100 Tahun ‘Buah-Buah Busuk’ Pasca Perang Dunia Pertama

Ketika para pemimpin dunia Barat berkumpul di Paris pada 11 November 2018 lepas sempena memperingati ulang tahun ke 100 berakhirnya Perang Dunia Pertama (PD1), dunia Islam khususnya Timur Tengah terus berkecamuk dalam keadaan huru-hara. Tarikh 11 November 1918 menandakan tamatnya PD1 selepas perjanjian gencatan senjata dimeterai antara Jerman mewakili Kuasa Tengah (bersama-sama Khilafah Utsmaniyyah, empayar Austria-Hungary) dengan Pasukan Berikat yang diterajui Britain, Amerika Syarikat (AS) dan Perancis. PD1 yang meletus selama 4 tahun itu telah menelan korban sejumlah 15-19 juta jiwa dan dianggap sebagai “peperangan bagi menamatkan segala peperangan”. Namun harapan tinggal harapan, keamanan yang diharapkan tidak berhasil kerana 21 tahun selepas itu berlaku pula Perang Dunia Kedua (PD2) yang menelan korban lebih besar.

Bagi Dunia Islam, PD1 ialah ladang bencana yang menghasilkan buah-buah busuk yang tidak boleh dan tidak layak ditelan oleh umat manusia khususnya umat Islam. Kesan PD1 telah memberikan dampak negatif yang cukup besar terhadap Dunia Islam. Tanda-tanda PD1 di Timur Tengah jelas kelihatan di mana-mana sahaja ketika ini. Dunia Islam yang terpecah belah dari segi geografi dan demografi serta dilanda konflik yang tidak berkesudahan jelas menunjukkan betapa umat Islam berada dalam keadaan huru-hara pasca PD1. Perang ini juga telah membentuk pelbagai macam kezaliman, penindasan dan konflik yang berlaku di era Timur Tengah moden hari ini termasuklah menjadi benih penjajahan Zionis di Palestin. Di samping itu, malapetaka akibat PD1 juga dapat dilihat terhadap negeri-negeri umat Islam yang lain seperti Syria, Iraq dan Afghanistan.

Benih Malapetaka PD1: Rejim Boneka & Penghapusan Daulah Khilafah

Era Timur Tengah moden penuh dengan peperangan, penindasan dan kezaliman. Ia dibentuk oleh negara-negara bangsa yang dibina selepas PD1 dan diperintah oleh rejim-rejim boneka yang diletakkan oleh kuasa Barat pada masa itu. Rejim-rejim boneka ini sebenarnya berkhidmat untuk kepentingan Barat serta kepentingan minoriti elit mereka sendiri, bukannya berkhidmat untuk kepentingan rakyat di bawah kekuasaan mereka. Rejim-rejim boneka ini sememangnya dibenci oleh rakyat mereka. Kekuatan tentera yang mereka miliki pula digunakan untuk dua tujuan utama iaitu yang pertama ialah kekuatan tersebut digunakan untuk menindas populasi awam atau rakyat mereka sendiri terutama apabila rejim melihat ada cetusan kritikan politik kepada rejim ataupun wujudnya sentimen-sentimen Islamik. Sedangkan tujuan yang lain ialah bagi memenuhi kepentingan ketenteraan imperialis Barat apabila diperlukan.

Rejim boneka yang paling lama bertahan ialah Kerajaan Arab Saudi dan Jordan. Kedua-dua rejim ini diwujudkan oleh Britain ketika menguasai Timur Tengah seabad yang lepas. Keluarga pemerintah kedua negara ini telah menikmati hubungan yang cukup rapat dengan Britain dan seterusnya AS sejak sekian lama, dengan balasan dua kuasa Barat ini dapat menjarah kekayaan milik umat Islam sewenang-wenangnya. Britain juga meletakkan individu-individu daripada keluarga yang sama untuk memerintah Mesir, Iraq dan sebahagian kecil Syria. Rejim-rejim yang merupakan agen kepada Barat ini hakikatnya ialah pengkhianat kepada Islam dan umatnya. Rejim-rejim ini kemudian tumbang dalam beberapa siri rampasan kuasa yang ditaja oleh Britain, Perancis dan AS kerana konflik kepentingan antara kuasa-kuasa Barat ini.

Jika dibandingkan keadaan Timur Tengah semasa berada di bawah naungan Khilafah Uthmaniyyah, walaupun pada masa kemundurannya, ternyata situasinya  lebih stabil daripada apa yang berlaku semenjak seabad lepas. Ketika Timur Tengah berada di bawah naugan Khilafah, ia menjadi tempat tinggal sebuah tamadun hebat yang dihuni oleh masyarakat yang unik. Walaupun komuniti terdiri daripada pelbagai latar belakang bangsa, etnik dan agama namun mereka dapat hidup dengan aman dan harmoni.

Bredan Clifford telah menulis dalam eseinya pada 2009 yang bertajuk Islam and its Discontents dengan menyatakan: “Islam sebagai salah satu budaya utama di dunia telah kehilangan sebuah negara untuk mempertahankan kedudukannya di mata dunia selama hampir 90 tahun. Negara Islam telah dimusnahkan oleh Britain semasa perang yang diisytiharkan ke atas Jerman pada tahun 1914. Dikatakan bahawa penghapusan negara Islam merupakan salah satu tujuan utama ketika Britain mengisytiharkan perang ke atas Jerman. Maka pada hemat saya, kemusnahan negara Islam menjadi penyebab utama keadaan dunia dengan apa yang digelar oleh AS dan Britain sebagai perang melawan keganasan”

Clifford juga menambah: “Lebih kurang dari satu abad yang lalu, Kaisar Jerman telah membuat kunjungan ke Empayar Uthmaniyyah untuk bertemu dengan Sultan dan menyatakan bahawa negara Islam yang kuat merupakan bahagian penting daripada kestabilan dunia”.

