Wahai Menteri! Apa Lagi Yang Mahu Diteliti?

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersedia meneliti isu arak terhadap impak sosial, etika dan moral dalam masyarakat selepas menerima memorandum yang diserahkan Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), hari ini [myMetro, 29/5/ 2020].

Aneh tapi benar, begitulah jawapan menteri agama sebagai respons kepada penyerahan memorandum mengenai isu arak yang diserahkan kepada beliau.

Kenapa dan apa yang anehnya? Yang anehnya ialah apabila menteri memberi kesanggupan untuk meneliti impak arak kepada sosial, etika dan moral. Apa yang ingin diteliti lagi? Tidak cukupkah bukti yang ada di depan mata selama berpuluh-puluh tahun tentang kesan buruk arak dalam masyarakat? Tidak cukupkah dengan berapa banyak berita tentang pemandu mabuk yang menyebabkan kematian mereka yang tidak berdosa? Tidak cukupkah lagi dengan berapa banyak berita kematian kerana terlebih kandungan alkohol di dalam badan hasil meminum air kencing syaitan itu? Tidak cukupkah lagi dengan bukti di depan mata akan kewujudan kelab-kelab malam, pub, disko dan lain-lain, termasuklah hotel-hotel yang menyajikan arak yang menunjukkan betapa rosaknya negara ini dan akhlak mereka yang terlibat dengannya? Tidak cukupkah lagi dengan bukti di depan mata akan kedai-kedai dan restoran-restoran yang menjual arak yang bersepah di tepi jalan, sehingga orang boleh membeli dan meminum arak dengan mudah, lalu memandu dalam keadaan mabuk dan menyebabkan kematian orang lain?

Ala kulli hal, tidak cukupkah lagi dengan penegasan daripada Allah (swt) bahawa meminum arak itu adalah perbuatan syaitan, dan tidak ada yang terhasil daripada perbuatan syaitan itu kecuali permusuhan dan kebencian?

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ. إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَنْ يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَعَنِ الصَّلَاةِ ۖ فَهَلْ أَنْتُمْ مُنْتَهُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan. Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran (meminum) khamar dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingat Allah dan sembahyang; maka berhentilah kamu (dari mengerjakan pekerjaan itu)”[Al-Maidah (5): 90-91].

Tidak cukupkah dengan firman Allah (swt) ini, sehingga masih perlu diteliti kesan buruk daripada perbuatan syaitan itu dalam masyarakat?

Adakah masih perlu diteliti impak arak terhadap sosial, etika dan moral dalam masyarakat, apabila Allah (swt) telah menyatakan dengan tegas bahawa dosa meminum arak itu merupakan dosa besar dan keburukannya sangat banyak?

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ ۖ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِنْ نَفْعِهِمَا

“Mereka bertanya kepadamu tentang khamar dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya terdapat dosa yang besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya” [Al-Baqarah (2): 219].

Tidak cukupkah dengan kesemua bukti di depan mata, dan ayat-ayat Allah (swt) yang begitu jelas dan tegas, untuk kita mengharamkan perbuatan meminum arak di tempat awam, mengharamkan penjualan dan pembelian arak secara terbuka, mengharamkan kesemua kilang arak, dan mengharamkan import arak dalam skala yang besar? Tidak cukupkah semua itu sehingga kita mesti meneliti impak arak dalam masyarakat terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan? La haula wa la quwwata illa billah..

Marilah kita mengambil iktibar tindakan para sahabat di saat turunnya ayat tentang pengharaman arak. Ibnu Jarir telah meriwayatkan dari Abu Buraidah dari bapanya, beliau berkata,

“Ketika kami sedang duduk-duduk menikmati minuman di atas pasir, pada saat itu kami bertiga atau berempat. Kami memiliki kendi besar dan meminum khamar kerana masih dihalalkan. Kemudian aku berdiri dan ingin menghampiri Rasulullah (saw). Lalu aku mengucapkan salam kepada baginda, tiba-tiba turunlah ayat tentang keharaman khamar (yang berbunyi): ‘Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya khamar dan judi…..’, sampai akhir dua ayat iaitu ‘Maka berhentilah kamu (dari mengerjakan pekerjaan itu).’ Maka aku datang kepada sahabat-sahabatku (yang sedang minum khamar) dan membacakan ayat tersebut kepada mereka sampai pada firman Allah ‘Maka berhentilah kamu (dari mengerjakan pekerjaan itu)’. Dia (perawi hadis) berkata, ‘Sebahagian di antara mereka yang minumannya masih ada di tangannya (khamar), yang sebahagian khamar tersebut telah diminum dan sebahagian lagi masih ada di wadahnya.’ Dia berkata, ‘Sedangkan gelas minuman yang ada di bawah bibir atasnya, seperti yang dilakukan oleh orang yang membekam (gelasnya masih menempel di bibirnya), lalu mereka terus menumpahkan khamar yang ada pada kendi besar mereka seraya berkata, ‘Ya Tuhan kami, kami telah berhenti”.

Sesungguhnya para sahabat tidak berlengah sedikit pun untuk meninggalkan dan menghapuskan arak setelah mengetahui keharamannya. Gelas arak yang sudah berada di mulut sekalipun terus ditumpahkan sebaik sahaja mendengar tentang keharaman arak. Begitulah cepat dan tegasnya para sahabat dalam meninggalkan keharaman dan dosa besar tersebut.

Justeru, cuba kita sama-sama fikirkan, setelah Allah (swt) mengharamkan arak, adakah Rasulullah (saw) dan para sahabat mengambil sikap untuk meneliti terlebih dahulu impak arak terhadap sosial, etika dan moral dalam masyarakat sebelum bertindak menghapuskan semua arak yang ada di sisi mereka dan yang ada dalam negara?