Sandiwara semusim

Datuk Abdul Ghapur SallehTindakan hanya kaburi mata rakyat: Ghapur

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Abdul Ghapur Salleh, menyifatkan tindakan memotong elaun keraian anggota Kabinet sebanyak 10 peratus sebagai tidak munasabah dan menggambarkan seolah-olah negara sudah ‘bankrap’.

Malah, beliau mendakwa tindakan itu sekadar ingin mengaburi mata rakyat kononnya kerajaan juga bertindak mengurangkan perbelanjaan.

“Bagaimanapun, tindakan ini belum tentu dapat menampung kos kenaikan harga minyak dan barang yang naik mendadak kerana rakyat berpendapatan rendah tetap menghadapi kesukaran.

“Kita juga keliru mengapa baru sekarang Kerajaan Pusat melakukan tindakan pemotongan elaun keraian sedangkan kenaikan harga minyak sudah lama berlaku,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas langkah pemotongan elaun keraian jemaah Kabinet termasuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri berkuat kuasa 1 Julai ini.

 

Abdul Ghapur yang juga Ketua Umno Bahagian Kalabakan berkata, kerajaan sepatutnya mencari mekanisme khusus bagi menangani pelbagai masalah berikutan kenaikan harga minyak.

“Kerajaan tidak mempunyai pilihan selain mengambil tindakan yang berupaya membantu rakyat kerana kerajaan bertanggungjawab terhadap kebajikan rakyat dan menstabilkan ekonomi negara tanpa membebankan rakyat,” katanya.

Sumber: Berita Harian 11/06/08

Ulasan:

Baru semalam Perdana Menteri mengumumkan pemotongan 10% elaun keraian PM, TPM dan jemaah menteri lainnya, hari ini, tindakan ini ditempelak oleh ahli Parlimen UMNO/BN sendiri. Satu pujian harus diberikan kepada Datuk Ghapur yang berani menongkah arus tidak bersetuju dengan cdangan PM. Namun, kita tidak mahu beliau berhenti di sini sahaja. Beliau seharusnya berjuang habis-habisan untuk membela nasib rakyat dan mengembalikan hak rakyat (minyak) ini kepada kita semua.  

Dan sebagai seorang Muslim, perjuangan yang hak bagi Datuk Ghapur adalah untuk memuhasabah PM dan Menteri Kabinet lainnya agar menerapkan Islam. Tidak ada penyelesaian lain bagi mengatasai kemelut ini kecuali pemerintah mestilah menerapkan hukum Allah dan Rasul. Dan tugas Datuk Ghapur dan ahli parlimen lainnya adalah untuk berjuang habis-habisan agar agama Allah ini ditegakkan.

Memang benar, pemotongan elaun 10% tidak akan sama sekali menyelesaikan masalah. Ia hanyalah sandiwara kerajaan agar dilihat sebagai sebuah kerajaan yang prihatin dan turut sama merasakan kesusahan ini. Bohong!!! Gaji PM, TPM dan menteri-menteri lainnya mencecah puluhan ribu ringgit sebulan, di samping banyak kemudahan yang mereka dapati secara percuma. Apakah para menteri ini akan merasakan penderitaan kenaikan harga minyak apabila setiap titik minyak kereta mereka di bayar oleh kerajaan? Adakah mereka akan merasakan keperitan rakyat apabila mereka langsung tidak mengeluarkan satu sen pun untuk mengisi minyak?

Jika mereka dikenakan bayaran mengisi minyak sekalipun, dengan gaji ratusan dan puluhan ribu sebulan yang mereka nikmati, berbanding rakyat yang bergaji RM1,00.00 – RM2,000.00 sebulan, apakah kesannya sangat kepada mereka? Kalau minyak naik sampai RM10.00 seliter sekalipun, para menteri yang kaya raya ini tidak akan terjejas sedikitpun! Harta mereka berbukit-bukit, saham mereka bergunung-gunung, duit mereka menimbun-nimbun…apa sangatkah kesan kenaikan harga minyak ini kepada mereka?

Justeru, tidak usahlah bersandiwara dengan rakyat. Hari ini kamu, para menteri hidup senang dengan merompak harta rakyat, di akhirat nanti, hanya Allah jualah yang akan membalas perbuatan kamu sebaik-baiknya.