Parti Sekular Mengaku Parti Islam
SIK: Datuk Seri Najib Razak, berkata perjuangan kerajaan yang diterajui Umno dalam memajukan negara selaras tuntutan agama Islam, walaupun parti itu tidak mempunyai label Islam.
“Apakah perjuangan kita tidak selari dengan tuntutan Islam hanya semata-mata parti kita tidak mempunyai label Islam?
“Tidak perlulah kita letakkan label Islam kerana sejak lebih 50 tahun lalu kerajaan inilah yang berjuang membangunkan negara sehingga kita muncul negara maju seperti sekarang.
“Jika kita miskin kita menghampiri kepada kekufuran dan perjuangan kita sebenarnya adalah selaras tuntutan Islam. Perjuangan kita sudah berjaya mengubah kehidupan masyarakat,” katanya pada Program Rahmat Ramadan di Felda Teloi Timur, dekat sini semalam.
Perdana Menteri berkata, tidak ada gunanya perjuangan menggunakan label Islam jika ia mengundang perpecahan dalam ummah sehingga menyebabkan perpaduan rapuh dan sentiasa bertelagah.
Hadir sama pada majlis itu isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Maslan.
Perdana Menteri turut berbuka puasa bersama kira-kira 5,000 peneroka Felda dan penduduk sekitar. Beliau kemudian turut menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih berjemaah.
Najib juga meminta umat Islam mengambil iktibar daripada rahmat Ramadan dalam menuju kejayaan.
“Puasa melatih diri membina kekuatan jasmani, rohani dan mendidik kita menguasai nilai yang baik, termasuk kesabaran menghadapi ujian, ketabahan menghadapi dugaan, pemurah dan prihatin kepada mereka yang kurang bernasib baik. Oleh itu, kita hendaklah mengambil rahmat Ramadan itu kerana ia adalah bulan kemuliaan dan kemenangan,” katanya.
Sementara itu di GENTING HIGHLANDS, Bernama melaporkan Najib meminta komuniti Hopo, satu subkumpulan komuniti Hakka di seluruh dunia mengambil kesempatan daripada peluang perniagaan dan perdagangan di Malaysia berikutan langkah liberalisasi sepenuhnya subsektor 27 perkhidmatan baru-baru ini.
Perdana Menteri berkata, Malaysia, yang terletak di tengah-tengah Asia Tenggara yang cergas, adalah destinasi berdaya maju dan komuniti Hopo yang mempunyai jaringan di seluruh dunia, berserta pengetahuan dan kepakaran boleh bersatu tenaga dan bekerjasama dengan rakan mereka di Malaysia.
Najib berkata, komuniti Hopo mempunyai kekukuhan sendiri, sama ada modal, teknologi, bahan mentah, saiz pasaran, kuasa membeli, logistik atau rangkaian pengedaran yang boleh disandarkan dan membentuk perkongsian atau ikatan strategik.
“Ahli perniagaan dan usahawan berpadu tenaga dengan rakyat Malaysia untuk melaksanakan projek di Malaysia, China dan malah di negara ketiga,” katanya pada Konvensyen Komuniti Hopo Dunia Pertama, di sini semalam. Ia dihadiri oleh kira-kira 1,500 delegasi dari 18 negara.
Sumber: Berita Harian 11/09/09
PERJUANGAN UMNO BERADA ATAS ASAS ISLAM?
Bagaimana mungkin kata–kata Najib boleh kita jadikan dalil dalam mengadili bahawa Umno adalah sebuah Parti yang selaras dengan tuntutan Islam walhal sudah terang lagi bersuluh Umno adalah sebuah Parti Politik yang bergerak atas dasar nasionalisme (ashobiyyah) yang jelas bertentangan dengan Islam. Sabda Rasulullah SAW:
“….Bukanlah daripada kami orang yang berpegang , menyeru & mati dalam keadaan ashobiyyah” [Hadis Riwayat Abu Dawud]
Parti nasionalisme mempro¬pagandakan pelbagai slogan kebangsaan serta meninggikan martabat dan kehormatan bangsa Melayu dan kemelayuan tanpa memahami maknanya dengan jelas yang jauh dari hakikat kebangkitan.
Kemajuan yang dicapai Malaysia pada sebenarnya berdiri di atas sistem Kapitalis yang mengutamakan manfaat semata-mata. Sistem ini, meskipun menampakkan ‘kemajuan fizikal’ pada kulitnya, ia pada hakikatnya sarat dengan kezaliman dan kehinaan. Hak rakyat, sebagai contoh, seharusnya disediakan secara percuma dan diuruskan dengan baik oleh negara. Namun di dalam sistem ini, hak tersebut memiliki harga yang dibebankan ke atas rakyat. Inilah adalah bentuk kezaliman yang dipaksakan dengan begitu efektif sehingga rakyat merasakan bahawa ia menjadi tanggungjawab mereka untuk melunaskan ‘harga’ ini.
Apalah ertinya ‘perpaduan’ yang ‘wujud’ jika ia masih berteraskan manfaat dan ashobiyyah? Perpaduan sebenar adalah perpaduan yang diwujudkan atas dasar aqidah Islam yang mulia. Kelompok yang berjuang untuk menegakkan perpaduan dan kemajuan sebenar ini mestilah juga parti/kelompok yang dibina di atas asas aqidah Islam dan bukannya atas asas yang lain. Firman Allah swt :
Dan hendaklah ada diantara kamu,segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang maaruf dan mencegah dari yang mungkar merekalah orang-orang yang beruntung [TMQ:Al-Imran[3]:102]
Umat Islam sepatutnya meyakini bahwa falsafah (prinsip) kebangkitan dan kemajuan yang hakiki adalah sebuah mabda’ (ideologi) yang mengga¬bungkan fikrah dan thariqah secara terpadu. Ideologi tersebut adalah Islam. Islam di asaskan kepada aqidah yang memancarkan sebuah sistem untuk mengatur seluruh urusan negara dan umat, dan mampu memecahkan seluruh masalah kehidupan. Dengan Islam, barulah kejayaan sebenar tercapai. Kejayaan dunia dan akhirat.