Henti bangkit isu Kerajaan Perpaduan
GESAAN Dato’ Mustafa Ali kepada semua pihak termasuk dalam PAS dan Pakatan Rakyat supaya menghentikan segera bercakap soal Kerajaan Perpaduan mesti diambil perhatian segera. Mustafa dalam sidang akhbarnya di Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut, 9 Jun lepas mahu semua pemimpin PAS berhenti mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan berhubung isu kerajaan perpaduan. Tegasnya, idea bekerjasama dengan Umno (dalam isu-isu yang khusus) pernah dikemukakan dalam mesyuarat AJK PAS Pusat, namun ianya tidak dijuruskan kepada suatu keputusan yang konkrit. Katanya, idea tersebut dikemukakan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tetapi ahli-ahli PAS tidak mempersetujuinya. Isu kerajaan perpaduan katanya juga, tidak pernah dibincangkan (dalam mesyuarat AJK Pusat) dan tiada keputusan yang dicapai mengenainya.
Mustafa memperakui, daripada reaksi AJK PAS Pusat tidak bersetuju dengan idea tersebut dan oleh kerana itu PAS merasakan tidak perlu sebarang perbincangan mengenainya dibuat. Tegasnya, terma bekerjasama atau ‘cooperation’ telah disalahertikan kerana PAS tidak akan bekerjasama dari segi politik dengan parti seteru seperti Umno. Beliau juga memperakui isu ini sudah menyebabkan kekeliruan di kalangan Pakatan Rakyat.
Gesaan menghentikan perbincangan mengenai Kerajaan Perpaduan ini kata Mustafa, tidak bertujuan untuk ‘menyapu sampah ke bawah karpet’ – not sweeping under the carpet – kerana isu ini tidak pernah timbul. Katanya ‘unity talk’ dengan Umno tidak relevan buat masa sekarang. “Kita kini bersama dengan Pakatan Rakyat dan adalah tugas kita untuk menguburkan Umno di Manek Urai,” tegasnya. Mustafa juga melahirkan harapan agar isu kerajaan perpaduan tidak lagi ditimbulkan sehingga Pilihan Raya Umum ke-13 nanti. Secara jujurnya, penulis memperakui bahawa Mustafa terpaksa berbuat sesuatu untuk menghentikan isu kerajaan perpaduan. Ia bukan lagi isu, ia sudah menjadi polemik. Polemik ini, ternyata sudah menyebabkan ramai orang keliru. Orang dalam PAS pun keliru, orang di luar PAS juga lagi bercambah kekeliruan mereka. Habis semua bercelaru. Kekeliruan timbul kerana isu ini mewujudkan tanggapan bahawa PAS sudah mahu berbaik-baik dengan Umno dan sekaligus meninggalkan Pakatan Rakyat. Walaupun penjelasan dibuat oleh pimpinan tertinggi PAS, bahawa PAS sesekali tidak berhasrat hendak bergabung dengan Umno dan mahu bersungguh-sungguh mahu memperkukuhkan Pakatan Rakyat, namun isu ini tetap hangat dibicarakan. Isu ini sudah mengundang persepsi yang tidak memberangsangkan terhadap PAS.
Selepas Muktamar Tahunan PAS ke-55 di Shah Alam berakhir, ramai pemimpin-pemimpin PAS dipersoal dan diasak ahli serta penyokong yang mahukan penjelasan apa yang sebenarnya berlaku. Bukan sahaja pemimpin diasak, malah PAS turut diasak dan dipersoalkan oleh rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat yang mahukan penjelasan pemimpin. Kerana bagi mereka isu kerajaan perpaduan mengundang persepsi yang negatif terhadap PAS dari kalangan penyokong Pakatan Rakyat yang bukan Melayu-Islam. Pada hemat penulis, saranan Mustafa harus diterimapakai serta merta. Dan, jika pun pemimpin-pemimpin PAS mahu bercakap mengenai kerajaan perpaduan mereka mesti mengelakkannya dari bercakap kepada media massa yang kebanyakannya pro Barisan Nasional dan akan melaporkan sesuatu menurut kepentingan BN. PAS bersama rakan-rakan Parti KeADILan Rakyat dan DAP ada platform Pakatan Rakyat. Alangkah baik jika apa juga isu yang berkaitan, dibincangkan dan diperhalusi bersama rakan-rakan. Jika dilontarkan tanpa pengetahuan yang jelas rakan-rakan, takut-takut ianya akan mengundang fitnah dan menimbulkan persepsi negatif terhadap PAS. Hayatilah penegasan Mursyidul Am PAS, Dato’ Nik Aziz Nik Mat, “Kita sudah buat keputusan menyokong Pakatan Rakyat dalam muktamar PAS yang lalu (di Ipoh). Kalau nak berunding dengan Umno, tak usah. “Kerajaan perpaduan ni tak usahlah, mengarut,” katanya ketika berucap dalam program ceramah perdana bersempena muktamar PAS di Stadium Malawati di Shah Alam, 6 Jun lepas. Menurut Tuan Guru Nik Aziz, Umno adalah telur-telur yang ditinggalkan oleh penjajah Inggeris. “(Jadi) kita perlu matikan Umno habis-habisan,” katanya. – mks._
