Wanita dan Haji!

Oleh : Ustazah Nur’ Ain (Aktivis MHTM)

Haji ialah ibadah yang wajib ke atas hamba Allah SWT yang berkemampuan. Untuk memperoleh haji mabrur, seseorang itu memerlukan kefahaman dan penghayatan tulus ikhlas dalam beribadah. Oleh yang demikian, jemaah haji wanita perlu memahami hukum-hakam dan permasalahan berkaitan kewanitaan seperti mahram dan hukum berkenaan dengan darah yang keluar dari badan wanita. Jika tidak difahami dan diperingatkan, mungkin akan timbul kekeliruan atau salah faham yang mengakibatkan terjejasnya ibadah haji atau umrah. Akibat daripada tidak atau kurang faham dan tidak mengetahui dalil atau sumber hukumnya akan dikhuatiri berlaku salah faham dan menjejaskan kualiti ibadah haji mereka. Nauzubillahi min zaalik!

Mahram

Antara perkara yang perlu dititikberatkan oleh jemaah haji wanita ialah soal mahram. Imam An Nawawi Rahimahullah menyatakan bahawa “Para ulama’ berijma’ (sepakat) bahawa seorang wanita dinilai wajib menunaikan haji dalam Islam jika ia telah berkemampuan. Hal ini berdasarkan keumuman firman Allah SWT:

“Mengerjakan haji adalah kewajipan manusia terhadap Allah, iaitu (bagi) orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah” [TMQ Ali Imran (3): 97].

Persoalan kemampuan di sini adalah terkena kepada wanita dan lelaki. Namun para ulama’ berselisih pendapat sama ada wanita disyaratkan wajib adanya mahram atau tidak. Perkara utama yang perlu diperluruskan adalah, safar (musafir/ perjalanan) biasa dan safar haji/ umrah adalah safar yang berbeza sifatnya. Ini kerana, jelas adanya dalil khusus dalam permasalahan Haji, iaitu;

“Janganlah seorang wanita melakukan safar kecuali bersama mahramnya, dan janganlah seseorang lelaki masuk menemui seorang wanita kecuali ketika wanita itu ada bersama mahramnya.” Maka seorang lelaki berkata kepada Rasulullah SAW, “Ya Rasulullah, saya ingin keluar dalam pasukan begini dan begini (berperang di jalan Allah) sementara isteriku mahu menunaikan Haji.” Maka Nabi SAW pun menjawab: “Keluar, temanilah isteri kamu!”

Dalam syarah Ibnu Hajar, beliau menyatakan dalam kitabnya Fathul Bari: “Ad Daruqutni telah meriwayatkan dan telah disahihkan oleh Abu ‘Awanah hadis dalam masalah ini daripada jalur Ibnu Juraih daripada Amru bin Dinar dengan lafaz:

“ Dan janganlah kalian seorang wanita melakukan Haji kecuali bersama kamu mahram!”

Lafaz di atas merupakan pendapat yang paling Rajih (paling jelas/kuat sumber dalilnya) menurut Imam Abu ‘Atho Ar Rush. Memiliki mahram adalah syarat “mampu” atau tidak buat seorang wanita.

Wanita dan Haid

Haid merupakan fenomena biasa dalam kehidupan wanita. Kehadirannya pada setiap bulan merupakan lambang kewanitaan yang sihat dan tanda kepada kesuburannya. Haid tidak menghalang wanita daripada mengerjakan semua Rukun dan Kewajiban haji atau umrah kecuali tawaf di Baitullah.

