Wahai PM! Cukuplah berpolemik, terap sahaja hukum Allah
Semasa merasmikan Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak telah memetik ayat 103 Surah Ali Imran seraya menyimpulkan, “Berpegang teguh dengan tali Allah jangan berpecah-belah, cuba kupas dan renung ayat ini apakah pengertian ayat ini, ayat ini bermula dengan perintah maknanya ini bukan pilihan, ini wajib maknanya apabila Allah perintah, maka hukum wajib untuk kita menjurus perpaduan ummah”.
Ya memang benar kita wajib bersatu padu dan tidak boleh (haram) berpecah belah. Tanpa perlu menghurai lebih lanjut ayat ini, kita cuma ingin melontarkan persoalan kepada Najib selaku Perdana Menteri Malaysia yang mempunyai kuasa tertinggi dalam hal pemerintahan negara, selain wajib bersatu padu, bukankah berhukum dengan hukum Allah itu juga merupakan satu kewajipan yang nyata sebagaimana firmanNya,
“Hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang telah Allah turunkan, janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka, dan berhati-hatilah terhadap mereka supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebagian wahyu yang telah Allah turunkan kepadamu” [TMQ al-Maidah (5):49].
Malah, Allah SWT mewajibkan pemerintah dan setiap Muslim untuk menerapkan dan mengamalkan hukumNya secara kaffah, sebagaimana firrmanNya,
“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu” [TMQ al-Baqarah (2):208-209].
Apabila Allah SWT telah mewajibkan sesuatu, Allah SWT tidak memberikan pilihan sedikitpun kepada manusia dan termasuklah kepada Najib, untuk membuat pilihan yang lain. FirmanNya,
“Dan tidaklah patut bagi lelaki yang Mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang Mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa mendurhakai Allah dan Rasul-Nya maka sungguh dia telah tersesat dengan kesesatan yang nyata” [TMQ al-Ahzab (33):36].
Justeru, apabila Allah SWT telah memerintahkan untuk menerapkan hukumNya secara kaffah, maka kenapakah Najib menerapkan undang-undang buatan manusia sepertimana yang diamalkan di Malaysia sekarang? Tidakkah Najib membaca firman Allah yang begitu tegas,
“Dan siapa sahaja yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka adalah orang-orang kafir” [TMQ al-Maidah (5):44].
“Dan siapa sahaja yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka adalah orang-orang zalim” [TMQ al-Maidah (5):45].
“Dan siapa sahaja yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka adalah orang-orang fasik” [TMQ al-Maidah (5):47].
Tidakkah ayat-ayat tersebut, sebagaimana juga ayat 103 Surah Ali Imran yang disebut oleh Najib, memerintahkan kepada suatu kewajipan, yang tidak ada seorang manusia pun diberi pilihan untuk tidak menunaikannya? Kenapa Najib memilih untuk menerapkan hukum buatan manusia? Kenapa Najib hanya berbicara tentang kewajipan yang terdapat dalam satu ayat sahaja dengan meninggalkan banyak lagi kewajipan dalam ayat-ayat Allah yang lain yang qathie hukumnya?
Justeru, kita nasihatkan Perdana Menteri supaya cukuplah berpolemik. Kita tahu dan kita faham kedudukan UMNO yang sudah terhuyung hayang menanti rebah dan perlukan tempat berpaut. Ucapan politik beragenda yang penuh lunak dan retorika tidak akan dapat menyelamatkan PM dan UMNO kerana hanya dengan keikhlasan, ketundukan dan kepatuhan seratus peratus kepada segala perintah Allah sahajalah, yang akan dapat menjamin keselamatan PM dunia dan akhirat.