Ezam Mula Mengalunkan Zikir Versi Baru
KUALA LUMPUR 3 Mei – Bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamad Ezam Mohd Noor berkata, perlantikan beliau sebagai senator menjadi landasan terbaik bagi beliau untuk menerangkan kepada rakyat tentang anasir jahat yang mengamalkan politik melampau dan membahayakan negara. “Saya merasakan tanggungjawab saya untuk mempertahankan negara dan asas-asas negara ini daripada serangan-serangan yang dilakukan oleh kelompok-kelompok pengkhianat dan pelampau dalam negara.
“Jadi saya akan ambil tanggungjawab ini sebab saya pernah jadi sebahagian daripada mereka untuk menerangkan kepada rakyat, terutama anak-anak muda bahawa ia sesuatu yang berbahaya kepada negara,” katanya kepada pemberita selepas mengangkat sumpah jawatan senator bersama-sama tiga yang lain di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang di Dewan Negara hari ini. Tiga lagi ialah Timbalan Presiden MIC dan bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk G. Palanivel, Pengerusi Eksekutif Rahim and Co Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Pagoh Noriah Mahat.
Ezam berkata adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat Malaysia untuk mempertahankan negara daripada dirosakkan oleh pelampau politik yang sanggup menjual nama Yang di-Pertuan Agong dan negara demi kepentingan peribadi. Bagi Ezam, pelantikan itu merupakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membantu, khususnya, dalam usaha pembaharuan dan transformasi yang dilakukan sejak dilantik Perdana Menteri. “Apa yang telah dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib menyakinkan saya bahawa beliau adalah seorang tokoh yang serius dan bersungguh-sungguh dalam usaha reform (pembaharuan) dan transformasi negara dan saya mahu bersama-sama beliau,” katanya. Ezam pernah memegang jawatan sebagai setiausaha politik kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga merupakan pengasas dan pengerusi Yayasan Generasi Baru Nusantara. Palanivel turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana memberi kepercayaan kepadanya dan juga kepada presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu kerana menasihati beliau untuk mengambil jawatan itu. – Bernama
Sumber: Utusan Malaysia 03/05/10
Ezam Mula Mengalunkan Zikir Versi Baru
Inilah permainan dunia politik sekular yang berlaku dalam senario politik Malaysia. Seorang politikus yang “tidak berprinsip” mula cuba menarik perhatian negara dengan melontarkan cerita-cerita sensasi sebagaimana yang pernah beliau lakukan semasa berada di dalam PKR. Jika dulu beliaulah orang yang paling lantang mengkritik dan menyerang UMNO dan BN dengan pelbagai tuduhan dan cacian tetapi kini beliau nampaknya telah mula menjilat balik muntahnya. Ezam telah membuat pusingan 180 darjah dalam perjalanan liku-liku politik sekularnya. Begitulah hebatnya dunia politik sekular kapitalisme yang ada pada hari ini apabila berjaya melahirkan ahli politik yang begitu rendah nilai prinsip perjuangannya. Jika dulu Ezam begitu lantang mengalunkan zikir perangi rasuah ke sana dan ke mari, kini suaranya mula melafazkan zikir yang lain pula sesuai dengan skrip arahan dari tuan barunya, UMO. Jika beliau benar-benar sayangkan dan ingin menyelamatkan Malaysia ini dari sebarang ancaman bahaya samada datang dari dalam mahupun luar maka tidak ada perjuangan yang paling benar melainkan berusaha menyelamatkan Malaysia dengan syariah. Dan ini tidak akan dapat direalisasikan tanpa penegakan sistem pemerintahan Islam – al-Khilafah.
Maka dengan itu seharusnya perjuangan selamatkan Malaysia dengan syariah menjadi agenda perjuangan yang perlu diusahakan oleh beliau dan oleh setiap individu muslim bukannya berjuang untuk mempertahankan dan memperkukuhkan sistem sekular kapitalisme sedia ada. Sudah saatnya para ahli politik Islam yang tertipu dengan acuan sistem demokrasi Kapitalisme ini kembali menjadikan Islam sebagai asas perjuangan politik mereka. Firman Allah SWT:
“Wahai manusia, sesungguhnya janji Allah adalah benar, maka sekali-kali janganlah kehidupan dunia memperdayakan kamu dan sekali-kali janganlah orang yang pandai menipu, memperdayakan kamu tentang Allah. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagimu, maka anggaplah ia musuh (mu), karena sesungguhnya syaitan-syaitan itu hanya mengajak golongannya supaya mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala.” [TMQ Fathir (35) : 5-6].