Tauliah Jadi Halangan Dakwah
SHAH ALAM 11 Nov. – Kerajaan negeri akan memecat nazir masjid dan jawatan kuasa surau yang didapati terus berdegil menjemput penceramah tanpa mendapat tauliah daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Exco Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr. Hassan Ali berkata, tindakan tersebut penting bagi membendung amalan yang boleh memberi kesan kepada perpaduan umat Islam di negeri itu. Katanya, sehingga September lalu, kerajaan negeri melalui Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah mengeluarkan tauliah kepada 977 individu untuk menyampaikan khutbah dan ceramah di masjid dan surau. ‘‘Kita telah memanggil nazir masjid serta setiausaha surau yang didapati menjemput penceramah tidak bertauliah ini dan kita telah beri nasihat kepada mereka. ‘‘Sekiranya kesalahan itu terus dilakukan, kita akan beri amaran dan seterusnya akan mengkaji semula jawatan mereka sama ada boleh diteruskan atau tidak,’’ katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ismail Sani (BN – Dusun Tua) mengenai tindakan kerajaan negeri terhadap larangan individu yang tidak mempunyai tauliah membaca khutbah di masjid dan surau di Selangor.
Dalam pada itu, Hassan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia ketika menjawab soalan tambahan Ismail mengenai tahap penguatkuasaan larangan tersebut berkata, peratusan kes melibatkan kesalahan itu tidak membimbangkan. Malah, beliau menyifatkan kejadian yang didakwa oleh Ismail di Batu 14, Hulu Langat di mana jemaah memulaukan masjid di situ kerana jawatan kuasa masjid menjemput ahli politik menyampaikan khutbah dan ceramah sebagai kes terpencil. Ini kerana katanya, peratusan melibatkan kes seumpama itu adalah rendah iaitu pada kadar satu hingga dua peratus sahaja daripada jumlah keseluruhan 500 masjid serta surau yang dinaik taraf. ‘‘Kita memang tidak benarkan penceramah membaca teks sendiri kerana Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan masjid, surau adalah zon larangan politik. ‘‘Bagaimanapun dari segi penguatkuasaan di setiap daerah, ia agak sukar kerana bilangan pegawai penguat kuasa di daerah tidak begitu ramai. ‘‘Jadi kita minta supaya mana-mana ADUN yang mengetahui di mana kesalahan itu berlaku supaya segera melaporkan kepada JAIS,’’ ujarnya.
Sumber : Utusan Malaysia, 12/11/09
Tauliah Jadi Halangan Dakwah
Nampaknya isu tauliah untuk berceramah di Selangor menjadi polemik yang terus berpanjangan. Kini Exco Hal Ehwal Islam negeri kan bertindak memecat nazir masjid dan jawatan kuasa surau yang didapati terus berdegil menjemput penceramah tanpa mendapat tauliah daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) .Turut disentuh adalah persoalan menjemput ahli politik berkhutbah dengan alasan bahawa masjid, surau adalah zon larangan politik. Ini malang bagi umat Islam sebenarnya. Jika larangan ini keluar dari exco UMNO ia adalah suatu yang tidak memeranjatkan kerana umum telah sedia maklum bahawa UMNO adalah parti yang menjadi penerus kepada pemikiran sekular penjajah. Memang umum mengetahui bahawa para penerus kepada pemikiran sekular tidak akan membenarkan politik dicampur adukkan dengan agama. Tetapi malang sekali kenyataan ini keluar dari exco yang berasal dari PAS sebuah parti yang memperjuangkan Islam. Seolah-olah tidak ada bezanya antara cara fikir ahli UMNO dengan exco agama dari PAS tersebut. Hakikatnya, berdakwah itu adalah sesuatu yang wajib dilakukan oleh setiap orang Islam. Tetapi hari ini “tauliah” dijadikan alasan dan telah muncul hambatan untuk menghalang dakwah itu dari disampaikan. Seharusnya dalam kita menangani isu ini, yang perlu kita lihat dan perhatikan ialah isi ceramah yang disampaikan bukannya siapa yang menyampaikan ceramah itu. Kisah ini mungkin boleh kita renungi bersama:
“Sewaktu pulang dari Jarjan menuju kampung asalnya di Thusia, segerombolan perompak padang pasir telah menyerang rombongan yang disertai oleh Imam Ghazali. Mereka merampas semua harta yang ada pada rombongan itu. Antara yang di rampas ialah catatan ilmu yang dipelajari oleh Imam Ghazali dari gurunya di Jarjan, Imam Abu Nasir Al Ismaili. Imam Ghazali menemui ketua perompak itu dan meminta agar catatannya itu dipulangkan kerana beliau sangat menyayangi dan menghargainya. Mendengar permintaan Imam Ghazali, ketua perompak itu bertanya secara menyindir, “Untuk apa catatan ini wahai anak muda, bukankah engkau telah memahami dan menghafal seluruh isi kandungannya?” Namun begitu, ketua perompak itu akhirnya memulangkan juga catatan tersebut kepada Imam Ghazali. Selepas peristiwa itu, Imam Ghazali menghafal seluruh isi catatannya itu dan apabila menghadiri majlis-majlis ilmu, beliau lebih mengutamakan pemahaman yang sungguh-sunguh dari sekadar mencatat. Beliau benar-benar terkesan dengan sindiran ketua perompak itu. Benarlah kata hukama’, “Jangan engkau melihat kepada siapa yang berkata tetapi lihatlah kepada apa yang diperkatakan.”