“Sihir” Bolasepak Piala Dunia Singgah Di Malaysia
KUALA LUMPUR 28 Jan. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan untuk tatapan umum trofi keagungan bola sepak dunia, Piala Dunia. Beliau menarik kain penutup Piala Dunia sebagai simbolik trofi itu sudah sedia untuk dipertontonkan kepada umum pada satu majlis khas di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini. Piala Dunia, yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang menerusi penerbangan khas dari Jakarta semalam, adalah trofi asli setinggi 36.8 sentimeter dan berat 6.175 kilogram yang diperbuat daripada emas tulen 18 karat. – Utusan
Sumber: Utusan Malaysia 28/01/10
“Sihir” Bolasepak Piala Dunia Singgah Di Malaysia
Belumpun sepak mula Piala Dunia berlangsung di bumi Afrika Selatan rakyat Malaysia nampaknya sudah dimainkan dan dicuit emosinya. Trofi Piala Dunia yang menjadi rebutan seluruh negara di dunia saat ini sudah singgah di Malaysia dan mula menggeluarkan bait-bait sihirnya kepada penduduk dunia termasuklah di Malaysia. Kita akan dapat melihat betapa ramainya umat Islam khususnya dan dunia amnya yang akan terkena sihir Piala Dunia ini setiap empat tahun. Dari golongan muda hinggalah golongan tua, dari yang kaya hinggalah kepada yang miskin, kaum lelaki dan tidak kurang juga wanita…. semuanya akan menjadi mangsa sihir Piala Dunia ini.
Wahai umat Islam berwaspadalah kalian semua dengan kehidupan dunia yang menipu ini lebih-lebih lagi dalam dunia saat ini yang dikuasai oleh para sang penipu yang sedang bermaharajalela. Firman Allah SWT: “Dan di antara manusia (ada) orang yang mempergunakan perkataan yang tidak berguna untuk menyesatkan (manusia) dari jalan Allah tanpa pengetahuan dan menjadikan jalan Allah itu olok-olokan. Mereka itu akan memperoleh azab yang menghinakan”. [TMQ Lukman (31): 6]. Ketahuilah bahawa sukan yang terorganisasi ini adalah suatu keharaman kerana ianya akan menghantarkan para pemujanya kepada keharaman yang pasti – ashobiyyah. Dengan berlangsungnya sukan yang terorganisasi seperti ini, umat Islam akan berpaut kepada ikatan ashobiyyah dan dengan tanpa rasa berdosa meninggalkan dan melupakan ikatan mabda Islam yang menjadi ikatan yang wajib dipegang oleh seluruh umat Islam di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja. Wahai umat Islam! Renungilah firman Allah SWT ini “ Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman, (yaitu) orang-orang yang khusyu’ dalam shalatnya, dan orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna, dan orang-orang yang menunaikan zakat, dan orang-orang yang menjaga kemaluannya, kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau budak yang mereka miliki; maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela. Barangsiapa mencari yang di balik itu maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas. Dan orang-orang yang memelihara amanat-amanat (yang dipikulnya) dan janjinya, dan orang-orang yang memelihara shalatnya. Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi, (yakni) yang akan mewarisi surga Firdaus. Mereka kekal di dalamnya. [TMQ Al-Mu’minuun (23):1-11].