Hukum Derma Organ – Ikutilah Syariah Islam

Dasar Sesuai Derma Organ ditimbang jika Penderma Kurang – Tiong Lai

KUALA LUMPUR 8 Mei — Kerajaan akan menimbang dasar yang sesuai untuk pendermaan organ selepas kematian sekiranya jumlah penderma organ di negara ini semakin berkurangan pada masa depan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, bagaimanapun perkara itu tidak perlu pada masa sekarang memandangkan jumlah pengikrar penderma organ di negara ini semakin meningkat dari tahun ke tahun. Beliau berkata, seramai 147,000 orang telah berikrar untuk menjadi penderma organ sehingga tahun lepas iaitu 59 peratus pengikrar berbangsa Cina, 24 peratus India dan 16 peratus Melayu.

“Sesetengah negara seperti Singapura mengggunakan dasar ‘opt-out’ iaitu semua rakyat perlu menderma kecuali kalau ada yang tidak mahu menderma mereka perlu tulis surat yang mengatakan mereka tak mahu menderma. “Tapi negara kita (gunakan) polisi ‘opt-in’ iaitu kalau nak menderma baru kita tulis surat (berikrar), ini juga dipraktikkan oleh banyak negara, kita akan menimbang kalau situasi mendesak sangat kita kena tengok apa polisi yang sesuai untuk negara kita,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis ‘Caring and Sharing’ di Buddhist Maha Vihara, Brickfields, di sini hari ini. — Bernama

Sumber : Utusan Online, 08/05/2011


Hukum Derma Organ – Ikutilah Syariah Islam

Setiap perbuatan manusia mestilah terikat dengan hukum syarak. Ini merupakan perkara asas yang perlu diteliti oleh setiap kaum Muslimin. Oleh itu, segala hukum berkaitan derma organ hendaklah dirujuk pada hukum syarak, dan bukannya berdasarkan manfaat. Lebih-lebih lagi, segala polisi yang hendak di gubal oleh penguasa, nyata bukannya timbul dari aqidah Islam. Islam telah menggariskan hukum berkaitan dengan derma organ ini. Secara amnya, ia dikelaskan kepada dua keadaan.

Pertama: Hukum pemindahan organ bagi penderma yang masih hidup. Syarak membolehkan seseorang pada saat hidupnya untuk secara sukarela mendermakan organ tubuhnya kepada orang lain yang memerlukan organ tersebut seperti tangan, kaki dan buah pinggang. Ini adalah kerana adanya ketentuan hak bagi seseorang untuk mengambil diyat (tebusan) atas kesalahan seseorang yang segaja mencederakannya dengan melakukan perkara yang sama ke atas pelaku ataupun memaafkannya.

Oleh itu, adanya hak milik individu tersebut terhadap organnya memberikan indikasi bahawa beliau memiliki hak untuk menyumbangkan organnya tadi. Namun begitu, terdapat syarat-syarat lain dalam menderma organ-organ pada dirinya. Syarat pertama, organ tersebut bukanlah organ utama yang mana sekiranya ia didermakan kepada orang lain, ia boleh menyebabkan kematian ke atas dirinya seperti mendermakan jantung, kedua-dua buah pinggang ataupun kedua-dua paru-paru. Ini adalah haram kerana Islam telah mengharamkan hukum bunuh diri sebagaimana firman Allah :

“Dan janganlah kalian membunuh diri-diri kalian [TMQ An-Nisaa’ (4) : 29].

Syarat kedua adalah terdapat organ tertentu yang diharamkan sama sekali untuk disumbangkan iaitu testis, tidak kira sama ada penderma tersebut mendermakan satu ataupun kedua-dua testisnya. Ini adalah kerana, testis yang disumbangkan tetap akan menghasilkan baka si penderma dan bukannya baka penerima. Sekiranya berlaku, ia akan menyebabkan percampuran nasab, walhal Islam telah mengharamkan hal ini:

“Barangsiapa yang menghubungkan nasab kepada orang yang bukan ayahnya, atau (seorang hamba) bertuankan kepada selain daripada tuannya, maka dia akan mendapat laknat daripada Allah, para malaikat dan seluruh manusia [Hadis riwayat Ibnu Majah daripada Ibnu Abbas].

Selain itu, sekiranya penderma mendermakan kedua-dua testisnya, ini akan menyebabkan dirinya mandul, walhal Islam telah mengharamkan proses pengembirian /kasi (al khisha’).

Kedua : Hukum pemindahan organ bagi penderma yang telah mati. Hukum pendermaan organ bagi penderma yang telah mati adalah haram sama sekali. Ini adalah kerana, tubuh si mati bukanlah hak dirinya lagi ataupun warisnya, melainkan haknya kembali kepada Allah. Oleh itu, adalah haram untuk melakukan pewarisan mana-mana organ untuk didermakan setelah meninggal. Selain itu, Islam telah mewajibkan penghormatan terhadap mayat dan mengharamkan penganiayaan terhadapnya, di mana dosanya sama seperti menganiaya orang yang masih hidup. Daripada A’isyah RA, Rasulullah telah bersabda:

“Memecahkan tulang mayat itu adalah sama dengan memecahkan tulang orang yang hidup” [HR Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Hibban].

Daripada sini, jelaslah bahawa hukum yang berkaitan dengan derma organ ini yang sepatutnya dilaksanakan oleh negara. Pelaksanaan hukum ini adalah wajib sepertimana hukum-hakam Islam yang lain  dan ia perlu diterapkan secara kaffah (keseluruhan) tanpa memilih- milih. Wallahu a’lam.