Sumber : HarakahDaily: 10/06/09
Nampaknya isu Kerajaan Perpaduan sudah menjadi semacam bara api bagi ahli-ahli PAS. Ada yang setuju dan ada yang menolak. Yang jelas, apa yang perlu diperhatikan ialah bagaimana idea perjuangan PAS nampaknya sering berubah. Kalau dulu idea ”Daulah Islam” sering diperkatakan oleh ahli-ahlinya. Namum nampaknya istilah itu hilang entah ke mana. Pada pilihanraya ke-12 yang lepas PAS muncul dengan idea negara berkebajikan. Apabila idea ini nampaknya mulai sejuk timbul pula idea Kerajaan Perpaduan. Gagasan dan bentuk Kerajaan Perpaduan ini pun nampaknya masih tidak jelas dan inilah di antara punca nampaknya ada pertembungan di kalangan ahli-ahli PAS itu sendiri. Selayaknya, PAS sebagai sebuah parti politik Islam harus melihat bahawa Rasulullah SAW telah melafazkan dengan lisan baginda sendiri mengenai suatu sistem pemerintahan yang sewajibnya diperjuangkan oleh seluruh umat Islam iaitu sistem Khilafah. Sabda Rasulullah SAW:
“Zaman kenabian itu ada di tengah-tengah kalian, adanya atas kehendak Allah, kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia berkehendakan untuk mengangkatnya. Selanjutnya adalah masa Khilafah yang mengikuti jejak kenabian (Khilafah ’ala minhaj an-nubuwwah), adanya atas kehendak Allah, kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia berkehendakan untuk mengangkatnya. Selanjutnya akan muncul zaman kerajaan yang menggigit (Mulkan ’Adhan), adanya atas kehendak Allah, kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia berkehendakan untuk mengangkatnya. Setelah itu, akan muncul zaman kerajaan yang menyombong (Mulkan Jabariyyan), adanya atas kehendak Allah, kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia berkehendakan untuk mengangkatnya. Selanjutnya akan muncul Khilafah yang mengikuti jejak kenabian (Khilafah ’ala minhaj an-nubuwwah). Kemudian beliau (Nabi) diam.” [HR Ahmad dan Baihaqi dari Nuâman bin Basyir dari Hudzaifah].
Inilah sistem pemerintah Islam yang sepatutnya ditegakkan oleh seluruh umat Islam bukannya negara berkebajikan mahupun Kerajaan Perpaduan ataupun yang lainnya. Tidakkah cukup istilah Khilafah yang keluar dari lisan nabi ini mengerakkan seluruh umat Islam bangkit untuk memperjuangan sistem ini dan meninggalkan jalan demokrasi yang telah menipu umat Islam dan gerakan Islam yang ada pada hari ini? Tinggalkanlah demokrasi! Sesungguhnya demokrasi bukanlah penyelesaian yang sebenarnya. Malahan ianya justru merupakan sumber masalah. Ini adalah kerana sejak awal lagi demokrasi telah memposisikan kedaulatan Allah SWT di bawah kedaulatan rakyat (manusia). Itulah pangkal permasalahannya. Selain itu, demokrasi sesungguhnya tidak menjanjikan apapun; bukan kemakmuran, kesejahteraan mahupun keadilan. Demokrasi hanya menjanjikan harapan yang kabur yang selamanya tidak akan pernah wujud menjadi kenyataan. Buktinya, sudah puluhan tahun demokrasi diterapkan di negara ini dan sudah sekian kali pilihanraya dalam sistem demokrasi ini dilakukan, namun hasilnya hanyalah keburukan demi keburukan. Dalam hal ini, seorang muslim yang cerdas dan sejati tidak akan terjerumus ke dalam lubang yang sama sebanyak dua kali, apalagi berkali-kali. Rasulullah saw. bersabda:
“Seorang mukmin tidak seharusnya terperosok ke dalam lubang yang sama dua kali”. [HR al-Bukhari dan Muslim].
Kerana itu, janganlah sampai kita terjerumus ke dalam ‘lubang demokrasi’ untuk ke sekian kalinya. Marilah kita berlepas diri dari sistem demokrasi. Marilah kita bersegera untuk menegakkan sistem pemerintahan Islam, sistem Khilafah ’ala minhaj an-nubuwwah, yang akan menerapkan syariah Allah SWT secara total di dalam seluruh aspek kehidupan. Hanya dengan itulah kita semua akan dapat meraih kemuliaan di dunia dan akhirat, sekaligus mendapatkan keredhaan di sisi Allah SWT.