Usah Terlalu Bernostalgia – Najib

PEKAN 10 Mei Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan pemimpin dan ahli UMNO supaya tidak terlalu bernostalgia terhadap jasa-jasa besar parti itu pada masa lalu.  Sebaliknya, Perdana Menteri mahu mereka berusaha melakukan perubahan supaya UMNO dan Barisan Nasional (BN) terus relevan.  Beliau yang juga Presiden UMNO menegaskan, pemimpin dan ahli parti perlu menyedari bahawa

semakin ramai pengundi masa kini terdiri daripada golongan pasca merdeka dan tidak pernah melalui peristiwa penting yang berjaya ditangani oleh UMNO dan BN. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan secara berkelompok mesyuarat 140 cawangan UMNO Bahagian Pekan di Bangunan UMNO di sini hari ini. Golongan muda kini juga, jelas beliau, mempunyai banyak pilihan untuk mendapatkan maklumat menerusi media alternatif seperti laman web dan blog.   Sambil menyifatkan golongan muda sebagai ‘kain putih’, beliau mahu pemimpin dan ahli UMNO mencari kaedah terbaik mendekati mereka dan menyalurkan maklumat tanpa dipengaruhi anasir negatif.    ”Cara kita (UMNO) berbicara dalam media alternatif adalah penting. Generasi baru mendapat maklumat melalui media alternatif dan bukan media arus perdana.   ”Terpulang kepada kita, kalau mereka (golongan muda) mendapat maklumat yang betul, mereka akan sokong, kalau kita gagal, mungkin mereka akan terpengaruh walaupun maklumat yang diperoleh tidak benar,” katanya.


[Utusan Malaysia: 11/05/09]


Nampaknya kegelisahan Najib tentang kemerosotan sokongan rakyat kepada UMNO tidak dapat disembunyikan lagi sehingga dalam ucapannya selepas merasmikan mesyuarat berkelompok 140 cawangan UMNO Bahagian Pekan, beliau meminta ahli-ahli UMNO tidak terlalu bernostalgia terhadap jasa-jasa besar parti itu pada masa lalu. Besar sangatkah jasa UMNO sehingga dilalaikan oleh nostalgianya sehingga hari ini? Yang pastinya, di antara jasa-jasa besar UMNO adalah perjuangan mereka mengekalkan  sistem kufur yang ditinggalkan oleh penjajah sejak 52 tahun yang lalu dan masih terus bertahan sehingga hari ini.

Perkembangan mutakhir ini memperlihatkan kepada kita bahawa  UMNO berada di dalam keadaan terdesak kerana semakin ramai rakyat menolak  mereka terutamanya daripada golongan muda pasca pilihanraya umum yang ke 12 yang lalu. UMNO yang didakwa oleh Najib mencecah usia 63 tahun[ ”yang mana satu? UMNO lama atau UMNO baru”] nampaknya ibarat rumah usang yang sedang dimakan oleh anai-anai. Kecanggihan teknologi telah membuka minda rakyat menjadikan mereka lebih terbuka dan celik serta bersikap lebih kritis terhadap sesuatu isu. Kita juga dapat melihat bagaimana umat Islam mula kembali kepada Islam untuk menyelesaikan persoalan yang mereka hadapi. Inilah yang menyebabkan Najib semakin gusar dengan sikap dan sokongan rakyat kepada UMNO. Najib nampaknya terpaksa lebih kreatif untuk memikirkan apakah cara yang terbaik untuk mengekalkan dan meraih kembali sokongan rakyat kepada UMNO. Antara syor yang beliau kemukakan adalah dengan meminta ahli-ahli UMNO supaya lebih mendekati rakyat dengan harapan usaha itu akan memulihkan talian hayat UMNO yang nampaknya semakin menipis.

Sebagai seorang pemimpin Islam maka menjadi kewajiban bagi Najib kembali mengambil Islam sebagai dasar perjuangannya untuk mengurus dan mengatur kehidupan rakyat yang berada di bawah kekuasaannya. Tinggalkanlah pemikiran sekular yang menjadi asas cara berfikir UMNO selama ini. Tinggalkan perjuangan assabiyyah yang masih menjadi roh batang tubuh UMNO kerana jika tidak ia akan pasti menjadi suatu penyesalan kepada dirinya sebagai seorang pemimpin di akhirat kelak. Padamkanlah nostalgia lama yang pernah dimiliki oleh UMNO dahulu dengan cara mengembalikan nostalgia kegemilangan Islam yang pernah menyinari dunia selama 1400 tahun di mana kekuasaan Islam telah terbukti berjaya mengeluarkan manusia dari kegelapan syirik dan kufur kepada cahaya keimanan. Simpan dan bungkuslah nostalgia UMNO itu sebagai suatu lipatan sejarah di mana kita sebagai umat Islam dapat mengambil pengajaran bagaimana barat mencetak umat Islam yang bersama-sama dengan UMNO sebagai umat Islam yang ditipu dan tertipu oleh barat. Samada sedar ataupun tidak, mereka telah menjadi mata rantai bagi mengerakkan mesin sekular yang menghasilkan produk yang berjenama Kapitalisme sehingga hari ini. Sampai bilakah UMNO akan sedar dari nostalgia penipuan barat ini?