Field Marshal negara Jerman, Count Von Moltke telah berhujah dalam bukunya Essays, Speeches, and Memoirs 1893 bahawa untuk membina semula Empayar Uthmaniyyah daripada akar Islam ialah satu perkara yang mungkin boleh berlaku.

Britain bimbang akan impak boleh berlaku ini terhadap hubungan dengan negara jajahannya terutama India. Dengan itu, Britain melaksanakan polisi untuk mengembangkan empayarnya dari India ke Mesir. Malah, ketika pasukan tentera Uthmaniyyah menyertai perang seterusnya mengisytiharkan jihad, Britain sangat bimbang panggilan ini akan merebak ke negara jajahannya di Mesir, Sudan dan India.

Pada pemulaan PD1, polisi Uthmaniyyah bersifat neutral (berkecuali daripada memihak pada mana-mana kuasa). Kedudukan kewangan dan politik Uthmaniyyah ketika itu tidak memungkinkannya untuk turut serta dalam medan perang. Namun, Britain enggan menerima situasi Uthmaniyyah ketika itu dan dalam masa yang sama menolak untuk bersekutu dengan Uthmaniyyah. Dalam usaha untuk mengheret Uthmaniyyah dalam kancah PD1, Britain telah melakukan provokasi terhadap Uthmaniyyah khasnya dengan bersekutu bersama Russia yang bermusuhan dengan Uthmaniyyah sejak sekian lama (Russia kemudiannya menarik diri daripada PD1 kerana berlaku Revolusi Komunis Bolshevik). Uthmaniyyah telah dituduh melakukan satu serangan ke atas Russia di Laut Hitam. Clifford menulis dengan tegas bahawa tuduhan tersebut tidak jelas buktinya dan kelihatan Britain mempunyai niat lain dengan bersegera mengisytiharkan perang ke atas Uthmaniyyah pada 5 November 1914.

Kegagalan untuk melihat keruntuhan Uthmaniyyah dengan cepat selepas kekalahannya pada PD1 menyebabkan Britain berusaha untuk mencari jalan yang lain. Lalu Britain menemukan satu sekutu baru di Timur Tengah iaitu Shariff Hussain (moyang kepada dinasti Jordan) dan juga Ibnu Saud (Pengasas Arab Saudi moden) untuk melemahkan situasi dalaman Uthmaniyyah dengan pemberontakan yang dilakukan oleh kedua agen mereka ini.

Ketika PD1, pada tahun 1916 semasa perjanjian Sykes dan Picot, Britain dan Perancis bersetuju antara mereka secara rahsia daripada sekutu-sekutu arabnya dengan membahagikan Timur Tengah yang sedang huru-hara. Mereka ‘membuat garis di atas pasir’ antara Acre dan Kirkuk. Britain menjajah tempat-tempat di selatan garis itu iaitu Transjordan, Iraq dan Hijaz, manakala Perancis menjajah di utara garis itu iaitu Syria dan Lubnan. Mereka membahagi Timur Tengah ketika PD1 sedang berkecamuk.

Setelah PD1 tamat, Pakatan Kuasa Tengah diisytiharkan kalah dan mereka dipaksa tunduk kepada tekanan-tekanan Pihak Berikat. Khilafah Uthmaniyyah menerima paling banyak tekanan. Ia mengambil masa lebih 16 bulan untuk melihat Triti Sevres (Ogos 1920) untuk berhasil, bermula dengan mesyuarat-mesyuarat awal di Paris pada musim panas tahun 1919, diikuti dengan Konferens London (12-24 Februari) dan Konfrens San Remo(19-26 April).

‘Konferens-konferens aman’ ini dibuat dengan tujuan-tujuan utama iaitu meletakkan syarat-syarat hukuman ke atas Turki, memecah dan menyusun semula Timur Tengah dengan mewujudkan negara-negara bangsa (nation state), melenyapkan Khilafah Uthmaniyyah, dan cuba mendamaikan semula semua janji kabur, berbelit dan manipulatif yang berlaku semasa PD1 seperti surat-surat Hussein-Mc Mahon, Perjanjian Sykes-Picot 1916 dan Deklarasi Balfour 1917.

Kemuncaknya, Triti Sevres diganti dengan Triti Lausanne pada Julai 1923 setelah triti sebelumnya itu tidak dapat disempurnakan. Triti Lausanne 1923 menjadi anak panah beracun yang melenyapkan Daulah Khilafah dan penubuhan Republik Sekular Turki. Akhirnya pada 3 Mac 1924, Britain melalui agennya Mustafa Kemal Attartuk mengisytiharkan kejatuhan Daulah Khilafah Uthmaniyyah secara dan seterusnya menjadi Republik Sekular Turki secara rasmi. Khalifah terakhir dan seluruh ahli keluarganya dihalau keluar ke Switzerland pada pagi subuh hari yang sama. Berakhirlah pemerintahan Daulah Khilafah yang memayungi umat manusia selama 1300 tahun (622-1924).

Kesudahannya setelah 94 tahun kemudian, Timur Tengah menjadi bertambah huru-hara dengan perang dan konflik sesama sendiri, yang kebanyakkannya menjadi perang proksi akibat konflik kepentingan antara kuasa-kuasa imperialis Barat di Timur Tengah. Rejim-rejim menindas rakyatnya sendiri secara brutal dan kuku besi manakala kekayaan alam yang sepatutnya menjadi milik umat Islam dijarah oleh kuasa imperialis barat.