Wahai Penduduk Sarawak, Berubahlah Kalian Kepada Islam!

altTak mustahil pengundi Sarawak akan buat perubahan

BESUT 20 Mac – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yakin dengan peluang pakatan pembangkang pada pilihan raya negeri Sarawak ke-10 akan datang. “Tak mustahil pengundi di sana akan buat perubahan kali ini,” katanya.

Ini berdasarkan keputusan pilihan raya kecil Parlimen Sibu pada Mei tahun lepas yang dimenangi DAP, katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah di kawasan berhampiran Sungai Jerteh sini, hari ini. Semalam, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengumumkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan dibubarkan esok. – Bernama

Sumber : Utusan Online, 20/03/2011
 

 Wahai Penduduk Sarawak, Berubahlah Kalian Kepada Islam!
Sekali lagi Malaysia menyaksikan pilihanraya negeri dijalankan di Sarawak. Ini adalah kesinambungan sistem demokrasi yang mensyaratkan “pembuat undang- undang” (ADUN) akan dipilih semula selepas suatu tempoh. Pengumuman oleh Ketua Menteri Sarawak bahawa DUN Sarawak akan dibubarkan pada hari Isnin ini telah melenyapkan spekulasi mengenai bila tibanya pilihanraya negeri Sarawak ini. Sarawak merupakan negeri yang terbesar dan terkaya di Malaysia. Dengan sumber alam yang melimpah ruah seperti kayu balak dan petroleum, sepatutnya hasil bumi ini dapat dinikmati oleh segenap masyarakat. Namun begitu, kekayaan anugerah Allah ini telah dikaut dengan rakusnya oleh segelintir golongan sahaja dengan dikepalai oleh Ketua Menteri sendiri, iaitu Abdul Taib Mahmud (ATM). Ini menjadikan jurang antara yang kaya dengan yang miskin terlalu besar dan semakin membesar serta keperluan asas masyarakat seperti air, elektrik, kesihatan, pendidikan, jalanraya serta tempat tinggal adalah amat daif. Namun ini tidak menghairankan kerana Sarawak juga merupakan negeri yang mengamalkan sistem kapitalis sebagaimana negeri- negeri lain.

Sikap pemimpin seperti ATM yang mengamalkan rasuah, kronisme dan nepotisme dalam urus tadbir negeri menjadikan masalah ini semakin parah. ATM sebagaimana yang didedahkan oleh Sarawak Report memiliki lebih daripada 40 syarikat (dalam dan luar negara) yang beliau ada kepentingan di dalamnya. Malahan aset beliau di luar negara dianggarkan bernilai berbillion-bilion ringgit, termasuklah bangunan yang menempatkan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) di Seattle, Amerika Syarikat, rumah-rumah peranginan mewah di London, Australia dan dimerata pelusuk negara lagi. Malah dengan syarikat Cahya Mata Sawarak (CMS) a.k.a Chief Minister & Son, menjadi satu entiti yang ‘sah’ untuk mengaut kontrak-kontrak bernilai jutaan ringgit di Sarawak. Pemimpin seperti ATM dan sekutu-sekutunya bermaharajalela di Sarawak dengan mengkhianati amanah yang telah diberikan oleh rakyat. Sikap mereka yang hanya mementingkan perut sendiri, anak-anak , saudara mara serta sekutu-sekutu politik merupakan sikap pemimpin yang pastinya akan membawa kemurkaan Allah.

Sudah tiba masanya masyarakat Sarawak berubah kepada Islam dengan menerima Islam dalam diri dan kepimpinan mereka serta mencampakkan pemimpin yang khianat seperti ATM dan sekutu-sekutunya. Dengan keadilan yang dibawa oleh Khalifah Islam, masyarakat Sarawak akan mampu menarik nafas lega kerana segala kebajikan dan keperluan asas mereka terpenuhi dan semoga dengan itu, sinar Islam akan merambat di segenap pelusuk Sarawak.

“Dan kami turunkan dari Al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan Al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian.”
[TMQ Al-Isra’ (17):82].