Aisyah RA meriwayatkan: “Kami keluar dari Madinah menuju ke Mekah untuk menunaikan haji. Apabila kami tiba di Saraf, aku didatangi haid. Rasulullah SAW masuk menemuiku ketika aku sedang menangis. Baginda bertanya: Kenapa kamu menangis? Adakah kamu didatangi haid? Aku menjawab: Ya! Maka Baginda bersabda maksudnya: Sesungguhnya perkara ini (haid) sudah ditentukan Allah ke atas anak perempuan Adam. Maka, tunaikanlah apa saja yang biasa dikerjakan oleh seseorang yang mengerjakan haji, kecuali tawaf di Baitullah sehingga kamu suci. (Sahih al-Bukhari)

Berdasarkan hadis itu, perbuatan selain tawaf seperti berniat haji atau umrah, wukuf di Arafah, sa’ie, mabit di Muzdalifah dan melontar jamrah boleh dilaksanakan. Wanita yang didatangi haid ketika mengerjakan Haji Tamattu’ iaitu sebelum berniat ihram, dia didatangi haid, maka dia hendaklah berniat ihram seperti biasa selepas melaksanakan sunat-sunat ihram seperti mandi dan lain-lain kecuali solat sunat ihram. Kemudian dia hendaklah menunggu hingga suci barulah disempurnakan umrah. Jika haid berterusan sehingga tiba waktu wukuf, hendaklah dia berniat ihram haji dan jadilah hajinya Haji Qiran dan diwajibkan dam Qiran.

Buat wanita yang mengerjakan Haji Ifrad atau Haji Qiran, hendaklah seorang wanita tersebut melakukan semua amalan kerja hajinya kecuali tawaf yang hanya boleh dilakukan selepas bersuci. Jika haidnya berterusan hingga tiba waktu berangkat keluar dari Mekah, wanita tersebut mestilah menunda tarikh keberangkatan sehingga dia suci dan mengerjakan rukun tawaf! Jika keberangkatan tidak boleh ditangguhkan dan wanita tersebut terpaksa berangkat segera, maka apabila sampai ke negerinya, dia hendaklah melakukan tahallul Ihsar dengan menyembelih seekor kambing dan bergunting dengan niat tahallul (tahallul Ihsar). Tawafnya dan amalan lain yang belum selesai wajib dilaksanakan pada masa akan datang.

Adakalanya berlaku masalah darah haid keluar berselang hari. Berdasarkan Imam Syafie, darah yang keluar berselang hari tidak melebihi 15 hari 15 malam adalah dikira darah haid. Tempoh itu dikira tempoh haid. Contohnya, hari pertama hingga kelima darah keluar berturut-turut, hari keenam tidak keluar, kemudian hari ketujuh hingga ke-10 keluar lagi, ke-11 dan 13 berhenti kemudian, 14 dan ke-15 keluar semula. Darah yang keluar selepas itu, iaitu selepas hari ke 15 tidak lagi dikira haid sebaliknya ia darah istihadah.

Dalam keadaan ini, jika jemaah wanita berniat ihram umrah, kemudian dia didatangi haid sebelum sempat menyempurnakan umrahnya. Selepas lima hari, dia melihat darah tidak keluar, dia bersuci lalu pergi mengerjakan tawaf, sa’ie dan tahallul. Tiba-tiba pada waktu malam dia mendapati darah haidnya keluar semula. Dalam keadaan ini tahallulnya tidak sah. Dia mesti ulangi semula tawaf, sa’ie dan tahallul apabila sudah suci daripada haid. Dia juga dikenakan Dam Takhyir dan Taqdir kerana mengerat rambut sebelum tiba masanya.

Terdapat pandangan kedua dalam Mazhab Syafie iaitu tempoh bersih antara haid itu (dikenali sebagai Fatrah Naqa’) dikira tempoh suci dan sah amal ibadah dengan syarat tempoh suci itu melebihi 24 jam.

Umpamanya pukul 12 tengah hari dia bersuci kemudian dia menyelesaikan umrahnya. Pukul 3 petang hari berikutnya darah keluar semula, maka umrahnya itu sah. Namun, jika darah keluar sebelum pukul 12 tengah hari berikutnya, maka umrahnya tidak sah.

Haid adalah sesuatu yang telah ditentukan secara fitrah ke atas wanita. Maka ia tidak boleh dijadikan sebab atau alasan tidak sempurnanya ibadah haji. Haid tidak menghalang wanita menunaikan semua rukun dan wajib haji kecuali tawaf di Baitullah.

Wallahu’alam.

Rujukan:

  • Al Quran
  • Soal Jawab Amir HT (http://mabsus.com)
  • Fikratul Ummah- September 2013