Pertempuran Palsu Di Medan Demokrasi

Muhyiddin nafi arah Pemuda bertempur

PORT DICKSON: Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan beliau memberi arahan kepada Pemuda Umno untuk turun kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang bagi bertempur dengan Pemuda Pas.

Timbalan Perdana Menteri berkata, dakwaan itu sebenarnya perang saraf Pas yang tertekan dengan kemungkinan besar parti itu kalah dalam pilihan raya kecil DUN itu, Ahad ini.

Beliau berkata, sebenarnya Pemuda Pas melalui ketuanya mengeluarkan arahan untuk berjihad fisabilillah di Bagan Pinang.

Tentulah ini jelas menghasut ahlinya untuk melakukan kekacauan ketika pilihan raya kecil ini. Pihak berkuasa keselamatan diharapkan mengambil berat kenyataan Ketua Pemuda Pas dan memastikan supaya keadaan keselamatan terpelihara di Bagan Pinang, katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini, malam tadi.

Terdahulu ketika sambutan Deepavali di Ladang Sua Betong dekat sini, Muhyiddin turut mendedahkan taktik fisabilillah Pas yang semakin terdesak apabila calon Barisan Nasional (BN), Tan Sri Mohd Isa Samad, mendapat kepercayaan pengundi.

Sementara itu, beliau memberi jaminan kerajaan BN bukan saja memberi perhatian, malah melayan setiap kaum di negara ini adil dan saksama.

Muhyiddin berkata, tidak timbul kerajaan bersikap pilih kasih atau mementingkan sesuatu kaum dan mengabaikan kaum lain.

Lihat saja masyarakat Cina di negara ini. Hasil kerja kuat, mereka mencapai kejayaan hingga menguasai 47 peratus ekonomi negara, diikuti Melayu 18 peratus dan India satu peratus.

Tidak ada halangan untuk mereka mencapai kejayaan dan orang Melayu juga tidak iri hati terhadap mereka, katanya ketika merasmikan Pesta Tanglung Telok Kemang di Dataran Telok Kemang di sini, malam tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Mazlan Othman, berkata pihaknya mengesan berlaku penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) liar yang menggambarkan berlaku pergaduhan di bandar ini.

Sumber : Berita Harian 09/10/09

PERTEMPURAN PALSU

Apabila dua kumpulan yang bertelagah seumpama di medan pertempuran ingin menampakkan gah masing-masing hanya untuk meraih sebanyak mungkin undi maka inilah akibatnya. Kata-kata kesat, maki hamun , serta apa saja yang boleh disemburkan dihalalkan pada masa ini sehinggakan jihad fisabillillah disamakan dengan perjuangan keji merebut jawatan untuk menggubal undang-undang kufur . Apapun, bagi kelompok ini, yang penting, matlamat tercapai . Jihad fisabillillah sebenarnya mempunyai makna khusus iaitu memerangi  orang-orang kafir. Apa yang berlaku tidak layak dikatakan sebagai jihad fi sabilillah. Inilah yang terjadi apabila umat tidak dibentuk dengan sistem Islam, kejahilan melanda dan akhirnya ulama serta umara’ su memutuskan sesuatu tanpa nas dan akal menjadi rujukan dalam menentukan setiap peraturan.

Apa yang seharusnya berlaku adalah umat Islam berganding bahu dalam melakukan ghazwatul fikri (perang pemikiran) terhadap kekufuran untuk mengubah sudut pandang pemikiran dari pemikiran kufur kepada pemikiran yang cemerlang , dan dapat mengubah manusia dari memperhambakan diri kepada manusia kepada memperhambakan diri kepada Allah

Umno dan Pas sepatutnya memuhasabah diri mereka, mencari jalan bagaimana Deen Allah ini boleh ditinggikan. Dalam keadaan  umat Islam yang begitu menyedihkan di mana Islam dihinakan,  Al Quran dibelakangkan, umat Islam, tidak kira dari kelompok mana sekalipun, seharusnya berusaha agar agama Allah kembali diterapkan. Semoga Allah memberi petunjuk kepada kelompok Muslim yang bertelagah ini agar mereka bangkit dan bergabung dengan perjuangan untuk mengembalikan kehidupan Islam secara hakiki. Janganlah hendaknya mereka terhalang dari mendapat rahmat Allah di saat mereka bertemu dengan Sang Pencipta Alam Semesta, hanya kerana pertempuran palsu yang berlaku antara mereka ini.