UMNO wajib lantik Khalifah

Ikrar setia pada PM – Ahli-ahli Parlimen UMNO mahu Abdullah terus terajui parti, negara

KUALA LUMPUR 20 Mei – Ahli- ahli Parlimen UMNO berikrar akan terus kekal dalam parti dan setia dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menerajui parti dan negara.

Mereka memberi jaminan tidak akan mengikut jejak langkah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengisytiharkan keluar daripada UMNO semalam.

Ikrar ini dilafazkan dalam pertemuan ahli-ahli Parlimen UMNO dengan Perdana Menteri di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, pertemuan yang berlangsung hampir sejam itu menyaksikan beberapa ahli Parlimen berucap dengan mereka sepakat menegaskan bahawa tindakan Dr. Mahathir itu bukanlah satu isu.

Kata beliau, berikutan itu mereka memberi jaminan akan terus berkhidmat bersama UMNO dan memberi sokongan tidak berbelah-bahagi kepada Abdullah untuk memimpin UMNO, Barisan Nasional (BN) dan negara.

”Malah Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) mewakili yang hadir bangun memaklumkan bahawa tidak ada dalam pengetahuan akan ada dalam kalangan mereka yang akan meninggalkan parti bersabit dengan gesaan Dr. Mahathir.

”Sebaliknya mereka mengulangi ikrar kepada Perdana Menteri bahawa ‘kami tidak akan tinggalkan UMNO sebaliknya akan terus tinggal dalam UMNO’,” katanya pada sidang akhbar selepas pertemuan di lobi bangunan Parlimen hari ini.

Menurut Mohamed Nazri, pertemuan tersebut dihadiri kira-kira 95 peratus daripada ahli Parlimen UMNO termasuk kebanyakan anggota Kabinet.

Namun Mohamed Nazri tidak pasti secara tepat sama ada pertemuan tersebut turut dihadiri oleh Mukhriz (BN-Jerlun).

”Kita tak catit kehadiran pula, mencari siapa yang hadir, siapa yang tak hadir.

“Mengenai Mukhriz, dia juga Ahli Parlimen UMNO jadi tak perlulah hendak meletakkan beliau seolah-olah kita semua marah kepada dia, kita tak diskriminasi sesiapa,” ujarnya.

Sementara itu, Nazri memaklumkan pertemuan tersebut turut mencapai kata sepakat untuk menghidupkan semula Kumpulan Ahli Parlimen UMNO (UMPG) yang pada penggal lalu tidak diaktifkan.

“Datuk Anifah Aman (BN-Kimanis) dipilih secara sebulat suara sebagai Pengerusi.

“Kewujudan kumpulan ini penting kerana ada perkara yang menyentuh tentang UMNO sahaja seperti mana dalam isu hari ini (berhubung gesaan Dr. Mahathir),” jelasnya.

Dalam pada itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, isu Dr. Mahathir sebenarnya bukan agenda utama yang dibincangkan pada mesyuarat tersebut.

Menurut beliau, kesemua ahli Parlimen yang mewakili UMNO faham bahawa keputusan Dr. Mahathir itu merupakan hak beliau dan mereka menghormatinya.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said pula berkata, walaupun Dr. Mahathir banyak berjasa kepada parti tetapi sudah menjadi kebiasaan pemimpin utama UMNO meninggalkan parti selepas bersara.

”Walaupun kita berasa sedih dengan tindakan Dr. Mahathir tetapi kita akan tetap bersama-sama menyokong kepimpinan Abdullah,” katanya.

Razali Ibrahim (BN-Muar) berkata, ahli-ahli Parlimen UMNO perlu memainkan peranan untuk mengukuhkan kedudukan kerajaan dan juga BN.

”Sebagai wakil rakyat dari UMNO, kita akan tetap berada dalam parti dan setia bersama parti. Dalam pertemuan dengan Perdana Menteri tadi, kita hanya bincangkan selama lima minit sahaja isu Dr. Mahathir,” ujarnya.

Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan) berkata, ahlia-ahli Parlimen UMNO dari Sabah turut menyatakan sokongan mereka kepada kepimpinan Abdullah.

”Tidak semestinya dalam sidang Dewan Rakyat kita lantang bersuara bermakna kita mahu lompat parti atau tidak menyokong BN.

”Kita bersuara kerana mahu menyampaikan masalah rakyat. Itu sahaja.

 Kepimpinan Presiden parti tetap kita sokong. Apa yang kita dapat lihat dalam perjumpaan tadi ialah Perdana Menteri sangat terbuka dan menerima pendapat dan cadangan setiap ahli Parlimen,” ujarnya.

Ahmad Maslan (BN-Pontian) berkata, kesemua ahli Parlimen UMNO yang menghadiri mesyuarat itu meminta Perdana Menteri selaku Presiden parti untuk terus memimpin UMNO.

”Perdana Menteri turut berkata dalam mesyuarat itu, sebagai ahli UMNO, Dr. Mahathir tidak seharusnya bertindak demikian. Bagaimanapun, kami semua menyatakan sokongan penuh kepada kepimpinan Abdullah,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia 21/05/08

Ulasan:

Dalam kekecohan pergolakan dalaman yang berlaku kepada UMNO terutama pasca PRU ke 12 yang lepas, kini tindakan Dr M mengisytihar diri keluar dari UMNO menambahkan parah parti politik berasaskan assobiyyah Melayu ini. Wujud ‘kem-kem’ dalam UMNO yang dikepalai oleh beberapa figur. Dan antara yang terbesar adalah ‘kem Mahathir’.

