Untung Rugi Pendidikan Kapitalisme
Inilah realiti sistem kapitalisme di Malaysia, pembiayaan pendidikan merupakan suatu isu yang perlu dilihat dari aspek untung rugi sesebuah kerajaan dan bukannya sebagai suatu kewajipan yang perlu dilaksanakan terhadap rakyatnya. Pembiayaan pendidikan dalam hal ini adalah berkadar langsung dengan aspek untung dan rugi serta kadar cukai negara. Dengan kata lain, jika kerajaan perlu menanggung beban pembiayaan ini, maka beban ini perlu diselesaikan dengan membebankan pula rakyat melalui kenaikan kadar cukai. Sungguh ironis sekali melihat penyelesaian yang digunakan oleh para pemegang kekuasaan pada saat ini. Mereka sudah tidak lagi melihat segala permasalahan yang ada di dalam negara dari perspektif halal dan haram di dalam syariat Islam, melainkan manfaat yang ingin diraih semata-mata. Jika kita melihat masalah pembiayaan pendidikan dalam bingkai sebuah negara yang mengamalkan sistem kapitalis, memang tidak dinafikan bahawa negara akan mengalami ‘beban’ kos yang tinggi bagi menampung semua keperluan, baik dari segi pembayaran gaji terhadap para pekerja di institusi-institusi pendidikan, kos prasarana dan infrastruktur pendidikan dan biaya-biaya lain. Perkara ini memang logik dan masuk akal. Akan tetapi kita harus sedar bahawa masalah-masalah ini hanya muncul dalam sistem-sistem selain daripada sistem Islam.
Berbeza dengan kapitalis, sistem Islam menjamin kesejahteraan kerana sistem ekonominya mengamalkan sistem yang tidak berasaskan riba serta menggunakan sandaran mata wang emas dan perak. Selain itu, sistem Islam telah membahagikan hak-hak kepemilikan kepada tiga kategori iaitu kepemilikan individu, kepemilikan umum serta kepemilikan negara. Jika dilihat dari ketiga-tiga kepemilikan yang digariskan oleh syariat ini, maka salah satu sumber terbesar di dalam negara adalah petroleum yang merupakan bentuk kepemilikan umum yang akan dikelola oleh negara untuk kemaslahatan rakyatnya. Ini belum dimasukkan lagi kemasukan sumber-sumber Negara Islam yang lain seperti jizyah, kharaj, fai’, ghanimah, khumus, dhara’ib dan zakat. Bahkan Islam juga mengharamkan riba, kanzul mal, ihtikar dan melarang semua individu-individu daripada menjalankan transaksi-transaksi yang haram. Sistem Islam yang dijalankan secara lengkap dan komprehensif ini akan menjamin kesejahteraan kerana ia merupakan sistem yang berasaskan wahyu dan bukan berasaskan akal-akal manusia.
Negara Islam merupakan badan pelaksana (qiyan tanfizi) yang akan menerapkan sistem syariat Islam secara sempurna dari segala aspek. Sebab itulah sistem ini tidak pernah melihat apatah lagi menganggap pembiayaan pendidikan merupakan suatu beban yang perlu ditanggung oleh penguasa, sebaliknya ia adalah suatu tanggungjawab yang wajib mereka laksanakan, baik dalam keadaan senang ataupun susah.
Sumber: Utusan Malaysia, 11/03/13