Seruan Ashobiyah Nazri sungguh meloyakan

Melayu perlu bersatu

PADANG RENGAS 5 Sept. – Orang Melayu diingatkan supaya bersatu memperjuangkan agama Islam dan mempertahankan institusi raja- raja daripada diperkotak-katikkan pihak tertentu.  Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, kegagalan mereka untuk bersatu dalam menjaga hak dan tanggungjawab tersebut akan menyebabkan orang Melayu akhirnya tertindas di bumi sendiri.   “Islam adalah agama dan hak kita, raja-raja adalah warisan kita. Jangan benarkan agama kita diperkotak-katik sama ada oleh orang Islam sendiri atau bukan Islam, kerana itu amat penting untuk kita bersatu,” katanya.  Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian bantuan zakat dan memasak bubur lambuk bagi kawasan Parlimen Padang Rengas dengan kerjasama Amanah Raya Berhad (Amanah Raya) di pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderoh di sini hari ini.   
Turut hadir ADUN Chenderoh, Datuk Siti Salmah Mat Jusak dan Pengarah Urusan Kumpulan Amanah Raya, Datuk Ahmad Rodzi Pawanteh.  Menurut Mohamed Nazri, tragedi pembunuhan beramai-ramai umat Islam seperti di Tak Bai dan beberapa tempat lain di Thailand wajar dijadikan pengajaran bahawa orang Melayu akan melalui nasib yang sama jika masih enggan bersatu.  “Inilah yang berlaku pada kita jika tidak bersatu. Jika bersatu pun tetapi duduk di dalam negara yang dipimpin oleh orang bukan Islam, inilah juga nasibnya,” kata beliau.   Mohamed Nazri berkata, pendekatan songsang parti pembangkang yang mengajar orang Melayu bersikap kurang ajar kepada raja-raja perlu ditolak kerana raja-raja Melayu adalah tonggak agama Islam di sesebuah negeri.  Sementara itu, bercakap kepada pemberita, Mohamed Nazri mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya berani berdepan dengan proses undang-undang berhubung kes liwat membabitkannya jika benar beliau tidak bersalah.   Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh itu turut didesak menjelaskan kepada umum mengapa peguam belanya, Sulaiman Abdullah menarik diri.   Mohamed Nazri berkata, beliau percaya, perancangan demi perancangan parti pembangkang untuk menghuru-harakan negara ini berkait rapat dengan usaha untuk mengalih pandangan masyarakat daripada kes liwat yang dihadapinya.  Mengulas lanjut tentang sikap pembangkang, katanya, sikap kurang ajar mereka semakin menjadi-jadi disebabkan pentadbiran lembut yang dipraktikkan ketika era pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi.   Kesempatan tersebut digunakan sepenuhnya oleh kumpulan terbabit untuk bertindak melampaui batas sehingga ke tahap mengugat keamanan negara.   Selain bantuan zakat kepada 600 penduduk miskin yang tinggal di dalam Parlimen Padang Rengas, Amanah Raya turut menyumbang sebuah van jenazah untuk kegunaan penduduk di kawasan terbabit secara percuma.   Dalam masa sama, mereka juga membawa pulang bubur lambuk, kurma serta beberapa barangan keperluan harian seperti beras, minyak masak dan gula.

Sumber: Utusan Malaysia 05/09/09

Melayu Perlu Bersatu. Seruan Yang Sudah Meloyakan Umat Islam Sebenarnya

Nampaknya tarbiah Ramadhan yang dilalui oleh Nazri Aziz sehingga setakat ini masih gagal membentuk konsep takwa yang sebenarnya dalam diri beliau. Bukankah ketakwaan itu maknanya memelihara diri dari murka dan azab Allah SWT? Takwa itu membawa maksud melaksanakan apa yang disukai oleh Allah SWT dan meninggalkan apa-apa yang dimurkainya. Apakah beliau sedar seruan dan laungan ‘Melayu’nya itu merupakan satu bentuk keharaman dan suatu tindakan yang dimurkai oleh Allah SWT?

