11 Langkah Penjimatan Bukan Penyelesaian Wahai PM
Itulah justifikasi kerajaan dalam usaha menutup mulut rakyat. “Islam” selalu digunakan untuk melembutkan hati rakyat, sedangkan umum mengetahui bahawa kerajaan tidak pernah menjadikan Islam sebagai sumber untuk berhukum dalam aspek pemerintahan.
Daripada 11 langkah yang telah digariskan, apa yang pasti ialah ia tidak akan menyelesaikan masalah rakyat. Tindakan yang diambil oleh Najib ini merupakan langkah sama yang telah diperkenalkan oleh Pak Lah, Perdana Menteri sebelum ini. Ternyata langkah ini telah menemui kegagalan kerana jumlah hutang negara kian meningkat saban tahun. Ia sekadar langkah bersifat populis yang hanya dilakukan untuk meredakan kemarahan rakyat dengan cuba memberi mesej bahawa kerajaan turut sama merasai keperitan rakyat serta sanggup “berkorban”.
Ini dari satu sudut. Dari sudut lain, persoalannya, ke manakah wang hasil daripada penjimatan ini akan disalurkan dan adakah ia akan sampai untuk dinikmati oleh rakyat? Kita semua sudah tahu akan jawapannya!
Apa yang berlaku ini merupakan natijah daripada kegagalan pemerintah dalam urus tadbir negara dan yang menjadi mangsanya adalah rakyat. Langkah ini pasti tidak akan menyelesaikan masalah yang telah ditimbulkan sendiri oleh pemerintah, hasil daripada penerapan sistem kapitalisme yang rosak dalam pemerintahan. Inilah punca kepada segala kerosakan yakni sistem ekonomi kapitalis yang diterapkan yang sifatnya rapuh, mengayakan pemerintah dan memangsakan rakyat.
Begitu banyak pembaziran dan hutang yang terhasil dari sistem ekonomi buatan manusia ini. Sumber kewangan dan ke mana wang negara dibelanjakan ternyata tidak berlandaskan Islam. Sistem kapitalis yang rosak ini telah terbukti gagal. Malahan bapa kapitalis dunia, Amerika dan Eropah lebih awal berhadapan dengan kegagalan sistem ini dan tidak mustahil Malaysia turut melangkah ke jurang yang sama. Amerika yang terbeban dengan hutangnya yang telah mencecah lebih 17 trillion dolar serta Eropah yang sehingga ke hari ini masih bergelut dengan masalah kewangan serta pengangguran telah menyaksikan satu persatu negara Eropah dilanda krisis.
Oleh itu, jalan keluar kepada semua masalah ini bukanlah dengan melakukan 11 langkah penjimatan mahupun pelbagai langkah susulan yang bakal diumumkan oleh pemerintah mahupun pembangkang, tetapi solusi yang tinggal sekarang adalah mengembalikan sistem kewangan Islam dan sistem-sistem Islam yang lain dalam bentuk bernegara. Insha Allah, hanya dengan pelaksanaan sistem Islam secara menyeluruh sahajalah rakyat akan sejahtera dan akan dipayungi rahmat Allah. Wallahu a’lam.