YEMEN PERLU BANTUAN RM1.35B – DIMANAKAH BANTUAN DARI NEGARA UMAT ISLAM?
Menurut agensi PBB dan beberapa kumpulan bantuan pada persidangan yang berlangsung di sini, Yemen memerlukan bantuan besar selama tiga hingga lima tahun melibatkan bekalan makanan, perubatan, sanitasi dan air bersih.
“Pelan Tindak Balas Kemanusiaan Yemen 2012 memerlukan RM1.35 bilion. Ia meningkat sebanyak 95 peratus berbanding tahun lalu. Dana itu bertujuan membantu sekitar 4 juta penduduk yang berpotensi terjejas akibat konflik,” kata mereka.
Hampir setahun protes terhadap Presiden Ali Abdullah Salleh berlangsung menyebabkan ekonomi Yemen lumpuh, menyukarkan hidup kebanyakan rakyat yang berhadapan dengan masalah kekurangan bekalan bahan bakar, makanan, air dan bekalan elektrik.
“Jika kita tidak bertindak sekarang, Yemen akan menjadi sebuah lagi Somalia dari perspektif kemanusiaan,” kata wakil Tabung Kanak-kanak PBB (UNICEF) di Yemen, Geert Cappelaere. Menurutnya, lebih 30 peratus kanak-kanak Yemen mengalami kekurangan nutrisi yang teruk. Secara umum katanya, apabila 15 peratus kanak-kanak berusia di bawah lima tahun mengalami kekurangan nutrisi teruk, keadaan itu digelar darurat nutrisi.
Di dalam berita lain pula, di negara jiran dengan Yemen, Saudi Arabia pula, seorang Bilionair Arab Saudi, Putera Al-Waleed bin Talal hari ini mengumumkan beliau melaburkan sejumlah AS$300 juta (RM900 juta) dalam laman web mikroblog, Twitter. Al-Waleed yang merupakan anak saudara Raja Arab Saudi, Abdullah bin Abdel Aziz memiliki kekayaan yang dianggarkan oleh majalah Forbes bernilai AS$19.6 bilion (RM58.8 bilion).
Di manakah bantuan negara-negara kaya yang berjiran dengan Yemen seperti Saudi Arabia, Kuwait, Emiriyah Arab Bersatu, Qatar dan Bahrain? Ternyata keadaan umat Islam di Yemen sama sahaja seperti di negara-negara umat Islam lain yang mengalami konflik kemanusiaan. Bukan sahaja bantuan kewangan tidak sampai atau lambat, bahkan tiada pasukan tentera daripada negara-negara umat Islam lain yang ingin datang membantu.
Seolah-olah kesengsaraan dan keperitan hidup yang dialami oleh umat Islam di Yemen itu tidak ada kena-mengena langsung dengan mereka. Keadaan ini sangat berbeza dengan apa yang diterangkan oleh Rasulullah SAW di dalam hadisnya yang masyhur: “Bandingkan orang-orang mukmin dalam mereka bercinta dan berkasih-sayang dan mereka saling tolong-menolong di antara satu sama lain, mereka umpama satu tubuh badan; apabila sakit salah satu anggota maka anggota lain akan terasa sehingga ia tidak dapat tidur dan demam.”
Kini, semua permasalahan umat Islam terpaksa diserahkan kepada PBB. Walhal, PBB telah sekian lama menjadi punca kepada segala kesengsaraan umat Islam bermula dengan umat Islam di Palestin. Sampai bilakah umat Islam hendak mengharapkan PBB atau OIC untuk menolong mereka? Mengapa tidak kembali sahaja kepada Sistem Khilafah sebagai penyelesaian terhadap segala kemelut yang melanda mereka? Wa Allahu A’lam
Sumber berita daripada Utusan Malaysia 20 Disember 2011