Akta Hasutan Dan Perlembagaannya Warisan Penjajah
Sumber : Harakah Daily, 7/02/2011
Pelembagaan Malaysia Peninggalan Penjajah, Bukan Sekadar Akta Hasutan
Kenapa hanya Akta hasutan sahaja yang dikatakan sebagai warisan peninggalan penjajah? Apakah kerana akta ini tidak menurut selera atau membataskan pergerakan pembangkang maka ia dikatakan peninggalan penjajah? Atau sekiranya mana- mana akta yang menurut selera pembangkang maka itu adalah bukan peninggalan penjajah? Cubalah berfikir lebih dalam lagi, dari manakah asalnya akta tersebut jika bukan daripada perlembagaan kufur yang dibentuk oleh Lord Reid. Ingatlah wahai kaum muslimin. Sesungguhnya halal-haramnya sesuatu adalah berdasarkan Kitabullah dan As-Sunnah dan bukannya berdasarkan kepada apakah ia akan menguntungkan pihak pemerintah serta “merugikan” pihak pembangkang maka ia akan dikira sebagai sesuatu yang zalim. Jadi, selagi mana undang- undang yang diterapkan tidak bersandarkan Kitabullah dan Sunnah rasulNya, maka itulah sebenar-benar kezaliman. Firman Allah SWT:
“…dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim” [TMQ al-Ma’idah (5):45].
Jadi, kita tertanya-tanya; apakah perjuangan barisan pembangkang itu berasaskan Islam atau bukan? Firman Allah SWT:
“Dan tidaklah layak bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan RasulNya memutuskan sesuatu perkara – (tidaklah layak mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata” [TMQ al-Ahzab(33):36].
Justeru itu, sebagai umat Islam yang benar-benar beriman kepada Allah dan RasulNya, kita harus menyatakan dengan jelas bahawa perlembagaan yang ada pada hari ini adalah warisan penjajah dan marilah kita bersama-sama menggantikannya dengan perlembagaan Islam yang berlandaskan kepada Kitabullah dan As-Sunah. Ayuhlah wahai kaum muslimin. Campaklah sistem kuffur yang membelenggu kalian sejauh-jauhnya. Jadikanlah syariah sebagai teras perjuangan dan janganlah lalai sehingga sanggup bertolak-ansur dengan kekufuran di dalam menegakkan Islam. Semoga pertolongan Allah dan kemenangan Islam akan segera menyusul.