Wajah Parti Politik Sekular

altPilih calon bersih di Bagan Pinang jika mahu menang besar – Tun Mahathir
 
SEREMBAN 22 Sept. – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sekali lagi menegaskan UMNO perlu memilih calon yang bersih daripada gejala politik wang dan rasuah untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang. Beliau berkata, UMNO boleh mendapat majoriti besar pada pilihan raya kecil DUN tersebut yang merupakan kubu kuat parti jika memilih calon yang benar-benar bersih.

Sumber: Utusan Malaysia 23/09/09

Visi Dan Misi Parti Sekular Sangat Hodoh

Membaca komen Dr. Mahathir Mohamad di atas sudah cukup memberi gambaran yang jelas tentang visi dan misi sebuah parti politik sekular. Tujuan parti politik yang didirikan oleh mereka, tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk kepentingan mereka sahaja dan menjalankan sistem (sekular) yang sedia ada. Bukan untuk kepentingan rakyat! Jauh sekali untuk menerapkan Sistem Islam! Tidak percaya? Lihatlah contoh di atas. Mula-mula mereka akan mencalonkan orang yang kononnya ‘bersih’ untuk dipertandingkan. Kedua, janji-janji manis ditaburkan (untuk mengaburi rakyat).

Ketiga, kalau mereka menang, dimulailah langkah strategik untuk meneruskan polisi sekular mereka, yang sememangnya hanya ‘mengenyangkan’ perut-perut mereka sahaja. Jika kalah, mereka akan mengutuk dan mencela pihak lawan (yang menang) dengan pelbagai hujah. Kelakar bukan?

Sebagai seorang Mukmin, kita seharusnya jelas bahawa parti dan gagasan apa pun yang berjuang atas tiket Demokrasi, tidak akan sesekali mendatangkan kedamaian, kesejahteraan dan keadilan kepada manusia (khususnya rakyat jelata). Ini adalah kerana perjuangan mereka hanyalah untuk memenangi sebuah ‘pertandingan’. Setelah itu, hadiah dari kemenangan ini mereka jadikan alat untuk memuaskan hawa nafsu serakah mereka. Kalaupun ada yang ingin berjuang kerana Islam, mereka akan terperangkap dengan sistem dan kepompong politik yang ada. Walhasil, perjuangan asal terabai. Gagasan Islam pula hilang entah ke mana. Parti pula porak peranda! Ini kerana mereka akan bertungkus-lumus untuk menambat hati rakyat dengan apa yang diinginkan rakyat (semasa pilihan raya), bukan kerana syariat Islam. Inilah yang dinamakan Demokrasi?

Wahai Kaum Muslimin!

Sedarlah bahawa sudah sekian lama kita ditipu dengan ‘magic’ yang ditampilkan oleh parti-parti politik yang ada. Cukuplah dengan fakta yang begitu banyak terpampang di depan mata. Marilah kita kembalikan fokus utama kita sebagai seorang hamba di muka bumi, iaitu untuk menggapai redha Ilahi. Bukankah redha Allah SWT akan dapat digapai tatkala kita melakukan yang makruf, dan meninggalkan yang mungkar? Dan perkara makruf yang paling besar adalah dengan menegakkan semula Institusi Daulah Islamiyyah, di mana syariat Islam akan diterapkan secara menyeluruh (kaffah). Manakala kemungkaran yang terbesar pula berlaku tatkala kita tidak menerapkan Hukum Allah secara kaffah. Apa lagi jika kita tidak mahu berjuang untuk menegakkannya! Na’udzubilah Min Dzalik.