Islam dan dipimpin oleh orang Islam, telah menerapkan Islam dalam kehidupan individu, masyarakat mahupun negara selama 52 tahun pemerintahannya? Jika UMNO mahu dan bersedia menukar asas dan dasar perjuangannya daripada ashobiyyah kepada Islam, maka ini sudah pasti akan membawa kebaikan kepada rakyat yang selama ini telah terlalu lama tersiksa hidup dalam dunia Kapitalisme yang senantiasa menekan dan menindas rakyat. Malangnya para pemimpin UMNO gagal untuk menghidu bau busuk Kapitalisme ini. UMNO seharusnya mengubah slogannya, iltizamnya serta dasarnya kepada ”Juara Menegakkan Syariat”. Semoga dengan itu, rakyat akan bersama dengan perjuangan tersebut, insyaAllah.