Kucing tiada, tikus pun keluar

Lebih ramai akan buka mulut

Hakim pernah diganggu ‘orang politik’ pada zaman Dr Mahathir sedia buat pendedahan

KUALA LUMPUR: Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Shaik Daud Ismail, percaya lebih ramai hakim akan membuat pendedahan campur tangan pihak eksekutif dalam bidang penghakiman pada era pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Shaikh Daud berkata, sebelum beliau bersara sebagai hakim Mahkamah Rayuan pada 26 Julai 2001, beliau memang mengetahui ada rakan setugasnya merungut kerana diganggu ‘orang politik’ dalam urusan kehakiman.

Bagaimanapun, katanya, mereka tidak membuat laporan berhubung dengan perkara itu kerana bimbang akan dipecat daripada tugas.

“Selepas apa yang berlaku kepada Tun Salleh Abas yang dipecat sebagai Ketua Hakim Negara pada 1988, mereka bimbang mengalami nasib yang sama jika ingkar terhadap arahan pihak berkuasa politik,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, di sini semalam.

Ketika ditanya sama ada beliau pernah mengalami kejadian seperti itu, Shaik Daud berkata, beliau tidak pernah diganggu orang politik dalam tugasnya tetapi ada pihak atasan kehakiman cuba mempengaruhi tugasannya.

“Wujud cubaan daripada pihak atasan kehakiman yang memberi arahan kepada saya dalam satu kes membabitkan politik. Saya tidak mengendahkan arahan berkenaan dan memberikan penghakiman mengikut kesahihan kes itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ian HC Chin, yang mendakwa bekas Perdana Menteri itu pernah membuat kenyataan berunsur ugutan untuk melucutkan jawatan hakim menerusi satu tribunal khas, jika keputusan mereka dalam kes tertentu tidak menyebelahi kerajaan.

Chin dipetik oleh The Borneo Post, semalam sebagai membuat pendedahan itu sebelum mendengar petisyen pilihan raya yang difailkan calon DAP bagi Parlimen Sarikei, Wong Hua Seh, yang mencabar keputusan pilihan raya umum 8 Mac lalu, di Mahkamah Tinggi Sibu, kelmarin.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah, berkata, beliau tidak ingat apa yang dibincangkan dalam persidangan hakim 1997 tetapi pernah memberitahu Majlis Peguam dalam satu jamuan makan malam pada Mac 2001 berhubung jumlah ganti rugi dalam saman fitnah yang dianggapnya memeningkan.

“Saya menyatakan bahawa sudah tiba masanya untuk badan kehakiman menyemak semula jumlah ganti rugi yang boleh dikenakan bagi saman malu.

“Seingat saya, bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Kamil Awang pernah berkata, beliau diarah untuk membuat penghakiman yang memihak kepada calon Barisan Nasional (BN) berhubung petisyen pilihan raya di Kota Kinabalu,” katanya.

Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan, berkata, pendedahan Chin itu amat mengejutkan dan mengecewakannya serta meminta hakim yang pernah diganggu dalam urusan kehakiman bersuara mendedahkan kepada umum tindakan campur tangan daripada mana-mana pihak.

Naib Presidennya, Ragunath Kesavan, meminta Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, melakukan siasatan segera terhadap dakwaan Chin itu kerana ia adalah sesuatu yang serius dan semua pihak mahu mengetahui sama ada berlaku salah guna kuasa.

“Tidak perlu laporan polis dilakukan kerana pendedahan hakim itu sudah cukup jelas. Siasatan yang dilakukan terhadap hakim berkenaan kemungkinan akan menjurus penemuan baru,” katanya yang tidak menolak kemungkinan ramai lagi hakim yang ingin membuat pendedahan berhubung kejadian sama.

Bagaimanapun, seorang hakim yang enggan dikenali berkata, beliau turut berada dalam persidangan hakim 1997 dan Dr Mahathir memang ada membangkitkan penghakiman petisyen pilihan raya oleh Chin yang tidak memihak kerajaan.

“Majoriti hakim kanan dalam persidangan berpendapat penghakiman itu memang bercanggah dengan undang-undang,” katanya yang berpendapat Chin meluahkan perasaannya kerana berpendapat Dr Mahathir menyekat kenaikan pangkatnya.

Sumber: Berita Harian 11/06/08

Ulasan:

Apabila kucing sudah tidak ada, maka banyaklah tikus yang keluar. Inilah lumrah kehidupan. Dr Mahathir sudah tidak lagi berkuasa, maka semua pengecut di zamannya sekarang telah berani menampilkan diri. Baguslah apabila ada hakim yang berani membuat pengakuan, namun persoalannya, kenapa sekarang? Kenapa tidak mendedahkan segala ‘konspirasi’ ini semasa ia berlaku? Takut hilang jawatan? Takut hilang pangkat? Takut hilang kuasa? Takut hilang wang ringgit? Takut hilang kehormatan? Dan segala macam takut lagi, kerana kehilangan manfaat.

Sah! Segala yang selama ini tersembunyi kini telah zahir. Ramai hakim sebenarnya ‘bekerja’ dengan Perdana Menteri. Moto undang-undang yang kononnya berbunyi “rule of law” (kedaulatan undang-undang), “justice must be done” (keadilan mesti ditegakkan), “act without fear and favour”  (bertindak tanpa takut dan berat sebelah), dan bermacam-macam lagi, sebenarnya hanyalah moto semata-mata, bukannya sesuatu yang diterapkan. Dengan kata lain, ia hanyalah sebatas simbol dan simbol semata-mata yang menjadi kata-kata hikmat bidang perundangan. Secara praktikalnya, kebanyakan perlakuan hakim adalah mengikut “rule of PM”, “justice is what PM wants”, “act with fear and favour of PM” dan seumpamanya.

Berdasarkan sejarah yang kebanyakan hakim ni bertindak atas ‘arahan’ PM, tidak mustahil bahawa ‘keberanian’ hakim-hakim dalam menyuarakan isu ini sekarang pun adalah arahan PM (yang baru) juga. Inilah dunia Kapitalis – hidup untuk meraih manfaat. Semalam, hakim-hakim ini taat kepada PM yang lama, hari ini, hakim-hakim ini akan taat pula kepada PM yang baru, dan esok, hakim-hakim ini akan taat pula kepada PM yang akan datang.

Untuk PM sekarang, beliau sepatutnya mengambil peringatan bahawa kedudukan beliau pada hari ini yang berkuasa untuk ‘mengarahkan’ hakim ini melakukan apa sahaja, namun besok, ingatlah bahawa langsung tidak mustahil yang hakim-hakim ini akan mendedahkan pula bahawa “saya melakukan itu dan ini dahulu kerana arahan PM”.

Jika Allah ingin mengazab seseorang, ingatlah bahawa setiap kejahatan yang dilakukan seseorang itu akan dibuka oleh Allah semasa di dunia lagi. Dan di akhirat, azabNya lebih bersangatan.