Yang penting lompat dulu

Setelah semua parti yang akan bertanding PRU15 hampir selesai mengumumkan senarai calon masing-masing, rakyat sudah dapat menyaksikan fenomena “lompat” oleh beberapa orang pimpinan parti politik yang nama mereka tidak tersenarai sebagai calon oleh parti masing-masing.

Ada pun sebab kenapa nama mereka tidak tercalon hanya satu sahaja, yakni kerana tidak disukai oleh ketua parti, itu sahaja, dan tidak ada sebab lain lagi.

Daripada senarai calon tersebut, terdapat juga muka-muka yang telah “terbuang” daripada parti lamanya, lalu kini bertanding atas tiket parti baru dan menggunakan logo parti baru, walaupun parti baru ini dahulunya dibenci dan dikutuknya habis-habisan.

Tindakan melompat ini, walaupun sebenarnya jelas tidak bermaruah, tetapi telah menjadi fenomena biasa pada setiap kali PRU di Malaysia, sehingga muka mereka yang melompat ini sudah cukup tebal untuk menghadapi semua itu.

Atas sebab apa sekali pun mereka itu tidak tercalon, namun apabila sudah kemaruk kuasa, mereka akan sanggup melakukan apa sahaja demi mendapat kerusi. Platform mana pun akan sanggup mereka duduki demi menjadi calon. Parti atau gabungan parti yang dulunya menjadi seteru dan sering diludahi, sekarang menjadi sekutu dan dijilat kembali ludahnya.

Menjilat kembali muntah bukanlah suatu yang memalukan lagi bagi politikus demokrasi dewasa ini. Malah ia sudah menjadi trend bagi mereka, dan seakan-akan sudah menjadi norma baru di Malaysia, yang sangat ketara setelah “langkah Sheraton”.

Trend tersebut telah membawa kepada tergubalnya Akta Lompat Parti yang telah pun diluluskan oleh mereka sendiri pada ada 28 Julai lalu di Dewan Rakyat, dengan undi majoriti lebih dua per tiga.

Rationale-nya, dengan kelulusan tersebut, mereka tidak mahu dan tidak suka siapa pun melompat parti, namun realitinya mereka kini telah terlebih dahulu “melompat” (sebelum menjadi ahli parlimen), kerana selepas ini, jika menang PRU dan melompat, akan menyebabkan status mereka terlucut.

Begitulah sikap mereka yang sudah tidak bermaruah dan tidak tahu malu. Sama buruk dengan itu ialah sikap parti seteru yang sebelum ini memusuhi mereka, kini menyambut mereka dengan senyuman sampai ke telinga, malah memuji “tindakan hipokrit” tersebut.

Di sinilah peri pentingnya kesedaran rakyat dalam hal ini. Apakah pemimpin-pemimpin dan parti-parti seperti ini yang rakyat mahukan? Pemimpin dan parti yang saling memakan muntah sendiri, dan memakan muntah satu sama lain!

Wallahu a’lam.