Wahai Pemuda Islam! Bersama-samalah Dengan Perjuangan Islam
MELAKA 2 April – Perhimpunan Anak 1Malaysia yang dijadual pada 3 Julai ini akan menghimpunkan 15,000 bekas pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dari seluruh negara. Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad berkata, perhimpunan akan diadakan di Stadium Bukit Jalil, dan usaha menghimpunkan alumni PLKN itu giat dilakukan Sekretariat Alumni PLKN. Bertemakan ”Kami Anak 1Malaysia” perhimpunan itu menggambarkan alumni PLKN yang mempunyai kepelbagaian bangsa dan perkongsian perbezaan serta persamaan, katanya kepada pemberita selepas melancarkan Sekretariat Alumni PLKN peringkat Selangor, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor, di sini malam tadi. Sementara itu, Ketua Sekretariat Alumni PLKN Mohd. Syafik Mohd. Taufik yang turut hadir berkata, pihaknya telah berhubung dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan bagi membolehkan alumni PLKN menyertai kegiatan mereka. – Bernama
Sumber : Utusan Malaysia 02/04/11
Wahai Pemuda Islam! Bersama-samalah Dengan Perjuangan Islam. Waspada Dengan Tipu Daya Golongan Sekular!
Sekali lagi dalil 1Malaysia digunakan untuk menghimpunkan rakyat Malaysia di mana pelbagai program telah diatur oleh pihak pemerintah sekular dalam rangka memenuhi agenda mereka bagi menarik sokongan majoriti masyarakat, terutamanya golongan muda menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 yang akan datang. Melihat kepada kekerapan para pemimpin yang begitu rajin dan ringan tulang turun padang dalam program-program bersama pelbagai lapisan masyarakat, ini merupakan petanda bahawa pilihanraya umum yang ke-13 sudah semakin dekat. Kali ini tiba pula giliran golongan muda yang terdiri daripada lepasan program PLKN untuk dihimpunkan bagi menjayakan agenda pembersihan dan pemutihan, agar golongan muda ini akan dapat dipastikan akan memberikan sokongan kepada pihak pemerintah.
Wahai golongan pemuda Islam! Bangkitlah kamu bersama Islam! Jangan biarkan diri kamu terus dibelenggu dengan pemikiran sekularisme, nationalisme, demokrasi, hak asasi manusia, kebebasan dan pemikiran-pemikiran kufur lain yang cuba ditanamkan oleh pemerintah sekular hari ini. Ketahuilah bahawa laungan 1Malaysia itu hanyalah seruan palsu yang tidak bernilai sedikitpun di sisi Allah! Berikanlah masa dan diri kamu untuk perjuangan Islam. Jadilah kamu seperti golongan awal para sahabat Rasulullah SAW yang rata-rata usia mereka begitu muda ketika mendokong perjuangan Nabi SAW. Mereka itu antaranya ialah (1) ‘Ali bin Abi Thalib yang berusia 8 tahun, (2) Zubair bin al-Awwam 8 tahun, (3) Thalhah bin ‘Ubaidillah seorang anak muda berumur 11 tahun, (4) Arqam bin Abi al-Arqam anak muda berusia 12 tahun, (5) ‘Abdullah bin Mas’ud berusia 14 tahun, (6) Sa’id bin Zaid berumur kurang dari 20 tahun, (7) Sa’ad bin Abi Waqash 17 tahun, (8) Mas’ud bin Rabi’ah 17 tahun, (9) Ja’far bin Abi Thalib 18 tahun, (10) Shuhaib ar-Rumi di bawah 20 tahun, (11) Zaid bin Haritsah sekitar 20 tahun, (12) ‘Utsman bin ‘Affan sekitar 20 tahun, (13) Thulaib bin ‘Umair sekitar 20 tahun, (14) Khabab bin al-‘Arat sekitar 20 tahun, (15) ‘Amir bin Fuhairah 23 tahun, (16) Mush’ab bin ‘Umair 24 tahun, (17) Miqdad bin al-Aswad 24 tahun, (18) ‘Abdullah bin Jahsy 25 tahun, (19) ‘Umar bin Khaththab 26 tahun, (20) Abu ‘Ubaidah bin Jarrah 27 tahun, (21) ‘Utbah bin Ghazwan 27 tahun, (22) Abu Hudzaifah bin ‘Utbah sekitar 30 tahun, (23) Bilal bin Rabah sekitar 30 tahun, (24) ‘Ayasy bin Rabi’ah sekitar 30 tahun, (25) ‘Amir bin Rabi’ah sekitar 30 tahun, (26) Na’im bin ‘Abdillah sekitar 30 tahun, (27) ‘Utsman, (28) ‘Abdullah, (29) Qudamah, dan (30) as-Saib bin Mazhun bin Hubaib. Umur Utsman sekitar 30 tahun, Abdullah 17 tahun, Qudamah 19 tahun dan as-Saib sekitar 20 tahun, (31) Abu Salmah Abdullah bin Abdul al-Asad al-Makhzumiy yang umurnya sekitar 30 tahun, (32) Abdurrahman bin Auf sekitar 30 tahun, (33) Ammar bin Yasar berumur antara 30 hingga 40 tahun, (34) Abu Bakar ash-Shidiq berumur 37 tahun, dan (35) Hamzah bin Abdul Muthalib berumur 42 tahun.
Wahai para pemuda Islam! Jangan biarkan diri kamu untuk terus dipergunakan oleh kelompok-kelompok sekular yang ada, dengan tujuan memastikan agar mereka terus kekal berkuasa. Yakinlah bahawa selagimana golongan sekular ini berkuasa maka selama itulah Islam akan dicampakkan. Sudah sampai masanya golongan muda umat Islam bangkit menyokong perjuangan untuk menegakkan kembali Khilafah sebagaimana generasi awal kaum Muslimin. Mereka begitu komited bersama perjuangan dakwah Nabi SAW. Janganlah membiarkan diri-diri kamu secara terus-terusan dipergunakan dan diperalatkan oleh kelompok-kelompok sekular ini!