Isu Nelayan: Najib dan Susilo Pertahan Asshobiyyah
Menurut Perdana Menteri, Susilo berjanji akan memberi perhatian dan membuat keputusan yang sebaik-baiknya berhubung isu berkenaan selepas mendapat laporan penuh. “Saya nampak Presiden Susilo faham tapi dalam situasi ini, ia agak kompleks kerana ada pihak lain yang mengambil tindakan di luar pengetahuan beliau (Susilo),” kata Najib kepada wartawan Malaysia sejurus selepas mengadakan mesyuarat dua hala dengan Presiden Indonesia itu di sini hari ini. Najib mengetuai delegasi Malaysia menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-18 di sini yang berakhir hari ini. Mahkamah di Bengkalis, Indonesia pada 5 Mei lalu menjatuhkan hukuman terhadap kumpulan nelayan dari Pontian itu yang didakwa menceroboh perairan Indonesia pada 8 Mac. Selain dijatuhi hukuman penjara, kedua-dua bot tunda nelayan itu dirampas. Mereka turut didenda RM350,000 dan jika gagal berbuat demikian akan dipenjarakan tiga bulan.
Kes tersebut kini di peringkat rayuan dan Wisma Putra sedang berusaha membebaskan kesemua nelayan itu. Sementara itu, ditanya mengenai keputusan Pilihan Raya Umum Singapura yang ke-14 semalam, Najib berkata, kemenangan Parti Tindakan Rakyat (PAP) sudah dijangka walaupun perkembangan menunjukkan undi popular berkurangan. Katanya, apa yang paling utama parti pemerintah mendapat bilangan kerusi yang besar dan kerajaan yang sama dapat ditubuhkan di negara jiran itu. “Yang penting di sini, terdapat kerajaan yang sama di Singapura dan ada kesinambungan dengan apa yang dipersetujui dalam kata sepakat sebelum ini,” katanya. – Utusan
Sumber : Utusan Malaysia: 09/05/11
Apakah Najib dan Susilo tidak menyedari bahawa mereka dan seluruh umat Islam di dunia ini adalah bersaudara? Firman Allah SWT:
”sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat. [TMQ Al Hujuraat (49) : 10].
Apakah kedua-dua pemimpin sekular ini lupa atau tidak mengetahui, bahawa negara umat Islam adalah negara yang satu? Perairan Malaysia adalah juga perairan Indonesia dan begitu jugalah sebaliknya. Apakah Najib dan Susilo tidak pernah mendengar firman Allah SWT:
” dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya”. [TMQ Ali ‘Imran (3) : 103].
Wahai seluruh pemimpin umat Islam! Ketahuilah bahawa selagimana wujudnya sempadan ashobiyyah ini maka selagi itulah masalah perairan ini tidak akan dapat diselesaikan. Barat pasti bergembira melihat kebodohan para pemimpin umat Islam hari ini yang masih setia, tunduk dan patuh kepada pemikiran kufur itu. Wahai Najib! Wahai Susilo! Janganlah kamu membutakan mata-matamu kerana ianya kelak akan menjadi saksi di hari akhirat. Janganlah kamu memekakkan telingga kamu. Janganlah kamu mengeraskan hati kamu. Kerana kesemuanya itu adalah sifat dan ciri-ciri manusia yang diancam oleh Allah SWT untuk menghuni nerakaNya. Firman Allah SWT:
”dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam kebanyakan dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai”. [TMQ Al A’raaf (7) : 179].
Apa yang pastinya, assabiyyah adalah suatu keharaman. Umat Islam wajib meninggalkannya.. Lihat: ” SN138 – ASSABIYYAH dan WATHANIYYAH – Pencetus Malapetaka Dan Perpecahan” .