Dan kini, di saat UMNO nazak dengan konflik dalaman setelah ‘gagal’ menang besar dalam PRU ke 12 yang lepas, kepimpinan UMNO digasak pula dengan isu Dr M, sehingga kini sampai ke ‘tahap’ di mana pimpinan UMNO dipaksa melakukan ikrar taat setia kepada pucuk pimpinan, walaupun hakikatnya UMNO kini menuju kehancuran.

Sebagai orang Islam sepatutnya ahli-ahli termasuk pimpinan UMNO belajar dan menyedari hakikat bahawa ikatan kesukuan (rabitah qabiliyyah) adalah merupakan ikatan yang rendah nilainya kerana ia bersifat sementara lagi emosional hasil dari sifat dan keinginan manusia untuk berebut kekuasaan di tempat sendiri. Tatkala ikatan dan pimpinan dalam kesukuan tersebut menghadapi masalah, maka ikatan itu akan mula mereput dan akhirnya sedikit demi sedikit akan musnah, bak tiang dimamah sang bubuk. Ikatan ini hanya sesuai bagi dunia haiwani, tidak bagi manusia!

Nasionalisme adalah satu konsep yang bercanggah dengan ajaran Islam kerana ia mengikat dan menyatukan manusia atas dasar bangsa atau keturunan, walhal satu-satunya cara yang benar untuk mengikat dan menyatukan umat Islam adalah berdasarkan ikatan akidah. Bersatu atas dasar keturunan atau bangsa jelas-jelas diharamkan oleh Islam. Abu Daud meriwayatkan bahawa Rasullullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,

“Bukanlah dari kami orang-orang yang menyeru kepada assabiyyah, berperang atas dasar assabiyyah dan mati kerana (mempertahankan) assabiyyah”.

Terdapat banyak peristiwa di dalam sirah di mana Rasulullah mencela mereka yang cuba mempertahankan sikap assabiyyah ini. Dalam satu kejadian, sekumpulan Yahudi merancang untuk memecahkan kesatuan kaum Muslimin setelah dengki melihat bersatunya Auz dan Khazraj atas dasar Islam. Mereka menghantar beberapa orang pemuda untuk melaga-lagakan Aus dan Khazraj dengan mengungkit semula kisah Perang Bu’ath di mana golongan Aus berjaya mengalahkan Khazraj. Hasilnya terjadilah perkelahian antara Aus dan Khazraj dan hal ini kemudiannya sampai ke pengetahuan Rasulullah. Nabi dengan tegas lalu bersabda,

“Wahai kaum Muslimin, ingatlah kalian kepada Allah, ingatlah kalian kepada Allah! Kenapa kalian mengikuti seruan Jahiliyyah, padahal aku masih berada di tengah-tengah kalian. Dan Allah sebelumnya telah memberi petunjuk kepada kalian dengan Islam, memuliakan kalian dengannya, memutuskan segala kejahiliyyahan dari kalian, menyelamatkan kalian dari kekafiran dan menyatukan hati kalian.”

Apabila mendengar sabda Nabi ini, kaum Aus dan Khazraj terus sedar bahawa seruan Jahilliyah adalah tipuan syaitan, dan salah satu dari makar musuh Allah terhadap mereka. Mereka terus menangis dan berpelukan antara satu sama lain. Peristiwa ini merupakan asbabun nuzul Surah Ali Imran (3):102-103. [Sirah Ibn Hisyam].

Dikisahkan juga oleh Ibn Al-Mubarak di dalam dua kitabnya, Al-Birr dan As-Salah bahawa terjadi perselisihan antara Abu Zar dan Bilal, lalu Abu Dzar berkata kepada Bilal, “Engkau anak orang hitam.” Rasulullah amat marah mendengar kata-kata Abu Zar ini lalu bersabda, “Engkau sudah melampau wahai Abu Dzar. Orang yang mempunyai ibu yang putih langsung tidak ada kelebihan di atas orang yang mempunyai ibu yang hitam.” Kata-kata Rasulullah ini memberi kesan yang mendalam ke atas Abu Dzar sehingga beliau meletakkan kepalanya ke tanah dan bersumpah tidak akan mengangkat kepalanya selagi Bilal tidak memijak kepalanya.

Jika pemimpin-pemimpin UMNO membaca akan ayat-ayat al-Quran dan Hadis berkenaan keharaman assabiyyah, lalu apakah yang menghalang mereka dari meninggalkan kemaksiatan ini? Kuasa, pangkat, jawatan, kekayaan, ketamakan, cinta dunia atau apakah lagi? Setelah menyedari akan kegagalan dan kehancuran yang bakal menimpa UMNO, sepatutnya pemimpin-pemimpin UMNO ‘sudah tersentak’ dari kesalahan dan dosa mereka dan sepatutnya mereka kini bertaubat dan berusaha untuk menerapkan hukum Allah di dalam pemerintahan mereka.

Mereka sepatutnya melantik seorang Khalifah yang akan memimpin dan menerapkan hukum syarak, lalu menumpahkan ikrar taat setia atau bai’ah kepada Khalifah tersebut. Inilah yang dituntut oleh Islam. Dengan bai’at tadi (setelah dilakukan dengan sah menurut hukum syarak), maka seluruh rakyat tentunya akan bergembira kerana sekarang telah wujud seorang Khalifah yang akan mereka bai’ah (bai’ah taat) untuk menerapkan Kitabullah dan Sunah RasulNya. Tatkala syariah menjadi peraturan hidup dan peraturan negara kita, maka nescaya berkat dan rahmat Allah akan datang tanpa di undang.

Inilah satu-satunya jalan untuk menyelamatkan kerajaan sekular yang sudah hampir roboh ini, yakni dengan menggantikannya dengan Daulah Islam dan mewujudkan sebuah pemerintahan Islam (Khilafah) dan menerapkan hukum menurut apa yang diturunkan oleh Allah.