UMNO Tak Jadi Ekstrem Tetapi Tetap Sekular

UMNO tidak jadi ekstrem: Najib
 
KUANTAN – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, penyertaan ramai golongan ulama ke dalam UMNO tidak akan menjadikan parti itu sebagai parti yang ekstrem terhadap perjuangan Islam.

Sebaliknya, Perdana Menteri berkata, penyertaan itu membuktikan dasar perjuangan UMNO dalam menegakkan syiar Islam di negara ini diiktiraf golongan berkenaan.

“Kita tidak mahu UMNO dilihat sebagai parti ekstrem. Islam sebenarnya bukan agama yang ekstrem. Jadi kita akan memperjuangkan Islam yang diterima oleh semua pihak dan umat yang terbaik adalah umat yang sederhana mengikut panduan Islam,” katanya.  Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Program Mengukuh Wadah Memperkasa Ummah, anjuran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim), di sini semalam.

Turut hadir isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yapeim, Datuk Ahmad Tajudin Abdul Rahman.

Seramai 40 ulama muda dari seluruh negara menyerahkan borang keanggotaan UMNO kepada Najib di PWTC, Kuala Lumpur, sebelum mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO bermula malam kelmarin.

Najib yang juga Presiden UMNO berkata, parti itu sentiasa mengalu-alukan penyertaan golongan cendekiawan agama.

“Saya berharap ini sebagai titik permulaan kepada lebih ramai lagi cendekiawan Islam untuk menyertai dan menyokong perjuangan UMNO,” kata Najib.

Beliau berkata, UMNO sudah membuktikan bahawa dasar perjuangannya selama ini menjadikan Malaysia sebuah negara Islam contoh di peringkat antarabangsa.

“Kita akan terus memperkukuhkan perjuangan UMNO dan memastikan apa yang kita lakukan selari dengan kehendak dan tuntutan Islam,” katanya.

Mengulas mengenai keputusan kerajaan yang tidak akan mengeluarkan lesen pertaruhan sukan, Najib berkata, perkara itu tidak perlu berbangkit lagi. – Bernama

Sumber: Sinar Harian 27/06/10

UMNO Tak Jadi Ekstrem Tetapi Tetap Sekular

UMNO terus berusaha untuk menampilkan imejnya sebagai parti yang selari dengan kehendak dan tuntutan Islam. Pelbagai usaha dilakukan untuk tujuan tersebut. Masuknya 40 ulama muda telah dicanang sebagai bukti bahawa golongan agama sudah mula menerima UMNO. Persoalannya ialah apakah dengan kemasukan ulama muda ini akan boleh mengubah UMNO menjadi lebih Islam? Sudah pasti tidak. Kerana asas UMNO masih tetap ashobiyyah. Najib nampaknya cuba untuk melunakkan suasana dengan mengatakan bahawa UMNO tidak akan dilihat sebagai parti ekstrem kerana masuknya golongan agamawan ini. Bagi kita persoalannya bukanlah  apakah UMNO itu ekstrem ataupun tidak tetapi isunya ialah apakah UMNO memperjuangkan Islam atau tidak? Sebagai sebuah parti politik yang dianggotai oleh orang Islam maka sudah sewajibnya UMNO membuang perjuangan ashobiyyahnya dan menggantikannya dengan perjuangan yang berasaskan Islam. Ini adalah kerana asas dan ciri bagi sebuah parti politik Islam itu ialah sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT: “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang munkar . Merekalah orang-orang yang beruntung”. [TMQ Ali-‘Imran (3) : 104].

Parti politik Islam mestilah merupakan sebuah ”kutlah” yang berdiri di atas dasar aqidah Islam bukannya berdiri di atas fahaman dan mabda selain dari Islam seperti Kapitalisme, Sosialisme, Patriotisme, Nationalisme, Sekularisme dan yang seumpamanya. Kutlah itu juga mestilah dipimpin oleh seorang ketua dan ahli-ahlinya diikat dengan ikatan mabda Islam. Mengenai aktiviti sebuah parti politik pula, berdasarkan ayat di atas, jelas bahawa parti politik Islam wajib memikul dan menyeru kepada al-khayr (Islam) dan wajib melakukan aktiviti politik (amar makruf dan nahi mungkar). Kemakrufan yang paling besar menyeru agar kehidupan Islam disambung melalui penerapan Islam secara kaffah yang dilakukan oleh negara dalam seluruh aspek kehidupan. Manakala kemungkaran yang paling besar ialah apabila kehidupan yang diasaskan kepada system kufur terus dipertahankan oleh pemerintah yang ada sepertimana hari ini. Untuk itu tidak ada ertinya meskipun ribuan golongan agama memasuki UMNO sekiranya UMNO terus dengan dasar ashobiyyahnya dan mengenepikan Islam sebagai dasar untuk mengatur kehidupan.  Tidak ada kehebatan sebenarnya penyertaan seramai 40 orang golongan ulama ini jika UMNO terus berpegang dengan asas sekularnya, mengenepikan penyelesaian Islam dalam semua masalah kehidupan.