Wahai Nazri! Islam adalah milik Allah SWT. Maka jika orang Melayu termasuk Nazri ingin hidup dengan Islam maka sewajibnya orang Melayu mengikat dirinya dengan Islam yang datang dari Allah SWT.  Islam adalah “Deen” yang diturunkan oleh Allah SWT kepada nabi Muhammad SAW untuk mengatur hubungan manusia dengan Allah SWT, untuk dengan dirinya dan dengan manusia yang lain. Islam milik Allah SWT itu bukanlah Islam yang mengikut acuan Melayu seperti mana yang diperjuangkan oleh UMNO dan yang seangkatan dengannya seperti mana yang kita lihat hari ini.

Wahai Nazri! Apakah seruan kamu supaya orang Melayu bersatu hanya bertujuan untuk terus memastikan agar UMNO mendapat sokongan dan dengan talian hayat itu kamu akan terus mempertahankan undang-undang jahiliyyah sepertimana yang ada pada hari ini? Jika inilah yang kamu harapkan maka tersangat rugilah perjuangan yang kamu lakukan itu.

Wahai Nazri! Apakah kamu sedar bahawa persoalan umat Islam di Thailand saat ini adalah sebenarnya kerana umat Islam itu tidak bersatu di atas asas aqidah Islam? Umat Islam hari ini terpisah-pisah dengan sempadan ashobiyyah seperti yang kamu pertahankan saat ini. Penjara ashobiyyah inilah yang menyebabkan kamu dan orang-orang yang memiliki kekuatan di kalangan penguasa umat Islam hari ini tidak tergerak untuk membantu saudara mereka yang dibunuh di selatan Thailand! Ketika umat Islam di seluruh dunia berpuasa kerana melaksanakan perintah Allah SWT, nampaknya Nazri samada sedar mahupun tidak terus melaung seruan haram ashobiyyah Melayunya. Sampai bila kamu akan terus melaungkan seruan ashobiyyah itu? Apakah sehingga nyawamu sudah sampai ke batang tenggorokmu? Apakah label “Melayu” atau label “Islam” yang akan kamu persembahkan di hadapan Allah SWT kelak?

Wahai Nazri! Satu-satunya institusi yang akan melindungi seluruh umat manusia samada Islam mahupun bukan Islam termasuklah Melayu, adalah Daulah Khilafah.

Wahai Nazri! Yang memberikan kehidupan itu adalah Allah SWT. Yang mematikan itu juga adalah Allah SWT. Ketenangan itu adalah milik Allah SWT. Keamanan itu adalah milik Allah SWT. Hak menghukum juga adalah milik Allah SWT, Tuhan yang menciptakan manusia, alam dan kehidupan ini. Bukannya UMNO atau mana-mana institusi yang kamu laungankan selain dari Allah SWT.

Wahai Nazri! Kamu adalah seorang Muslim. Anwar Ibrahim juga adalah seorang Muslim. Oleh itu, seluruh persoalan dan perselisihan yang berlaku dalam kehidupan masyarakat hari ini termasuklah isu liwat Anwar Ibrahim itu wajib dikembalikan kepada undang-undang Islam. Bukankah mahkamah yang kamu seru untuk mengadili kes Anwar itu adalah mahkamah taghut, mahkamah yang menolak hak Allah untuk menghukum?? Di manakah aqidah Islam kamu? Apakah kamu telah benar-benar tenggelam di dalam lumpur jahiliyyah?

“Tidakkah engkau (hairan) melihat (Wahai Muhammad) orang-orang (munafik) yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada Al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu? Mereka suka hendak berhakim kepada taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada taghut itu. Dan syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang amat jauh. [TMQ An Nisaa’ (4) : 60].

Yakinlah bahawa seruan selain dari Islam adalah retorik palsu semata-mata. Sampai bilakah kamu akan terus beretorik dengan kepalsuan ini?