Arahan Daripada Siapa Yang Paling Mulia?
Ini kerana, arahan yang diterima daripada mereka yang bukan berkhidmat dalam PDRM boleh mencalarkan kredibiliti pasukan tersebut.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menegaskan, meskipun mengakui wujud tekanan kepada anggota dan pegawainya, pihaknya akan menjalankan siasatan dan tugas berdasarkan undang-undang yang ditetapkan dalam PDRM.
Sumber : Utusan 23/03/10
Sudah menjadi resam organisasi – kepimpinan memberi arahan dan para anggotanya melaksanakan arahan tersebut. Memang akan binasa mana-mana organisasi yang anggotanya mengingkari arahan dari kepimpinannya. Begitu juga sekiranya arahan bukan datang dari kepimpinannya. Cuma, masalahnya adalah, apakah arahan kepimpinan itu menepati perintah dari Yang Maha Esa? Akal manusia yang berikir akan sentiasa membenarkan bahawa arahan dari al-Khaliq (Allah SWT)-lah yang menjadi keutamaan dari segalanya.
Akal akan mempertimbangkan apakah arahan kepimpinan tersebut selari dengan perintahNya ataupun menyanggahiNya. Jika selari, maka ia selaras dengan fitrah manusia dan benar keputusannya. Jika sebaliknya, pasti celaka yang datang. Akal merupakan anugerah Allah yang cukup istimewa buat manusia. Akal-lah yang menentukan samada manusia benar-benar mencapai taraf manusiawi atau jatuh ke taraf haiwan. Akal juga membezakan antara manusia yang hebat berbanding sebaliknya. Akal sangat berperanan dalam menentukan status seseorang pada sisi Allah Ta’ala, apakah ia seorang mukmin atau kafir atau munafiq! Jika manusia melaksanakan arahan tanpa mempertimbangkannya dengan akal, apakah arahan tersebut sesuai dengan Islam atau tidak, maka hancurlah sifat manusiawinya, muncullah sifat haiwaninya. Janganlah sampai seseorang Muslim itu jatuh ke taraf ini. Gunakanlah akal – tentukan kedudukan perbuatan kita dengan Islam. Sesungguhnya tugas dan arahan yang paling besar bukanlah tugas yang didatangkan oleh manusia, tetapi tugas yang didatangkan oleh Allah SWT ke atas manusia untuk melaksanakannya..