Umur 15 Tahun Dah Jadi Pengedar Dadah. Buah Busuk Pokok Kapitalisme Terus Berguguran
KUALA LUMPUR 12 Feb. – Tiga beradik termasuk seorang gadis berusia 15 tahun antara empat ditahan polis kerana memiliki 126 kilogram (kg) dadah jenis ganja bernilai RM302,400 dalam serbuan di Anjung Villa, Bandar Baru Sentul di sini semalam. Siasatan mendapati dua yang ditahan adalah kakak kepada gadis itu berusia 19 dan 25 tahun manakala lelaki berusia 25 tahun yang turut ditahan adalah tunang salah seorang kakaknya. Pengarah Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Zul Hasnan Najib Baharudin berkata, serbuan dilakukan kira-kira pukul 11.10 pagi, hasil maklumat awam dan intipan pihak polis. Katanya, beliau yakin dengan tertangkapnya keempat-empat suspek itu, polis berjaya melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah yang aktif di Lembah Klang sejak awal tahun ini. Beliau berkata, serbuan dilakukan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Bukit Aman yang diketuai Datuk Fatimah Ghazali. “
Dalam serbuan di rumah suspek, polis merampas ganja mampat seberat 126kg di ruang tamu rumah terbabit dan wang tunai sejumlah RM229,000 dipercayai hasil jualan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. Menurutnya, polis turut merampas kereta Proton Satria dan dua motosikal dipercayai milik salah seorang suspek. Katanya, berdasarkan siasatan awal, polis percaya rumah itu dijadikan setor penyimpanan dan tempat pembungkusan dadah sebelum diedarkan kepada pembeli di Lembah Klang. Tambah beliau, polis kini sedang mengenal pasti rangkaian utama sindiket tersebut. Pemeriksaan, katanya, mendapati lelaki itu turut mempunyai beberapa rekod jenayah sebelum ini. Zul Hasnan memberitahu, kesemua mereka yang tidak bekerja itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sumber : Utusan Malaysia, 13/02/10
Umur 15 Tahun Dah Jadi Pengedar Dadah. Buah Busuk Pokok Kapitalisme Terus Berguguran
Apabila berita di atas dilaporkan, pihak pemerintah sekular hari ini sepatutnya merenung diri mereka sendiri dan bertanya di manakah kesilapan mereka…Para pemerintah yang berkuasa pada hari ini perlu mengakui dan menerima hakikat bahawa kerosakan yang berlaku dalam kehidupan masyarakat hari ini sebenarnya berpunca dari penerapan sistem Kapitalisme yang telah mereka warisi dari penjajah sejak 52 tahun yang lalu. Wahai umat Islam! Lihat dan sedarilah bagaimana sistem penjajah yang diterapkan oleh para pemimpin sekular yang berkuasa atas kamu selama ini mengeluarkan buah-buah yang rosak dalam kehidupan masyarakat. Kehidupan Kapitalisme yang diagung-agungkan oleh pemerintah hari ini telah menyihir individu yang hidup di dalamnya dengan idea kebebasan yang menyebabkan pemeluk idea tersebut melakukan apa sahaja tanpa pertimbangan dosa dan pahala.
Renungilah! Bagaimana dalam usia yang begitu muda seorang remaja perempuan sudah terjebak dengan kehidupan yang penuh dengan kemaksiatan dan keharaman. Bayangkan, bagaimana dalam usia semuda 15 tahun seorang remaja perempuan sudah terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah! Sungguh hebat generasi cetakan sistem sekular 1Malaysia hari ini. Wahai para pemimpin umat Islam! Muhasabahlah diri kamu dengan sabda Rasulullah SAW:
“Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya mengenai kepimpinannya. Imam (Ketua Negara) adalah pemimpin dan akan ditanya mengenai kepimpinannya, suami (bapa) adalah pemimpin dan akan ditanya mengenai kepimpinannya, isteri pemimpin di rumah suaminya dan akan ditanya mengenai kepimpinannya, orang gaji adalah pemimpin kepada harta benda yang diamanahkan kepadanya dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya. Tiap-tiap kamu adalah pemimpin dan kamu akan ditanya mengenai kepimpinan kamu”. [Hadis Riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi dan Ahmad].