Wang Ihsan Bukanlah Penyelesaian Islam
MACHANG 17 Mac – Ibu bapa murid sekolah rendah dan menengah di Kelantan yang berpendapatan antara RM1,000 hingga RM1,500 layak menerima pengagihan wang ihsan yang akan dibahagikan mulai awal April depan.
Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan Makhtar Mustapha berkata selain itu ibubapa yang sudah menerima bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) juga boleh dipertimbangkan.
“Mereka mungkin akan menerima dua kali bantuan dalam setahun bagi meringankan beban saraan anak sekolah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, hari ini.
Kerajaan pusat meluluskan peruntukan lebih RM20 juta wang ehsan kepada Kelantan hasil perolehan gerudi minyak oleh Petronas di luar perairan Kelantan.
Ahad lepas Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata wang berkenaan antara lain akan diagihkan kepada pelajar miskin dan mereka yang ditimpa bencana alam seperti mangsa ribut, kebakaran serta kemalangan serius.
Makhtar, yang juga Setiausaha Pengagihan Wang Ihsan Kelantan, berkata Jabatan Pelajaran Kelantan sedang menyenaraikan jumlah murid-murid miskin yang layak di semua sekolah di Kelantan bagi tujuan itu.
Bagaimanapun, katanya ibu bapa yang layak perlu mendapatkan pengesahan daripada Penyelia Pembangunan Mukim (PPM) di kawasan masing-masing.
Beliau berkata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan merasmikan pengagihan wang itu pada 3 April depan yang akan diadakan di Bachok dalam siri lawatannya ke Kelantan. – BERNAMA
Sumber: Utusan Malaysia 18/03/2010
Wang Ihsan Bukanlah Penyelesaian Islam
Hebat, setelah rakyat sering ditipu dan ‘digula-gulakan’ dengan istilah subsidi, wang royalti dan bermacam-macam lagi, kini, wang ihsan menjadi taruhan kerajaan persekutuan (BN) untuk menarik perhatian rakyat, khususnya di Kelantan agar kembali menyokong mereka kerana telah meluluskan peruntukan sebanyak RM20 juta kepada negeri Kelantan.
Jika kita lihat kepada faktanya, peruntukan sebanyak RM20 juta tersebut bukanlah lahir dari sikap prihatin pihak kerajaan pusat terhadap rakyat Kelantan. Tambahan pula, jumlah 20 juta itu juga amatlah kecil berbanding hasil yang diperoleh dari hasil gerudi minyak di perairan Kelantan. Bagaimana jika di perairan Kelantan tidak terdapat minyak? Adakah kerajaan pusat akan meluluskan wang RM20 juta tersebut?
Ini dari satu sisi. Dari sisi Islam, minyak adalah merupakan hak rakyat keseluruhannya untuk diagihkan secara makruf oleh Negara kepada rakyat. Di samping itu, Negara juga wajib melakukan kemakrufan yang telah ditetapkan oleh syarak secara menyeluruh, dan tidak hanya terfokus di negeri-negeri yang mempunyai minyak sahaja. Hasil minyak wajib diagihkan ke seluruh negeri termasuklah kepada negeri-negeri yang tidak mempunyai sebarang hasil kekayaan bumi. Negara Islam (Daulah Khilafah) adalah merupakan Negara Kesatuan – semua negeri di dalam Daulah adalah sama. Penerapan keadilannya sama, Pemerintahnya sama (Khalifah), dan kebajikan yang dirasai juga sama. Ini kerana sistem yang diterapkan adalah sama, iaitu Sistem Islam, dan bukan Sistem Sekular. Wallahu’alam.